Monday, October 11, 2010

Azam gergasi Eropah


BARISAN pemain Belanda gigih berlatih sebagai persediaan menghadapi Sweden, Rabu ini.


Jerman, Belanda dan Sepanyol merupakan antara pasukan utama Eropah yang mahu meneruskan kecemerlangan mereka pada aksi kelayakan Euro 2012 apabila bertemu lawan masing-masing awal pagi Rabu ini.Ketiga-tiga pasukan ini berada di tangga teratas kumpulan mereka ketika ini.
Jerman akan bertemu Kazakhstan di tempat lawan, Belanda menanti kunjungan Sweden manakala juara bertahan, Sepanyol yang kurang satu perlawanan bertandang ke Glasgow untuk bertemu Scotland.
Sepanyol kini mengungguli Kumpulan I dengan enam mata selepas menewaskan Lithuania 3-1 pada awal pagi Sabtu lalu dan penyerang Valencia, Aritz Aduriz yang membuat kemunculan sulung pada pertemuan itu telah mempamerkan aksi yang baik.
"Saya gembira kerana kami berjaya mencapai objektif mencuri tiga mata penuh. Tapi ia tidak semudah disangka. Kami mungkin terlalu selesa pada satu ketika.
"Jadi saya sendiri perlu berusaha lebih keras untuk beberapa hari ini dan mengharapkan tuah akan hadir untuk saya diturunkan sekali lagi bertemu Scotland nanti," kata Aduriz.
Jurulatih Sepanyol, Vicente Del Bosque pula berkata, Lithuania telah memberi kesukaran kepada pasukannya untuk menggunakan corak hantaran pendek sekali gus mendesak mereka tampil lebih agresif.
"Mereka berjaya menutup ruang dengan baik dan sukar bagi kami untuk mendapat bola. Kami hanya dapat menjaringkan gol menerusi hantaran lintang," kata Del Bosque.
Sementara itu, pemain pertahanan Scotland, Gary Caldwell memberitahu bahawa mereka menjangkakan satu pertembungan sukar bertemu Sepanyol biar apa pun corak permainan yang bakal ditampilkan lawan.
"Kami masih di landasan terbaik untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua. Itu sentiasa menjadi objektif kami. Tapi kami tetap akan cuba sedaya upaya pada aksi menentang Sepanyol.
"Semua tidak meletakkan harapan tinggi kepada kami dan kami bersedia untuk mencipta kejutan pada perlawanan ini," kata Caldwell.
Sementara itu, pertembungan Belanda dan Sweden dianggap paling sengit dalam Kumpulan E setakat ini.
Kapten Sweden, Zlatan Ibrahimovic dan penyerang, Johan Elmander kedua-duanya tidak turun berlatih Jumaat lalu tetapi jurulatihnya, Erik Hamren memberitahu bahawa ia sebagai langkah berjaga-jaga.
Related Posts with Thumbnails