Monday, October 19, 2009

Bola merah hampakan Reds


Gol kontroversi Darren Bent berjaya melonjakkan dia sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana England bersama penyerang Liverpool, Fernando Torres.

Disebabkan tindakannya, seorang peminat muda Liverpool bakal menikmati ‘kemasyhuran’ segera kerana menyebabkan The Reds mengalami kekalahan 0-1 kepada Sunderland di Stadium of Light, kelmarin. Penyokong tersebut didapati membaling sebiji bola pantai berwarna merah ke dalam kotak penalti Liverpool ketika Sunderland melakukan serangan dan tindakannya itu dapat dilihat dalam laman web sosial, YouTube.
Dia mungkin tidak boleh memikirkan apakah kesan-kesan daripada tindakannya itu. Namun ia memberi kesan besar buat Liverpool.
Percubaan pemain Sunderland, Darren Bent mengenai bola pantai tersebut dan ia sekali gus mengelirukan penjaga gol Liverpool, Pepe Reina.
Bola tendangan Bent tersebut memesong setelah terkena bola pantai dan menerjah ke jaring melepasi Reina yang terkeliru.
Jaringan tunggal Bent itu memberi tiga mata penuh buat Sunderland, manakala The Reds terpaksa menerima kekalahan yang seolah-olah tidak disengajakan.
Insiden tersebut menjadi provokasi mengejutkan daripada kedua-dua pengurus pasukan.
Pengurus Liverpool, Rafael Benitez menyatakan kejadian seumpama itu adalah perkara luar biasa yang terjadi, sekali gus menyebabkan pasukan bimbingannya itu kalah kali ketiga untuk persaingan musim ini.
Ditanya adakah gol tersebut harus dibatalkan, Benitez berkata: “Ia merupakan satu aspek teknikal. Ia mungkin satu jaringan, tetapi ia juga satu perkara yang sukar untuk dikatakan. Namun dalam kes ini, saya berpendapat ia seharusnya dikira sebagai jaringan,” kata Benitez.
Sementara itu, pengurus Sunderland, Steve Bruce bercakap kepada pengadil selepas tamat perlawanan mengenai ‘gangguan dari luar’. Namun tidak dapat dipastikan apakah perbualan antara Bruce dan pengadil tersebut.
Bruce berkata: “Saya telah diberitahu mengenai undang-undang perlawanan yang telah dicatatkan sebelum ini bahawa jaringan tersebut seharusnya dibatalkan dan permainan disambung semula dengan lambungan bola oleh pengadil.
“Namun begitu, adakah sesiapa tahu tentang peraturan tersebut?”
Dalam pada itu, Bent yang merupakan penjaring gol kontroversi tersebut tidak mahu mempedulikan siapakah yang betul.
Bagi Bent, dia hanya mahu bergembira apabila jaringan tersebut dikira.
Menerusi jaringan tersebut, Bent telah menghasilkan gol pada setiap perlawanan Sunderland sejak lima pertemuan lalu.
Lebih menarik, jaringan kontroversi itu telah melonjak kedudukannya sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana England bersama penyerang Liverpool, Fernando Torres. Kedua-dua pemain tersebut menghasilkan lapan gol sehingga ini.
Bent yang masih menuntut tempat dalam pasukan England dan kembali beraksi dengan skuad kebangsaan itu berkata: “Ia merupakan satu jaringan yang aneh. Namun begitu, saya akan sentiasa menerimanya,” kata Bent.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails