Friday, October 23, 2009

Valencia semakin menambat hati Ferguson


 Antonio Valencia


Alex Ferguson yakin Antonio Valencia dalam peringkat untuk membuktikan dia akan menjadi pemain utama Manchester United musim ini.
Pemain sayap dari Ecuador itu dibeli dengan harga 17 juta pound dari Wigan bagi menggantikan Cristiano Ronaldo sebelum ini bertungkus lumus untuk membuktikan usaha membelinya berbaloi.
Namun, selepas menjaringkan gol kemenangan United ke atas Bolton sebelum ini, Valencia seolah-olah telah menemui rentak, malah dialah juga menjaringkan gol kemenangan menentang CSKA Moscow dalam kempen Liga Juara-Juara, kelmarin sehingga menambat hati Ferguson.
''Dia adalah penyuntik kemenangan kepada kita sejak akhir-akhir ini. Dia semakin serasi dan keyakinannya semakin tinggi dan dia ada segala-galanya bagi seorang pemain hebat.
''Cuma dia belum lagi membuktikan keupayaan menjaringkan gol sebelum ini. Namun, dia telah membuktikannya dengan dua gol dalam dua perlawanan. Ini membantunya (keyakinan),'' ujar Ferguson.
Kemenangan kelmarin melebarkan rekod bersih United dalam Liga Juara-Juara di tempat lawan kepada 14 perlawanan, menyamai rekod Ajax.
Dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan Kumpulan B, United semakin hampir mengesahkan tempat dalam saingan kalah mati.
Malah, lebih menggembirakan Ferguson, United masih mampu mencatat kemenangan walaupun tanpa menurunkan Wayne Rooney dan Ryan Giggs.
''Dalam separuh masa pertama, saya rasa kami bermain dengan penuh berhati-hati. Ini penting apabila beraksi di tempat lawan. Cuma, kami mula bermain dengan agak agresif pada babak kedua.
''Kami berjaya mencipta beberapa peluang dan sekalipun kali terpaksa menunggu sehingga minit ke-86, ia berbaloi. Kami perlu mempunyai sifat kesabaran yang tinggi untuk mencari kemenangan,'' ujar Ferguson.
Dalam pada itu, Ferguson memandang berat keadaan pemain remaja Brazil, Fabio yang terpaksa diusung keluar padang ketika permainan hampir tamat.
''Budak ini hebat dalam usia baru 18 tahun. Dia sememangnya hebat,'' kata pengurus tersebut.
Sementara itu, jurulatih CSKA, Juande Ramos percaya pasukannya masih mempunyai peluang untuk mara ke saingan kalah mati walaupun setakat ini mengumpul tiga mata sahaja.
''Kami bermain dengan baik dalam tempoh 80 minit tetapi pemain mula letih selepas itu dan hilang tumpuan menyebabkan kami hilang tiga mata,'' kata bekas jurulatih Sevilla, Tottenham dan Real Madrid itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails