Thursday, October 8, 2009

'Pelantikan Eriksson satu kesilapan'



Pelantikan Sven-Goran Eriksson (gambar) sebagai jurulatih Mexico adalah satu kesilapan. Itu pengakuan terbuka daripada pemain pertahanan Barcelona, Rafael Marquez kelmarin.
Eriksson dilantik menggantikan Hugo Sanchez pada Julai 2008 dengan misi membimbing Mexico layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010.
Bagaimanapun, dengan hanya empat kemenangan sebelum dia meninggalkan Mexico ketika saingan kelayakan Piala Dunia 2010 berbaki sembilan perlawanan, nasib pasukan itu kini dalam bahaya.
"Satu keputusan yang teruk telah dibuat dengan melantik seseorang yang tidak tahu tentang negara ini, bola sepak Mexico, pemainnya dan suasana persekitarannya.
"Dia (Eriksson) juga gagal menghadiahkan kejayaan seperti apa yang jurulatih sekarang (Javier Aguirre) lakukan," kata Marquez.
Aguirre mengambilalih tugas daripada Eriksson April lalu, namun dia bermula dengan langkah kiri apabila Mexico kalah kepada El Salvador, sekali gus meletakkan kedudukan mereka dalam kumpulan kelayakan Konfederasi Bola Sepak Amerika Tengah, Utara dan Carribean (CONCACAF) semakin buruk.
Begitupun, empat kemenangan berturut-turut telah mencerahkan semula harapan Mexico dan mereka yakin dapat menjamin slot ke pusingan akhir di Afrika Selatan apabila turun pada aksi terakhir dengan menentang El Salvador pagi Sabtu ini dan Trinidad & Tobago empat hari kemudian.
"Kami semua pada mulanya ragu-ragu (layak ke Afrika Selatan) tetapi ketibaan Javier telah mengubah segala-galanya, kami percaya dengan tugasnya dan kami mesti cuba melepasinya," kata Marques lagi.
Mexico kini di tangga kedua dengan 15 mata, satu mata di belakang Amerika Syarikat manakala Honduras di tangga ketiga (13), Costa Rica (12), El Salvador (8) dan Trinidad & Tobbago (5).

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails