Friday, October 9, 2009

Perancis belum selamat



Kemenangan besar menjadi matlamat Perancis apabila menerima kunjungan Kepulauan Faroe dalam aksi kelayakan Piala Dunia, esok.
Bagi bekas juara Piala Dunia itu, pesta gol bagaimanapun bukan bermakna peluang mereka untuk mendapat tiket automatik ke Afrika Selatan tahun depan cerah.
Sebaliknya, nasib mereka kini bergantung kepada pendahulu Kumpulan 7 Zon Eropah itu, Serbia yang akan menerima kunjungan Romania.
Perancis ketinggalan empat mata di belakang Serbia ketika ini dengan hanya dua baki perlawanan kelayakan yang tinggal.
Serbia sudah boleh mengesahkan tempat ke pusingan akhir selaku juara kumpulan jika berjaya menewaskan Romania.
Ketika itu Perancis hanya boleh berharap untuk beraksi dalam perlawanan playoff sahaja jika berjaya menang ke atas Kepulauan Faroe.
Pasukan bimbingan Raymond Domenech dijangka turun tanpa penyerang, Franck Ribery dan penggerak utama, Yoann Gourcuff yang cedera.
“Belum tentu Serbia boleh menewaskan Romania. Jika seri, segala-galanya hanya akan dimuktamadkan pada perlawanan terakhir kumpulan.
“Jadi kami kena menjaringkan sebanyak gol yang mungkin untuk mencari kelebihan perbezaan jaringan,” katanya.
Perancis akan menutup saingan peringkat kumpulan dengan bertemu Austria di tempat sendiri manakala Serbia menentang Lithuania di tempat lawan.
Sehubungan itu Domenech berharap, kegagalan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 1994 selepas tewas dua perlawanan terakhir tidak akan berulang.
“Sebagai pemain kebangsaan, kami menyedari apa-apa boleh berlaku. Semua pasukan boleh buat silap pada saat akhir.
“Jadi kami masih punya peluang 20 peratus untuk muncul juara kumpulan,” kata penyerang Barcelona, Thierry Henry.

 Imbas kembali.....Penentangan diantara Faroe dan Perancis yang bersudahan dengan perancis menang 1-0

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails