Sunday, October 25, 2009

Gergasi Merah tumbang




INDRA meraikan jaringannya pada pertemuan Kelantan dengan KL Plus malam tadi. Kelantan menang 2-0.




JUARA treble, Selangor gagal dalam misi menjulang Piala Malaysia musim ini.
Ia gara-gara kekalahan skuad Gergasi Merah itu kepada Terengganu pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.
Selangor terpaksa akur dengan kehebatan Terengganu apabila tewas 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 apabila tamat perlawanan sebenar.
Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, kedua-dua pasukan turut terikat 1-1 untuk kedudukan agre- gat 2-2.
Terengganu bakal membuat perhitungan dengan Negeri Sembilan pada aksi separuh akhir yang dijadualkan pada 27 dan 31 Oktober ini.
Kelantan pula akan bertemu Perlis dalam satu lagi aksi separuh akhir selepas kedua-dua pasukan turut melepasi peringkat suku akhir kedua malam tadi.
Di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Kelantan menewaskan KL Plus 2-0.
Indra Putra Mahayuddin menceriakan penyokong skuad Wira Merah apabila meledak gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-13.
Norfarhan Mohamad melengkapkan malam gemilang Kelantan dengan gol kedua tuan rumah pada minit ke-76.
Pada aksi suku akhir pertama Selasa lalu, Kelantan berjaya mengikat KL Plus dengan keputusan seri 1-1 untuk mara dengan agregat 3-1.
Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis menewaskan Johor FC 2-0 hasil jaringan Ammar Rohidan pada minit kelapan dan Nizarudin Yusof (48).
Kemenangan itu membolehkan Perlis mara ke separuh akhir dengan agregat 4-1.
Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Negeri Sembilan mencipta kemenangan 3-0 ke atas Kuala Muda Naza, sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat 5-0.



No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails