Monday, August 31, 2009

Sindiran Wenger tentang Old Trafford



AKSI Wenger menendang botol air yang menyebabkan dia diperintah meninggalkan padang oleh pengadil ketika aksi menentang Man United di Old Trafford, kelmarin.

'Pemain United laku 20 kekasaran tetapi tidak dilayang kad kuning'

MANCHESTER: Arsene Wenger masih termangu-mangu sama ada ingin ketawa atau mahu meratapi kekalahan pasukannya, Arsenal 2-1 di Manchester United.

Minggu penuh dramatik Arsenal berakhir dalam suasana haru-biru di Old Trafford kelmarin dengan Wenger diarahkan meninggalkan bangku simpanan oleh pengadil Mike Dean kerana menendang botol akibat terlalu kecewa selepas jaringan Robin van Persie pada saat genting dibatalkan kerana rakan sepasukannya, William Gallas sudah ofsaid.


Sebelum itu, Dean menafikan penalti untuk Arsenal selepas Andrei Arshavin dibentes keras oleh Darren Fletcher; menghadiahkan penalti kontroversi terhadap Wayne Rooney selepas penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia, kelihatan menerpa kakinya.


Malah, Emmanuel Eboue yang dibentes sebaliknya dilayangkan kad kuning kerana didakwa sengaja menjatuhkan diri.

Selang beberapa hari selepas Eduardo didakwa oleh UEFA kerana sengaja menjatuhkan badan untuk meraih penalti dalam saingan Liga Juara-Juara sewaktu menentang Celtic, terlalu banyak rentetan luar biasa Arsenal sebelum kemuncaknya mereka tewas kepada United akibat jaringan sendiri, Abou Diaby.

“Saya menendang botol air apabila gol itu dibatalkan. Kecewa sangat,” jelas Wenger. “Pegawai keempat memanggil pengadil dan mengusir saya. Saya hilang kata-kata, masa hanya tinggal 30 saat dan jaringan itu pastinya suatu yang paling menakjubkan.”

Malah, Wenger turut acuh tidak acuh menjawab soalan mengenai penalti untuk Rooney pada separuh masa bagi membolehkan penyerang England itu menjaringkan gol penyamaan United.

“Itulah di Old Trafford,” sindir Wenger sambil berkata, Arshavin seharusnya diberikan penalti pada separuh masa pertama. “Pernah saya lihat sebelum ini, pemain United melakukan 20 kekasaran tetapi tidak dilayangkan kad kuning. Memang takjub.”

Ronaldo beraksi hambar


Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo (gambar) mengakui pasukannya gagal beraksi dengan baik ketika menang tipis 3-2 ke atas Deportivo La Coruna pada aksi pembukaan Liga Sepanyol kelmarin.

Begitupun, Ronaldo yang juga pemain termahal dunia tetap berpuas hati dengan tiga mata penuh yang diraih pasukannya pada aksi sulung itu.

Pada aksi di Santiago Bernabeu itu, Ronaldo berjaya merekodkan gol sulungnya dalam kempen berprestij itu selepas mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35.

Selain Ronaldo, jurulatih Real, Manuel Pellegrini turut menurunkan barisan terbaiknya termasuklah Kaka, Karim Benzema dan Xabi Alonso.

"Amat penting bagi kami untuk bermula dengan kemenangan kerana selalunya aksi pertama sangat rumit," terang Ronaldo.

"Kami ada alami beberapa situasi yang bagus dan buruk dalam permainan, jadi kami perlu perbaikinya lagi."

Sebelum jaringan Ronaldo, kapten Raul Gonzalez terlebih dahulu membuka jaringan Real pada minit ke-26.

Namun Deportivo bangkit dua kali menyamakan kedudukan menerusi Ivan 'Riki' Sanchez dan Juan Carlos Valeron sebelum Lassana Diarra menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-60.

Sementara itu, jaringan tunggal Javier Arizmendi pada minit ke-73 membolehkan Real Zaragoza menang 1-0 ke atas pendatang baru, Tenerife.

Man. City kekal rekod cemerlang


PENYERANG Manchester City, Emmanuel Adebayor (25) melompat tinggi untuk menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Gareth Barry ketika menentang Portsmouth dalam perlawanan Liga Perdana England di Fratton Park, semalam.

Manchester City mengekalkan kecemerlangan awal musim mereka dengan menewaskan Portsmouth 1-0 untuk mencatat kemenangan ketiga berturut- turut.

Emmanuel Adebayor seperti biasa menjadi pemain yang menjaringkan gol kemenangan buat City pada minit ke-31.

Kemenangan itu membolehkan pasukan bimbingan Mark Hughes itu melonjak ke tangga keempat liga di belakang Chelsea, Tottenham Hotspurs dan jiran, Manchester United dengan memiliki kurang satu perlawanan dalam tangan.

Selepas berbelanja besar 100 juta pound untuk membawa beberapa pemain terbaik ke kelab itu, ternyata langkah itu tampak berbaloi setakat ini apabila City menang semua perlawanan yang dilalui mereka.

Pembelian Adebayor melibatkan kos 25 juta pound daripada Arsenal antara yang paling berbaloi apabila pemain yang berasal daripada Togo itu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

Di samping itu, kubu pertahanan City yang diperkuatkan Kolo Toure yang dibeli dari Arsenal, Gareth Barry dari Aston Villa dan Joleon Lescott dari Everton juga belum lagi mampu dibolosi.

Kecuali Carlos Tevez yang sedikit tenggelam di bahagian serangan, selebihnya City belum lagi menunjukkan taring sebenar mereka atau mungkin juga belum diuji oleh pasukan yang benar-benar hebat.

City sepatutnya menang 2-0 tetapi jaringan Micah Richards hasil umpanan Craig Bellamy di penghujung babak pertama dibatalkan pengadil kerana ofsaid

Sunday, August 30, 2009

United ranapkan Arsenal













GAYA tersendiri Rooney selepas menjaringkan gol pertama United menerusi sepakan penalti pada aksi menentang Arsenal di Old Trafford semalam. United menang 2-1.

REKOD cemerlang Arsenal dalam kempen Liga Perdana England tercalar.

Selepas gah dengan kemenangan besar 6-1 ke atas Everton sebelum menang 4-1 ke atas Portsmouth, kelab dari London, Arsenal terpaksa akur dengan kehebatan Manchester United semalam.

Sekalipun berjaya mendahului hasil jaringan Andrei Arshavin pada minit ke-40, skuad The Gunners itu tewas 1-2 selepas gagal menggunakan kelebihan yang ada bagi membawa pulang tiga mata penuh.

Sebaliknya, United yang beraksi di hadapan penyokong sendiri di Old Trafford bangkit menampilkan aksi lebih bertenaga pada babak kedua.

Ayam tambatannya, Wayne Rooney menjaringkan gol pertama United menerusi sepakan penalti pada minit ke-59.

Lima minit kemudian, United memperoleh gol kemenangan apabila pertahanan Arsenal, Abou Diaby tertanduk bola ke gawang sendiri hasil sepakan percuma Ryan Giggs.

Sementara itu, Chelsea merampas takhta Liga Perdana England selepas menang 3-0 ke atas Burnley di Stamford Bridge.

Azimat Ancelotti


ASHLEY Cole (tengah) merembat untuk menyumbat gol kemenangan Chelsea sambil diasak pemain Burnley, Clarke Carlisle (kiri) dan Graham Alexander pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge, London, malam tadi. Chelsea menang selesa 3-0.

Bulan madu Carlo Ancelotti dalam Liga Perdana England (EPL) berterusan selepas pasukan bimbingannya, Chelsea mencatat kemenangan 3-0 ke atas Burnley di Stamford Bridge, semalam.

Sejak mengambil alih jawatan pengurus, ini adalah kemenangan keempat berturut-turut yang dicipta Chelsea di bawah Ancelotti - tidak termasuk kejayaan menewaskan Manchester United dalam Perisai Komuniti.

Pasukan dari barat London itu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah atau seri semalam dengan memperoleh gol menerusi Nicolas Anelka, Michael Ballack dan Ashley Cole.

Anelka menyambut hantaran lintang Didier Drogba di depan gawang Burnley dengan satu tampanan yang menggegar jaring sebelum menuju ke bilik persalinan.

Sebaik bermula babak kedua, Chelsea tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol kedua menerusi Ballack yang menanduk hantaran Frank Lampard.

Chelsea terus bermaharajalela dengan memperoleh gol ketiga apabila Lampard sekali lagi memulakan gerakan satu-dua untuk membolehkan Cole menyepak cantik ke penjuru gawang Burnley.

Sementara itu, Liverpool bangkit daripada permulaan hambar awal musim dengan menewaskan Bolton Wanderer 3-2 di Stadium Reebok.

Biar pun dua kali ketinggalan, pasukan bimbingan Rafa Benitez itu berjaya menyamakan kedudukan menerusi Glen Johnson dan Fernando Torres sebelum Steven Gerrard menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan. Lain-lain keputusan Blackburn 0 West Ham 0, Stoke 1 Sunderland 0, Tottenham 2 Birmingham 1, Wolverhampton 1 Hull 1.

Sementara itu, pada perlawanan dua gergasi EPL antara Manchester United dan Arsenal, menyaksikan Arsenal tunduk kepada The Red Devils 2-1. Gol sendiri pemain Arsenal, Abou Diaby pada m-63 membolehkan United menang selepas menambah jaringan awal Wayne Rooney pada m-58 walaupun Gunners mendapat gol awal daripada Andrey Ashavin pada m-39.

Ibrahimovic belum 'panas'


SKUAD Barcelona meraikan kejayaan muncul juara Piala Super UEFA di Monaco semalam.

Zlatan Ibrahimovic telah membantu Barcelona menjulang dua trofi pada dua aksi kompetitif awalnya bersama juara Eropah itu.

Namun, penyerang yang baru dibeli dari Inter Milan itu masih memburu gol sulungnya bersama kelab Catalan tersebut.

Awal pagi semalam, Ibrahimovic masih gagal menemui sentuhan gol ketika Barcelona menjuarai Piala Super UEFA selepas menang 1-0 ke atas juara Piala UEFA, Shaktar Donetsk.

Namun jurulatih Barcelona, Pep Guardiola berkata, penyerang kebangsaan Sweden itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baru selepas terlepas aksi pramusim kerana menjalani pembedahan pada tangan kirinya.

"Ibrahimovic merupakan pemain yang bagus dan dia boleh menguruskan dirinya untuk menyesuaikan diri dengan sistem permainan kami.

"Cuma buat masa ini, kami hanya menghadapi sedikit masalah kerana dia tidak dapat banyak berlatih dengan kami akibat cedera," kata Guardiola.

Pada aksi awal pagi semalam, perlawanan hampir menuju penentuan sepakan penalti tetapi jaringan pemain gantian, Pedro Rodriguez pada minit ke-115 memberikan kemenangan buat Barcelona.

Ahad lalu, Ibrahimovic pada penampilan sulung aksi kompetitifnya telah berjaya membantu Barcelona menewaskan Athletic Bilbao 3-0 untuk muncul juara Piala Super Sepanyol dengan agregat 5-1.

Liverpool kembali gah


ANELKA (kiri) meraikan jaringannya bersama Didier Drogba pada aksi Liga Perdana England di antara Chelsea bertemu Burnley di Stamford Bridge semalam. Chelsea menang 3-0.

Liverpool kembali menghidup- kan peluang bergelar juara Liga Perdana England musim ini.

Kemenangan 3-2 ke atas Bolton Wanderers semalam seakan-akan memberi petanda bahawa The Reds kembali bangkit untuk memberi saingan kepada kelab gergasi England lain.

Pada aksi di Stadium Reebok itu, kapten Steven Gerrard muncul wira apabila meledak gol kemenangan Liverpool pada minit ke-83.

Terdahulu, Kevin Davies meletakkan Bolton di hadapan pada minit ke-33 sebelum pertahanan Liverpool, Glen Johnson menyamakan kedudukan lapan minit kemudian.

Dua minit selepas babak kedua bermula, Tamir Cahin kembali meletakkan Bolton di hadapan, namun penyerang sensasi Liver- pool, Fernando Torres menyamakan kedudukan pada minit ke-56.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool naik dari tangga ke-10 ke tangga ketujuh liga.

Sementara itu, tiga jaringan dalam tempoh tujuh minit sudah cukup untuk memberikan Chelsea kemenangan selesa 3-0 mengatasi Burnley di Stamford Bridge.

Ia merupakan kemenangan keempat berturut-turut buat skuad kendalian Carlo Ancelotti itu, sekali gus membolehkan mereka menduduki tangga teratas liga dengan 12 mata maksimum.

Nicolas Anelka meletakkan Chelsea di hadapan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Gol kedua Chelsea menyusul pada minit ke-48 selepas Michael Ballack menanduk masuk bola hantaran Frank Lampard sebelum Ashley Cole melengkapkan gol ketiga The Blues empat minit kemudian.

Sementara itu, Tottenham Hotspur jatuh ke tangga kedua liga sekalipun menang 2-1 ke atas Birmingham City.

Peter Crocuh menjaringkan gol pembukaan Spurs pada minit ke-72 sebelum Lee Bowyer menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Aaron Lennon memastikan kemenangan Spurs apabila menjaringkan gol pada minit- minit terakhir perlawanan.

Saturday, August 29, 2009

Undian perit buat Barca, Real

United, Liverpool, Arsenal boleh tidur nyenyak; Chelsea sengkang mata

Juara Eropah, Barcelona diundi bertemu Inter Milan, pasukan mewah Real Madrid akan bertemu AC Milan manakala Manchester United bersaing dengan pasukan penuh kejutan dari Jerman, Wolfsburg selepas undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin.

Musim ini menyaksikan sembilan bekas juara beraksi dalam format 32 pasukan yang diasingkan dalam lapan kumpulan manakala empat pasukan dari England dan Sepanyol akan bertarung untuk mencipta sejarah kejayaan ke-13, kedua-dua negara sudah mencipta sekitar sedozen kejayaan setakat ini.

Kumpulan A menempatkan juara empat kali, Bayern Munich berdepan juara dua kali, Juventus, juara Perancis, Bordeaux dan Maccabi Haifa dari Israel.

Dalam Kumpulan B, Manchester United, juara Eropah pada 1968, 1999 dan 2007 yang juga naib juara tahun lalu, akan bertemu juara Jerman, Wolfsburg, wakil Turki, Besiktas dan CSKA Moscow.

"Ini ialah saingan yang sukar, terutama kunjungan ke Russia dan Turki," kata pengurus United, Sir Alex Ferguson.



"CSKA sudah meningkat dengan baik sejak beberapa tahun lalu dan pertemuan di Turki sentiasa sukar."

Bekas bintang United, Cristiano Ronaldo bersama juara sembilan kali yang juga pasukan berbelanja paling besar musim panas lalu, Real Madrid perlu berdepan juara tujuh kali AC Milan dalam Kumpulan C, bermakna kepulangan awal ke San Siro buat pemain Brazil, Kaka.

Marseille, pasukan tunggal dari Perancis yang pernah meraih trofi berkenaan serta pasukan kurang ternama FC Zurich dari Switzerland melengkapkan kumpulan berkenaan.

Chelsea, finalis 2008 yang mahu mencipta mahkota pertama di bawah bimbingan bekas pengendali AC Milan, Carlo Ancelotti diletakkan dalam Kumpulan D dengan mereka akan bertemu juara dua kali, Porto, Atletico Madrid dan wakil Cyprus, APOEL Nicosia.

Messi terbaik


DARI kiri, van Der Sar, Messi, Xavi Hernandez dan Terry bergambar bersama pada majlis undian Liga Juara-Juara 2009/10 di Monaco semalam.

Bintang Barcelona, Lionel Messi telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Juara-Juara 2008/09 awal pagi semalam.

Messi dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahu- nan Kelab UEFA selepas pengundian dibuat oleh jurulatih daripada 15 pasukan lain yang layak ke pusingan kalah mati kempen tersebut musim lalu.

"Ini adalah kegembiraan yang sangat besar untuk menerima anugerah yang penting seperti ini.

"Terima kasih kepada semua yang mengundi dan memilih saya untuk memenangi anugerah ini," kata penyerang Argentina itu.

Messi meledak sembilan gol ketika Barcelona muncul juara Liga Juara-Juara musim lalu termasuk tandukannya pada minit ke-70 untuk me- mastikan kemenangan 2-0 ke atas Manchester United pada aksi final.

Messi turut dipilih sebagai penyerang terbaik manakala rakan sepasukannya, Xavi Hernandez dipilih sebagai pemain tengah terbaik pada majlis undian Liga Juara-Juara 2009/10 semalam.

Penjaga gol Manchester United, Edwin van der Sar pula dipilih sebagai penjaga gol terbaik manakala kapten Chelsea, John Terry dipilih sebagai pemain pertahanan terbaik.

Friday, August 28, 2009

Kedudukan Kumpulan Liga Juara-juara Eropah 2009/2010


Group A
Group B
FC Bayern München (GER)Manchester United FC (ENG)
Juventus (ITA)PFC CSKA Moskva (RUS)
FC Girondins de Bordeaux (FRA)Beşiktaş JK (TUR)
Maccabi Haifa FC (ISR)VfL Wolfsburg (GER)
Group CGroup D
AC Milan (ITA)Chelsea FC (ENG)
Real Madrid CF (ESP)FC Porto (POR)
Olympique de Marseille (FRA)Club Atlético de Madrid (ESP)
FC Zürich (SUI)APOEL FC (CYP)
Group EGroup F
Liverpool FC (ENG)FC Barcelona (ESP)
Olympique Lyonnais (FRA)FC Internazionale Milano (ITA)
ACF Fiorentina (ITA)FC Dynamo Kyiv (UKR)
Debreceni VSC (HUN)FC Rubin Kazan (RUS)
Group GGroup H
Sevilla FC (ESP)Arsenal FC (ENG)
Rangers FC (SCO)AZ Alkmaar (NED)
VfB Stuttgart (GER)Olympiacos FC (GRE)
AFC Unirea Urziceni (ROU)R. Standard de Liège (BEL)

SILA KLIK DI SINI

The Red Devils sedia mengamuk


BERBATOV mahu pastikan United merangkul gelaran Liga Juara-Juara musim ini.

Penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov optimis The Red Devils akan tampil lebih bersemangat bagi mengharungi kempen Liga Juara-Juara musim ini.

Selepas dikecewakan Barcelona apabila tewas 0-1 pada final Liga Juara-Juara di Rom musim lalu, Berbatov percaya, skuad United kali ini sudah bersedia untuk kembali merampas trofi Eropah.

Berbatov turut memberi amaran kepada kelab Eropah lain bahawa mereka sepatutnya mula bimbang untuk berdepan The Red Devils kali ini.

"Setelah apa yang berlaku musim lepas, kami kini lebih berazam untuk mencipta kejayaan dalam kempen Eropah.

"Tiada siapa akan suka apabila berjumpa kami," kata Berbatov.

Berbatov masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika pertemuan di Rom itu.

"Bagi saya, kekalahan di Rom amat mengecewakan. Saya tidak bersama United ketika pasukan ini menjuarai gelaran Eropah pada musim sebelumnya.

"Jadi musim ini saya tidak mahu kekecewaan itu berulang lagi," kata penyerang kelahiran Bulgaria itu.

Arsenal sedia 'bedil' United


MANCHESTER United mengharapkan sentuhan dua penyerang berbisanya, Wayne Rooney (kanan) dan Nani untuk merobek gawang Arsenal.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menjanjikan corak permainan menyerang ketika pasukannya mahu membalas dendam ke atas Manchester United pada perlawanan Liga Perdana England di Old Trafford esok.

Wenger percaya, Arsenal terlampau malu ketika kalah dengan agregat 1-4 pada separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu kepada United.

Namun, Gunners bermula cemerlang musim ini dan akan beraksi di Old Trafford untuk memburu kemenangan keempat berturut-turut selepas memastikan tempat pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara apabila 3-1 ke atas Celtic kelmarin.

Kemenangan pada perlawanan play off kedua kelmarin adalah susulan daripada kecemerlangan aksi dalam Liga Perdana selepas menundukkan Everton dan Portsmouth.

Wenger yakin Arsenal berada pada tahap yang betul untuk menebus kehampaan selepas kegagalan di kejohanan Eropah kepada United.

"Dalam saingan Liga Juara-Juara, kami terlalu pasif, namun dalam perlawanan liga kami lebih banyak menyerang.

"Ia lebih kepada pertarungan mental berbanding taktikal. Saya gembira kerana akan ke sana, ia merupakan ujian besar pertama kami. Anda perlu sentiasa berada pada tahap keyakinan yang tinggi apabila beraksi di Old Trafford.

"Mengalahkan Celtic merupakan cara sempurna persediaan kami. Kami lebih tersusun dan berstruktur apabila melancarkan serangan dan menjaringkan gol.

"Harga yang terpaksa kami bayar ialah apabila sesekali kami melepaskan gol tetapi asalkan kami berjaya menjaringkan gol, kami tidak terlalu bimbang.

"Seseorang memberitahu saya bahawa usia purata pasukan ini ialah 23 tahun. Masih ada perkara yang mahu kami buktikan dan kami mahu menunjukkan peningkatan ketara pada hujung perlawanan dengan Manchester United," kata Wenger.

Selepas 'bingung' dengan kritikan yang mengetepikan sama sekali harapan Arsenal untuk menjuarai liga musim ini, Wenger sedar pasukannya perlukan prestasi terkuat di United untuk menafikan ramalan negatif terhadap Gunners.

Namun, Wenger mungkin terpaksa melakukannya tanpa ketua pasukan, Cesc Fabregas selepas pemain tengah Sepanyol itu, yang juga tidak beraksi ketika perlawanan dengan Celtic masih belum pulih daripada kecederaan pangkal paha.

Wenger mungkin memberi masa kepada Fabregas sehingga saat terakhir untuk membuktikan kecergasannya, namun dia mendapat sentuhan Robin van Persie dan Andrey Arshavin.

"Kami perlu memulihkan fizikal dengan pantas kerana Manchester United tidak beraksi minggu ini.

"Cesc belum pasti beraksi, Aaron Ramsey pula cedera Saya tidak tahu sejauh mana kecederaannya. Mereka akan melakukan pemeriksaan lutut,'' kata Wenger.

Wednesday, August 19, 2009

United masih belum panas


PARA pemain Manchester United giat menjalani latihan menjelang perlawanan dengan Burnley di Turf Moor. Kemenangan tipis 1-0 ke atas Birmingham pada perlawanan pembukaan EPL minggu lepas di Old Trafford bakal menjadi titik-tolak United bakal menguasai persada liga.

Manchester United secara tradisinya akan mula menguasai saingan untuk memburu kejuaraan Liga Perdana England apabila memasuki pertengahan musim saingan.

Musim lalu, mereka terpaksa menunggu sehingga pulang dari kejohanan Kelab Piala Dunia untuk memintas Liverpool dalam laluan untuk memenangi kejuaraan tiga kali berturut-turut.

Namun, hanya mengalahkan Birmingham 1-0 pada perlawanan pembukaan di Old Trafford, pemain pertahanan John O'Shea menegaskan, United merancang untuk mengemudi liga mulai awal musim.

United akan berdepan satu lagi kelab yang dinaikkan ke Liga Perdana di Turf Moor untuk berdepan Burnley, yang kembali ke saingan liga utama selepas 33 tahun.

Dan O'Shea yakin United akan terus memperlihatkan hasrat mereka itu pada minggu pembukaan musim ini, walaupun pasukan itu bergelut dengan masalah kecederaan pemain.

Pemain antarabangsa Republik Ireland itu gembira kerana United bermula dengan kemenangan dan berazam untuk meneruskannya apabila berdepan skuad Claret.

Katanya: "Kami tidak mahu menjadi pasukan yang menghambat pasukan lain, walaupun hanya selepas satu perlawanan.

"Lain-lain pasukan kelihatan semakin kuat ketika ini, jadi adalah penting untuk kami mengukuhkan penguasaan di awal musim.

"Kami memulakan kempen dua musim sebelum ini dengan keputusan seri, jadi kami amat gembira kerana meraih tiga mata ke atas Birmingham. Kini kami berdepan satu lagi perlawanan sukar di Burnley."

United diramal akan menguatkan lagi bahagian pertahanan apabila beraksi di Turf Moor esok kerana Jonny Evans dijangka tidak beraksi akibat kecederaan pergelangan kaki.

Dengan Nemanja Vidic juga dijangka tidak akan kembali beraksi sehinggalah perlawanan di tempat lawan dengan Wigan pada Sabtu ini, Rio Ferdinand tidak beraksi selama dua minggu, Wes Brown dijangka akan beraksi.

''Saya pasti Michael (Owen) akan mendapatkan semula sentuhan gol tidak lama lagi, seperti mana Wayne (Rooney), yang telah pun menjaringkan gol.

"Bagi Wayne, saya rasa persediaan pramusim amat penting untuk dia mendapat penyudah tajam yang diperlukannya," kata O'Shea lagi.

Liverpool perlu bangkit


PENYERANG Liverpool, Fernando Torres (tengah) diasak dua pertahanan Spurs pada aksi Liga Perdana England di White Hart Lane, Ahad lalu.

Liverpool turun dengan penuh kebimbangan apabila berdepan Stoke City pada aksi Liga Perdana England di Anfield awal pagi esok.

Selepas tumbang kepada Tottenham Hotspur (Spurs) pada aksi pembukaan liga di White Hart Lane, Ahad lalu, skuad The Reds itu pastinya mahu mengelak dari- pada mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Jika dibuat penilaian, kebimbangan yang dihadapi Liverpool tampak seperti tidak munasabah memandangkan saingan liga baru berusia 90 minit.

Namun, kekalahan 1-2 kepada Spurs, Ahad lalu bermakna mereka sudah pun terkeluar daripada landasan berbanding pesaing-pesaing utama lain yang kesemuanya menang perlawanan pertama.

Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Rafael Benitez berkata, pasukannya masih mampu mencapai kejayaan dengan syarat mereka perlu menampilkan peningkatan ketika berdepan Stoke.

"Kami pernah menghadapi perlawanan tanpa Xabi Alonso musim lalu dan memenangi beberapa perlawanan itu. Jadi saya rasa kami masih memiliki cukup kualiti dan perlu membuktikannya.

"Kami tahu kami telah beraksi dengan baik tetapi ia bukan disebabkan tekanan yang kami hadapi.

"Kami tidak beraksi dengan baik pada babak pertama ketika bertemu Tottenham tetapi beraksi baik pada babak kedua apabila kami melakukan tekanan lebih," kata Benitez.

Musim lalu, Stoke berjaya mengikat Liverpool tanpa jaringan dan kali ini mereka sekali lagi bertandang ke Anfield dengan semangat membara selepas menewaskan Burnley pada aksi pembukaan.

Monday, August 17, 2009

Kelab elit garang


Jaringan tunggal Wayne Rooney pada minit ke-34 menjadi penyelamat United yang dilihat agak kehilangan rentak sepanjang perlawanan yang berlangsung di Old Trafford itu.


Kelab elit Liga Perdana England (EPL) bermula garang pada aksi pembuka tirai bagi musim 2009/10.

Kelmarin, Arsenal mempamerkan kualiti bola sepak terbaik mereka apabila membelasah Everton 6-1 sementara Chelsea menang 2-1 ke atas Hull City.

Semalam, giliran Manchester United mempamerkan kehebatan apabila menang 1-0 ke atas Birmingham.

Jaringan tunggal Wayne Rooney pada minit ke-34 menjadi penyelamat United yang dilihat agak kehilangan rentak sepanjang perlawanan yang berlangsung di Old Trafford itu.

Birmingham turut mencipta beberapa peluang termasuk percubaan daripada pemain gantian, Christian Benitez namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Red Devils, Ben Foster.

Penyerang baru United, Michael Owen hampir mencatat nama sebagai penjaring tetapi percubaannya ketika berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Birmingham tidak menepati sasaran.

“Kami belum menemui sentuhan tetapi apa yang penting bagi saya ialah kemenangan,” kata pengurus United, Alex Ferguson.

Berdasarkan aksi semalam, United bagaikan hilang sengat di bahagian serangan selepas kehilangan Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid musim ini.

Rooney tidak mendapat sokongan yang diharapkan sementara Dimitar Berbatov terus gagal mempamerkan kualiti.

“Masih terlalu awal untuk membuat penilaian. Liga baru bermula dan semua pasukan masih mencari keserasian,” kata Ferguson.

Sunday, August 16, 2009

Arsenal berpesta gol benam Everton






Pemain pertahanan Arsenal, Thomas Vermaelen (dua dari kiri) meraikan kejayaan bersama rakan-rakan selepas menjaringkan gol kedua bagi pasukannya ketika menentang Everton dalam perlawanan pertama Liga Perdana England di Goodison Park, Liverpool, England hari ini. Pada perlawanan itu, Arsenal membelasah Everton 6-1


Arsenal memulakan kempen Liga Perdana England (EPL) dengan penuh bergaya apabila membelasah Everton 6-1 pada perlawanan di Goodison Park, awal pagi ini.

Skuad Gunners mempamer aksi licik, permainan menyerang untuk mengecewakan Everton yang menamatkan saingan di tempat kelima pada musim lalu.

Kejayaan Arsenal itu berbeza dengan kemenangan 2-1 yang dicatatkan oleh Chelsea ke atas Hull yang disifatkan sebagai `bernasib baik’.

Denilson memulakan pesta gol skuad bimbingan Arsene Wenger pada minit ke-26, diikuti Thomas Vermaelen (m-37), William Gallas (m-41), Cesc Fabregas (m-48, m-69) dan Eduardo (m-88)

Louis Saha menjaringkan gol sagu hati pasukan tuan rumah, Everton pada masa kecederaan.

Lain-lain perlawanan


Chelsea 2-1 Hull City

Aston Villa 0-2 Wigan Athletic

Blackburn Rovers 0-2 Manchester City

Bolton Wanderers 0-1 Sunderland

Portsmouth 0-1 Fulham

Stoke City 2-0 Burnley

Wolverhampton Wanderers 0-2 West Ham United


Perlawanan Malam ini

Manchester United VS Birmingham City

Liverpool VS Tottenham Hotspur

Jaringan Drogba julang Chelsea







PEMAIN Chelsea, Didier Drogba (dua dari kanan) melihat bola sepakannya melepasi penjaga gol Hull City, Boaz Myhill dan menerjah ke gawang gol untuk mengesahkan kemenangan The Blues dalam saingan musim baru bola sepak Liga Perdana England di Stamford Bridge, semalam.

Didier Drogba menyumbat dua gol untuk menghadiahkan kemenangan pertama Chelsea buat pengurus baru mereka, Carlo Ancelotti dengan menewaskan Hull City 2-1 pada aksi pembukaan Liga Perdana England, semalam.

Drogba menjaringkan gol kemenangan di minit kedua masa kecederaan apabila membuat hantaran silang tetapi sebaliknya bola menuju ke gawang menewaskan Boaz Myhill yang menggembirakan penyokong di Stamford Bridge.

Pada awal permainan, ia seperti Hull ingin memberikan kekecewaan buat Chelsea apabila pemain yang baru dibeli mereka Stephen Hunt memberikan gol pendahuluan buat Tigers sebelum Drogba menyamakan kedudukan.

Chelsea yang menamatkan saingan di tangga ketiga musim lalu, gagal memanfaatkan beberapa peluang pada separuh masa kedua.

Chelsea sepatutnya berada di depan seawal minit kedua apabila Drogba merembat liar dari jarak empat meter sebaik menerima hantaran menarik dari Michael Essien.

Akhirnya, The Blues terpaksa menerima bayaran yang mahal atas kegagalan mereka menyempurnakan peluang apabila Hunt yang buat pertama kali beraksi bersama Hull, memberikan gol pendahuluan buat pelawat pada minit ke-28.

Hunt sebelum ini mewakili Reading pernah mencederakan penjaga gol The Blues, Petr Cech sehingga retak tempurung kepala.

Gol pendahuluan Hull bagaimanapun tidak bertahan lama apabila tidak sampai 10 minit, Drogba menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma melencong dari jarak 26 meter selepas John Obi Mikel dikasari.

Chelsea hampir menjadikan kedudukan 2-1 pada awal separuh masa kedua apabila Nicolas Anelka merembat tepat ke arah penjaga gol Hull, Boaz Myhill dari jarak dekat.

Aksi Myhill terus cemerlang apabila menampan dengan kaki kedua-dua percubaan dari Anelka dan Drogba pada minit ke-57.

Sementara itu, Drogba berkata, dia berhasrat untuk melakukan hantaran silang tetapi ia lebih baik daripada itu apabila bola terus menerjah ke gawang gol.

"Kami mengharungi aksi separuh masa kedua yang begitu sukar, kami dapat menjaringkan banyak gol hari ini tetapi tidak bernasib baik.

"Ia sesuatu yang bagus dapat menjaringkan gol walaupun keadaannya amat sukar tetapi ia sesuatu yang positif apabila dapat mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama.

"Kepercayaan kami untuk memenangi perlawanan ini amat tinggi. Hari ini kami membuktikannya, kami terus berjuang sehingga perlawanan tamat. Kami amat bertuah dapat menjaringkan gol tetapi keinginan untuk menang tetap tinggi," kata Drogba.

Misi United bermula


FERGUSON berazam membimbing skuad kendaliannya menjuarai Liga Perdana England bagi musim keempat berturut-turut.

Manchester United sudah bersedia memulakan misi memburu trofi Liga Perdana England bagi musim keempat berturut-turut.

Malam ini, skuad kendalian Alex Ferguson itu akan membuka tirai liga dengan menentang Birmingham City di Old Trafford.

Pastinya, Ferguson tidak mahu anak buahnya membuka kempen liga dengan langkah kiri selepas mereka dikecewakan oleh Chelsea pada aksi Perisai Komuniti minggu lalu yang menyaksikan The Reds Devils tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Bagaimanapun, Ferguson tidak dapat mempertaruhkan barisan terbaiknya malam ini ekoran kece- deraan yang menimpa Edwin van der Sar, Owen Hargreaves serta Nemanja Vidic.

Mujur, pemain sayap Portugal, Nani dilaporkan sudah pulih dari- pada kecederaan dan dijangka dapat beraksi malam ini.

Selain itu, Ferguson juga boleh menarik nafas lega kerana tonggak pertahanannya, Rio Ferdinand serta Johnny Evans turut bebas dari- pada masalah kecederaan.

Sebelum ini, Ferdinand dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian belakang manakala Evans berdepan dengan masalah buku lali.

“Saya gembira kerana beberapa pemain utama kami dapat diturun- kan selepas kecederaan yang menimpa Edwin, Nemanja serta Owen.

“Masalah kecederaan ini tidak dapat dielakkan kerana ia akan berterusan sehingga akhir musim.

“Saya cuma berharap pemain bebas daripada masalah kecederaan berpanjangan kerana jika tidak, ia pasti bakal mengundang masalah buat kami untuk mempertahankan kejuaraan,” kata Ferguson.

Sekalipun menganggap cabaran musim ini lebih mencabar, Ferguson tetap optimis skuad kendaliannya mampu merealisasikan impian mereka bergelar juara liga.

“Memenangi empat kejuaraan (berturut-turut) merupakan sesuatu yang kami mahu lakukan dan jika berjaya ia suatu pencapaian terhebat.

“Namun, percubaan menjulang kejuaraan buat kali keempat berturut-turut menjadi satu cabaran yang hebat buat kami,” jelas Ferguson.

Friday, August 14, 2009

Capello selar bintang England


PENYERANG England, Emile Heskey (belakang) bersaing dengan pertahanan Belanda, Nigel de Jong pada aksi persahabatan kelmarin.


Fabio Capello mengkritik sikap angkuh pemain bintangnya ketika menentang Belanda pada aksi persahabatan kelmarin.

Kesilapan Rio Ferdinand dan Gareth Barry memberi peluang kepada Belanda mendahului 2-0 menerusi jaringan Dirk Kuyt dan Rafael van der Vaart sebelum England bangkit pada babak kedua perlawanan di Amsterdam itu.

Pemain gantian, Jermain Defoe meledak dua gol untuk menjadikan keputusan seri 2-2, sekali gus menyelamatkan maruah England daripada dimalukan Belanda.

Begitupun, jurulatih England, Capello menyelar sikap sombong dan terlalu yakin yang ada dalam diri beberapa pemain bintangnya.

"Ia hanya dua kesilapan mudah. Saya tidak marah kepada mereka kerana saya tahu mereka agak kelam-kabut," kata Capello.

"Cuma, saya rasakan yang mereka terlalu yakin apabila memegang bola.

"Kesilapan inilah yang selalu- nya membuatkan mereka melakukan kesilapan mudah sehingga membenarkan pemain lawan menjaringkan gol."

Meskipun agak berang dengan dua gol Belanda itu, Capello bagaimanapun menegaskan, beliau tidak cepat panik untuk mengatur strategi pada masa rehat.

"Saya masih bertenang. Kamu kena faham apa yang kamu perlu lakukan," kata Capello.

"Ia bukannya selalu berlaku. Situasi ini amat penting bagi pemain dari segi psikologi dan jika pengurus masih ada keyakinan, mereka masih mampu mengubah keputusan perlawanan."

Jerman selesa pimpin saingan Kumpulan 4


KLOSE dan Schweinsteiger masing-masing meledak satu gol kelmarin.

Jerman mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan 4 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2010 selepas menang 2-0 ke atas Azerbaijan kelmarin.

Gol daripada Bastian Schweinsteiger dan Miroslav Klose menyaksikan Jerman selesa mengumpul 19 mata, empat mata mendahului Rusia yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan.

"Kami berjaya melaksanakan misi kami dan mengutip tiga mata," kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.

"Tetapi kami menghadapi beberapa masalah seperti kehilangan rentak dan mengekalkan tumpuan sepanjang 90 minit permainan.

"Amat penting untuk memperbaiki permainan kerana masih ada sembilan mata lagi untuk dikutip," kata Loew.

Juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan manakala lapan pasukan naib juara yang terbaik akan mengharungi dua perlawanan penentuan kelayakan.

Dalam pada itu, Rusia yang turun pada aksi persahabatan kelmarin, terpaksa akur kepada kehebatan bekas juara dunia, Argentina apabila mereka tewas 2-3.

Bintang Zenit St. Petersburg, Igor Semshov terlebih dahulu meletakkan Rusia di hadapan sebelum Argentina memperoleh tiga gol menerusi penyerang Atletico Madrid, Sergio Aguero, Lisandro Lopez dan Jesus Datolo.

Pada penghujung babak kedua, penyerang Tottenham, Roman Pavlyuchenko merapatkan jurang untuk kedudukan 2-3.

Thursday, August 13, 2009

Terry perlekeh City


TERRY menganggap City tidak sehebat Chelsea.

Kapten Chelsea, John Terry menganggap prospek yang ada pada Manchester City masih belum mampu menarik minatnya untuk berhijrah ke Eastland.

Terdahulu, City telah menawarkan gaji sekitar £300,000 (RM1.7 juta) seminggu jika Terry bersetuju menyertai skuad kendalian Mark Hughes itu.

Namun, Terry menyifatkan, City tidaklah sehebat Chelsea kerana kelab tersebut tidak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Jika saya tertarik dengan mereka, sudah lama saya akan pergi ke sana.

"Saya memang berasa bangga dengan tawaran £28 juta (RM163 juta) itu.

"Saya terima panggilan daripada (Ketua Eksekutif Chelsea) Peter Kenyon dan saya beritahunya yang saya berbangga dengan tawaran daripada City.

"Tetapi saya jelaskan kepadanya bahawa saya tidak mahu meninggalkan Chelsea," jelas Terry.

Bagaimanapun, Terry mengakui, dia memang berazam untuk memastikan Chelsea dapat bersaing hebat bagi merebut kejuaraan utama musim ini dengan mengekalkan beberapa pemain bintang mereka.

"Saya tidak mahu kelab ini menjual Didier Drogba tetapi kami terdengar pelbagai khabar angin. Saya harap, pemain seperti ini kekal di sini," tegas Terry.

Buru sejarah baru


FERGUSON mahu membimbing United meraih trofi Liga Perdana England buat kali keempat berturut-turut.

Pengurus Manchester United, Alex Ferguson kini fokus untuk memenangi trofi Liga Perdana England buat kali keempat berturut-turut.

Untuk rekod, belum ada kelab yang berjaya melakukannya di England sebelum ini.

Musim lalu, Ferguson berjaya membawa United menyamai rekod kemenangan tiga musim berturut-turut yang pernah dicatatkan Arsenal, Liverpool dan Huddersfield Town.

Kini pengurus veteran itu berasakan skuad The Red Devils mampu untuk melakukan lebih daripada itu.

Pada Disember tahun lalu, United ke Jepun dan menjuarai Piala Kelab-Kelab Dunia sebelum kembali beraksi di pentas liga domestik untuk mengejar pendahulu ketika itu, Liverpool.

"Memenangi empat kejuaraan (berturut-turut) merupakan sesuatu yang kami mahu lakukan dan jika berjaya ia satu pencapaian terhebat.

"Kami sedar betapa sukarnya untuk menjuarai liga ini. Kami telah mendapat saingan yang cukup sengit musim lalu.

"Musim ini, kami tidak menghadapi sebarang masalah dan saya harap kami dapat melakukannya lagi.

"Namun, percubaan menjulang kejuaraan buat kali keempat berturut-turut menjadi satu cabaran yang hebat buat kami," jelas Ferguson.

Drogba janji musim terbaik buat peminat

Penyerang Didier Drogba berjanji untuk mengharungi musim ini dengan gembira selepas selesai menandatangani kontrak baru bersama Chelsea baru-baru ini.

Image
Drogba (kiri) bersedia menampilkan aksi terbaik bersama Chelsea musim depan

Kontrak selama tiga tahun dengan The Blues bakal menyaksikan penyerang Ivory Coast itu menamatkan kariernya di Stamford Bridge berikutan umurnya kini yang sudah berusia 31 tahun.

Justeru Drogba berikrar untuk memberikan musim yang gemilang buat peminat Chelsea dengan bersandarkan aksi cemerlang pasukan London itu sepanjang kempen 2008/09.

"Saya ada ramai kawan di Perancis ketika ini yang tidak mempunyai pasukan dan tanpa kontrak. Jadi, saya tahu betapa beruntungnya saya berada di sini dan saya mahu menikmatinya," katanya.

"Saya sudah bermain pada peringkat tertinggi sejak berusia 25 tahun. Dalam minda saya, saya masih berasa muda. Saya tidak tahu berapa lama lagi boleh bermain, tetapi apa yang penting adalah menikmati detik-detik terbaik ini.

"Mungkin saya nampak gembira sekarang dan saya tahu apa yang saya lakukan. Tetapi saya juga tahu apa yang telah saya lakukan sebelum ini, malahan setahun lalu. Saya tahu semuanya dan saya beritahu anda. Sebab itulah mengapa saya masih berada di sini bersama Chelsea.

"Saya rasa sangat bagus. Saya mahu bermain dan berasa gembira berada di kemuncak bersama rakan sepasukan. Saya mahu menghadiahkan kepada peminat satu musim yang hebat," katanya lagi.

Walaupun membantu Chelsea dalam kejuaraan Perisai Amal menentang seterunya, Manchester United minggu lalu, Drogba mengakui masih banyak lagi yang perlu ditingkatkan dalam permainannya.

"Ketika menentang United, saya hilang banyak bola dan saya rasakan ia bukan sesuatu yang normal. Saya perlu mengurangkan kesalahan, hilang bola. Anda tahu sentiasa ada ruang untuk ditingkatkan dan saya mahu tingkatkan apa yang saya lakukan sebelum ini. Saya mahu lakukan lebih baik dan mengelak melakukan kesilapan.

"Ini saya penting untuk difikirkan, untuk menjadi sempurna. Lebih banyak anda bermain dalam perlawanan besar, lebih banyak anda akan belajar. Saya rasa belum terlambat untuk belajar," katanya.

Ferguson tidak gentar ancaman


Alex Ferguson (kanan) dan Pengurus Chelsea, Carlo Anceloti ketika saingan Perisai Komuniti yang menyaksikan Manchester United tewas.

Jika pasukan kaya, Manchester City mahu menggertak Manchester United ketika musim baru belum bermula, mereka bukan sahaja berjaya melakukannya tetapi juga telah mengatasi United apabila berbelanja 100 juta pound (RM579 juta) untuk mendapatkan pemain baru.

Kehadiran Carlos Tevez dari United, Emmanuel Adebayor dan Kolo Toure dari Arsenal, Roque Santa Cruz dari Blackburn dan Gareth Barry dari Aston Villa sudah pasti akan mempertingkatkan tahap keupayaan City dalam musim baru Liga Perdana England (EPL) yang bermula hujung minggu ini.

Bagaimanapun, ia tidak sedikit pun memberi ancaman buat pengurus United, Alex Ferguson, yang akan cuba mempertahankan kejuaraan tanpa pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo, mahupun Tevez.

Apa yang membuatkan dia sakit hati di Old Trafford ialah City melaungkan amaran untuk mencabar kedudukan empat pasukan gergasi dan kedudukan United sebagai pasukan terbesar di England.

City seperti menyindir United apabila menggantung kain rentang di bandar tersebut dengan menunjukkan Tevez menyarung jersi City berserta slogan 'Selamat Datang Ke Manchester'.

"Itu adalah sebuah kelab yang kecil dengan pemikiran yang kolot, apa yang mereka boleh cakap ialah mengenai Manchester United.

"Ia bukan sesuatu yang mudah buat City bagi musim ini dan bagi saya mereka masih belum layak untuk berada sebaris dengan empat pasukan terbaik.

"Apa yang mereka belanjakan telah selesai, Mark Hughes masih perlu mencari keseimbangan dan apa yang dia ada 10 penyerang," kata Ferguson.

Sejak Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan mengambil alih City tahun lepas, Hughes telah berbelanja sebanyak 220 juta pound (RM1.2 bilion) untuk mendapatkan pemain baru, termasuk rekod Britain 32.5 juta pound yang dibayar untuk mendapatkan pemain Brazil, Robinho pada permulaan musim lepas.

Jika tidak berjaya menamatkan saingan liga di empat tempat terbaik dianggap sebagai kegagalan buat City, yang kali terakhir membuat sasaran realistik pada 1976-77 apabila mereka muncul naib juara di belakang Liverpool.

Mereka tidak pernah menang kejuaraan utama sejak Piala Liga 1976 dan apabila kembali ke saingan EPL pada 2002, kedudukan terbaik mereka di dalam liga ialah di tangga kelapan pada 2005.

Hughes yang merupakan bekas wira United di bawah Ferguson pada era 80-an dan 90-an, tidak berada di awangan.

"Saya masih ingat tekanan di bawah Alex Ferguson ketika saya menjadi pemain United dan kami mengharungi empat tahun untuk memenangi Piala FA.

"Bagi mendapatkan piala pertama ia amat sukar sekali. Selepas itu kejayaan menjadi perkara biasa kerana anda mempunyai pengalaman untuk mencapainya

"Saya tahu tekanan yang sedang saya hadapi. Pemilik kelab mahu membawa kelab ini di antara kelab empat terbaik dan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dengan segera," katanya.

Bagi merealisasikan impian itu City perlu mengetepikan salah satu pasukan sama ada United, Chelsea, Liverpool atau Arsenal dan hanya Everton sahaja yang mampu melakukannya pada enam musim kebelakangan ini iaitu pada 2004-05.

Selain kehilangan Tevez kepada City dan Ronaldo ke Real, United pasti yakin dengan kerana mereka masih mempunyai pemain muda yang hebat.

Jika pembelian pemain secara percuma, Michael Owen dapat menemui semula sentuhan jaringan bersama Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov, sekali gus menghilangkan kesan ketiadaan Ronaldo yang menjadi penyumbang jaringan.

United sedang berusaha untuk meraih kejuaraan keempat berturut-turut, kejayaan yang tidak pernah dilakukan oleh bola sepak England dan mensasarkan ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

Wednesday, August 12, 2009

Ballack mengaku siku Evra

Pemain tengah Chelsea, Michael Ballack menganggap dirinya bernasib baik kerana tindakannya menyiku pertahanan Manchester United, Patrice Evra tidak dikira sebagai kesalahan dalam aksi Perisai Amal pada Ahad lalu di Wembley.

Sir Alex Ferguson mendakwa Ballack sepatutnya menerima kad merah kerana menggunakan siku untuk menghalang Evra sehingga pemain itu rebah akibat kecederaan.

Image
Ballack (kiri) mengaku menyiku Evra dalam aksi perlawanan Perisai Amal antara United dan Chelsea malam kelmarin

Insiden itu mengundang kontroversi berikutan tindakan pengadil perlawanan, Chris Foy untuk tidak meniup wisel bagi menghentikan perlawanan sehingga memaksa gawang United bocor kali kedua hasil rembatan padu Frank Lampard.

Foy dicemuh peminat United kerana enggan meniupkan wisel sebaliknya membiarkan permainan terus berlangsung.

Bagaimanapun, Foy menegaskan bahawa dia menyaksikan sendiri insiden yang berlaku dengan jelas dan bertindak atas apa yang dilihatnya.

Sementara itu, Ballack dalam satu kenyataan terbaru mengaku menghalang Evra secara kasar, tetapi gembira kerana Foy tidak menghentikan perlawanan.

"Saya patut gembira. Pengadil tidak meniupkan wisel mungkin kerana tindakan saya itu hanya memberi impak kecil. Ia juga bukan masalah bagi saya jika pengadil menganggapnya sebagai satu kesalahan.

"Cuma ia menjadi sesuatu yang malang (kepada United) kerana gawang mereka bolos. Saya cuma meneruskan perlawanan. Jadi saya tidak tahu berapa teruk kecederaannya," katanya lagi.

Rooney makin 'panas'


ROONEY mahu meledakkan 25 gol musim ini.

Wayne Rooney sudah bersedia mengetuai cabaran Manchester United musim ini.

Dia turut berazam untuk merealisasikan sasaran menjaringkan 25 gol yang tetapkan oleh pengurusnya, Alex Ferguson.

Sebelum ini, Ferguson telah berjanji memberi peluang kepada penyerang England itu bermain di posisi kegemarannya iaitu di bahagian tengah serangan berikutan pemergian Cristiano Ronaldo.

Begitupun, Ferguson mahu Rooney membayar kepercayaannya dengan meledakkan seberapa banyak gol musim ini.

Rooney meledakkan 20 gol dalam semua kempen buat United musim lepas dan sedar dia perlu menambah koleksi jaringannya musim ini.

Bagaimanapun, bekas penyerang Everton itu percaya tanggungjawab besar yang dipikulnya setelah ketiadaan Ronaldo tidak sesekali merisaukannya.

"Sudah tentu 25 gol adalah sasaran yang saya harap dapat dicapai.

"Saya sentiasa kata yang saya sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol dan harapnya saya akan dapat melakukannya musim ini," kata Rooney.

"Saya telah dapat apa yang saya mahu. Saya mahu bermain di bahagian tengah serangan.

"Pengurus telah beritahu yang saya akan bermain di posisi tersebut musim ini, jadi saya gembira mendengarnya."

Ronaldo telah menyumbang 67 gol sepanjang dua musimnya di Old Trafford dan kini United perlu mencari pengganti kepada ketiadaannya.

"Dia (Ronaldo) adalah pemain terbaik di dunia dan banyak persoalan timbul apabila kami kehilangan dia," kata Rooney.

"Saya juga ada jangkaan tersendiri ke atas diri saya sejak tujuh tahun lalu.

"Sama ada Cristiano ada atau tidak, saya masih tetap mempunyai jangkaan saya sendiri."

Jurulatih negara dijangkiti H1N1?

Seorang jurulatih beregu badminton negara ke Kejohanan Badminton Dunia Yonex-Sunrise yang sedang berlangsung ketika ini dikhuatiri dijangkiti Influenza A (H1N1).

Menurut seorang pegawai kejohanan, jurulatih terbabit, Jeremy Gan mengalami demam sebaik tiba beberapa hari lepas dan telah dibawa ke hospital tetapi disahkan negatif.

"Namun, beliau pergi semula ke hospital pagi ini (pagi semalam) sekali lagi kerana masih demam.

Keputusan akan diketahui lewat petang ini," kata pegawai itu.

Jurulatih itu kini menerima rawatan di Hospital Chest, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Stadium Gawchibowli yang menjadi gelanggang kejohanan dunia itu.

Lebih 850 orang telah dijangkiti Influenza A di India dan lapan orang disahkan meninggal dunia akibat wabak itu termasuk seorang doktor dan ahli kimia.

Kenya pertaruh barisan terbaik jumpa Malaysia

RAJAGOBAL optimis
skuad kendaliannya
mampu memberi cabaran kepada Kenya.

Bukan calang-calang pasukan yang dipertaruhkan Kenya dalam perlawanan persahabatan menentang Malaysia hari ini, hampir 90 peratus pemain mereka adalah barisan yang sama menewaskan Mozambique 2-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Jun lalu.

Perkara ini telah dinyatakan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kenya, Sammy Joel Obingo, bahawa mereka bakal menurunkan barisan terkuat sebagai salah satu persiapan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2010 Afrika Selatan.

"Perlawanan persahabatan ini mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan kedua menentang Mozambique bulan depan dan sekarang ini di peringkat kumpulan kami berada di tangga ketiga," katanya dalam sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Jelasnya, walaupun pemain yang berpangkalan di Eropah tidak dapat hadir kerana menjalani pra-musim bersama pasukan masing-masing tetapi pemain yang disenaraikan adalah yang terbaik dari liga tempatan.

"Mereka memang menyatakan hasrat untuk hadir bersama tetapi bagi menjaga hubungan baik antara Kenya dan beberapa kelab Eropah, mereka diberi kelonggaran untuk terus bersama kelab masing-masing.

"Jika kami membariskan mereka ia akan menghadapi masalah untuk memanggil mereka pulang semula menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia nanti yang masih di pertengahan jalan," katanya.

Antara pemain utama Kenya yang tidak hadir ialah MacDonald Mariga (Parma) dan Patrick Onyango (beraksi di salah sebuah kelab di Republik Czech.

Sammy berkata, pemain yang disenaraikan berumur dalam lingkungan antara 24 hingga 25 tahun, termasuk seorang pemain yang dikatakan akan menjalani ujian bersama sebuah kelab di Sweden, Evans Wandera.

"Kami juga teruja apabila melihat pasukan anda menentang Manchester United dalam perlawanan persahabatan bulan lalu dan tidak sabar menyaksikan pemain yang menjaringkan dua gol (Amri Yahyah).

"Selain itu juga kami menganggap Malaysia bukan calang-calang pasukan kerana banyak kelab besar datang menjalani pra-musim di sini termasuk United dan Chelsea," katanya.

Bagaimanapun, hasrat mereka untuk melihat kelibat Amri tidak kesampaian apabila pemain itu berada di Paris bersama pasukan Selangor dan dalam masa yang sama jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tidak menyenaraikan pemain senior.

Kenya juga berharap perlawanan persahabatan ini bakal mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dalam sukan bola sepak termasuk perlawanan melibatkan pasukan negara bawah 17 dan 20 tahun.

Selain Mozambique, Kenya juga berada dalam satu kumpulan bersama pasukan yang pernah melayakkan diri ke Piala Dunia, Nigeria, Tunisia dan Ghana.

Benzema mahu ikut jejak Zidane, Kopa genggam Ballon d'Or

Penyerang baru Real Madrid, Karim Benzema mendedahkan impiannya untuk ditabalkan sebagai pemain terbaik Eropah bersama kelab barunya itu.

KARIM BENZEMA
Karim menyimpan cita-cita besar untuk menjulang trofi Anugerah Ballon d'Or ketika bersama Real

Penyerang Perancis itu mengharapkan dia dapat mengulangi semula era kegemilangan legenda Real, Zinedine Zidane dan Raymond Kopa.

Karim berkata, dua bintang tersebut adalah antara bekas pemain kebangsaan Perancis yang memenangi anugerah berprestij itu ketika menyarung jersi Real suatu ketika dulu.

"Saya menyempurnakan perpindahan ke Bernabeu untuk mencipta kemenangan. Jika kami memenangi pelbagai kejuaraan, mungkin pada satu tahap anugerah individu akan menyusul.

"Namun saya akui bahawa menjulang Anugerah Ballon d’Or adalah sebahagian daripada impian saya di sini. Saya mahu mengikut jejak langkah Zidane dan Kopa," katanya.

Menurut bekas penyerang Lyon itu, dia tidak sabar untuk beraksi di samping Xabi Alonso dan Cristiano Ronaldo di mana mereka pastinya mampu mencipta kejutan buat Real musim ini.

"Saya tidak mahu meniru Ronaldo dan tidak mahu menjadi sepertinya. Dia cuma sumber inspirasi saya, tidak lebih daripada itu," katanya lagi.

Schumacher batalkan hasrat kembali ke F1


SCHUMACHER masih belum bersedia sepenuhnya untuk kembali beraksi pada perlumbaan F1.



LUCA BADOER

Juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher mengubah keputusannya untuk kembali beraksi dalam perlumbaan Formula Satu (F1).

Sebelum ini, pemandu Jerman itu dijadual membuat penampilan semula pada Grand Prix (GP) Eropah di Valencia, 23 Ogos ini bagi menggantikan pemandu Ferrari, Felipe Massa yang mengalami kecederaan.

Bagaimanpun, Schumacher menjelaskan, dia masih belum bersedia untuk membuat penampilan pada perlumbaan kereta paling berprestij di dunia itu.

"Saya telah cuba melakukan segala-galanya untuk memastikan saya dapat membuat penampilan semula tetapi malangnya, keadaan saya tidak membenarkan saya berlumba dalam masa terdekat," kata Schumacher semalam.

"Leher saya masih terasa sakit sekalipun saya telah cuba untuk melakukan pelbagai rawatan terapi."

Pemandu berusia 40 tahun itu mengalami kecederaan leher dalam satu kemalangan motosikal awal tahun ini dan dia mengakui masih belum pulih sepenuhnya.

"Kesan kecederaan yang saya alami ketika kemalangan motosikal itu masih terasa sehingga kini.

"Leher saya masih belum boleh menerima tekanan apabila beraksi dalam perlumbaan F1.

"Saya telah menjalani pemeriksaan sejak dua minggu lepas dan kali terakhir pada petang semalam (kelmarin).

"Saya memang kecewa dan saya ingin meminta maaf kepada semua krew Ferrari serta peminat. Saya mendoakan yang terbaik buat Ferrari pada perlumbaan akan datang."

Berita kemunculan semula Schumacher merupakan khabar paling menggembirakan terutama buat peminat dan penganjur GP Eropah.

Malah, jualan tiket pada perlumbaan di Valencia itu juga dilaporkan meningkat gara-gara Schumacher.

Dalam pada itu, Ferrari mengumumkan memilih pemandu ketiga mereka, Luca Badoer bagi menggantikan Massa.

Pemandu veteran Itali berusia 38 tahun itu pernah beraksi sebanyak 49 perlumbaan ketika bersama pasukan Minardi dan Forti tetapi gagal untuk mengutip sebarang mata sejak tahun 1993 hingga 1999.

Related Posts with Thumbnails