Sunday, October 11, 2009

Laman web FAM amat mengecewakan



Biarpun laman web FAM kini sudah berwajah baru tetapi ia masih mengecewakan kerana tiada  'update' dan info terkini berkenaan bolasepak tempatan terutamanya tentang aktivti dan perlawanan persahabatan skuad kebangsaan.

 Sebelum ini ramai peminat bola sepak bersungut tentang kewujudan laman web badan bola sepak yang menaungi segala aktiviti bola sepak di negara kita iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang begitu lemah pengisiannya.

Beritanya tidak dikemaskini setiap hari, info tentang bola sepak tanah air yang sering ketinggalan zaman, keputusan perlawanan bola sepak anjurannya yang sering lambat dikeluarkan dan entah segala macam kelemahan sering diperkatakan terutama oleh peminat yang mahukan info terkini bola sepak tanah air.
Lebih mendukacitakan lagi, laman web FAM itu dikatakan jauh ketinggalan dari segi penampilan dan rupa bentuknya berbanding dengan laman-laman web persatuan bola sepak negeri, kelab-kelab penyokong bola sepak negeri malah blog-blog bola sepak yang kini banyak tumbuh bagai cendawan di internet.
Sedihnya, lama web FAM itu sebenarnya menggambarkan corak pengurusan dan tahap profesionalisme badan bola sepak itu sendiri menyebabkan ramai pihak yang beranggapan sukan bola sepak negara ini tidak akan ke mana jika laman web yang menjadi wajah FAM itu sendiripun tidak dapat diuruskan dengan baik.
Malah,  laman web FAM itu yang kami gelarkannya ibarat si kura-kura kerana pengisiannya yang terlalu lemah, lembab dan perlahan berbanding info bola sepak itu sendiri yang sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa.
Laman web FAM sepatutnya menjadi rujukan kepada semua pihak termasuk pihak media yang inginkan sesuatu maklumat tentang bola sepak Malaysia untuk dimuatkan dalam akhbar terbitan mereka. Malangnya, FAM pula yang terpaksa memetik berita-berita dari akhbar tempatan untuk dimuatkan dalam laman web mereka. Sungguh memalukan! Mengecewakan!
Bagaimanapun, bulan September 2009 menampakkan sinarnya buat FAM. Kelihatan laman web FAM telah diberi wajah baru dan kelihatan juga telah lari jauh dari rupa bentuk yang kusam dan membosankan sebelum ini.
Paparan muka depannya sahaja sudah mula memahat perhatian sebaik para peminat mula memasuki laman web ini. Rupa bentuknya yang menarik agak mengkagumkan malah ada sedikit perubahan dari segi pengisian info di dalamnya.
Info-info tentang kejohanan bola sepak tempatan yang sebelum ini agak sukar diperolehi dan ada antaranya yang tidak lengkap dan lambat dikemas kini nampaknya telah mula menghiasi laman web FAM ini.
Perubahan ini agak menarik untuk diperhatikan. Kita mengharapkan pihak FAM akan melengkapkan laman web mereka dengan segala info yang berkaitan dengan bola sepak tanah air kita terutama kejohanan-kejohanan bola sepak yang berlangsung di seluruh negara kita.
Kita ucapkan tahniah atas perubahan yang mereka lakukan ini. Langkah ini mungkin sebagai permulaan untuk menarik semula pengiktirafan banyak pihak atas kesungguhan FAM menaikkan semula martabat sukan bola sepak negara kita.
Juga, tidaklah memalukan kita sebagai rakyat Malaysia andainya ada peminat dari luar negara yang melayari laman web ini untuk mencari info-info tentang bola sepak negara kita dan ini sudah tentulah bersesuaian dengan usia kemerdekaan negara kita yang telahpun mencecah ke usia 52 tahun.
Namun begitu, peminat bola sepak tanah air sekali lagi berasa kecewa kerana laman FAM yang baru itu masih belum 'di update'. Muka depan laman web tersebut memaparkan perlawanan diantara Malaysia dengan Lesotho yang sudah berlaku pada bulan lepas. Berita dan info tentang Piala Malaysia 2009 yang tengah rancak berlangsung masih tidak dimasukkan dalam laman web tersebut. Dan agak mengecewakan kerana Bahasa Inggeris kelihatan menjadi bahasa utama laman web FAM. Jika ingin berpijak di bumi nyata, FAM seharusnya memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama laman web mereka DAN menjadikan pilihan Bahasa Inggeris sebagai alternatif kepada peminat dari luar negara sebagaimana yang dilakukan banyak laman web dan blog-blog tempatan di internet.
Akhirnya, usahlah kepercayaan yang mula berputik di kalangan peminat bola sepak ini dipersia-siakan oleh FAM. Janganlah usaha ini turut termasuk dalam kategori 'hangat-hangat tahi ayam' dan kesudahannya ditempelak sebagai 'pi mai pi mai tang tu jugak'.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails