Saturday, October 3, 2009

Pertemuan dua ‘singa’ terluka



Pertemuan Chelsea dan Liverpool dalam persaingan Liga Perdana England di Stamford Bridge esok dijangka bakal menjadi pertarungan dua singa terluka selepas masing-masing baru ditimpa kekalahan memalukan. Chelsea tewas kepada Wigan 1-3 minggu lalu manakala Liverpool pula masih sukar melupakan bagaimana mereka boleh tumpas 0-2 kepada Fiorentina dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah.
Namun pasukan yang pastinya mengambil kesempatan daripada pertemuan dua pasukan yang baru kalah itu sudah pasti pendahulu liga, Manchester United, yang berpeluang melebarkan jurang mata apabila menentang Sunderland di tempat sendiri, awal pagi esok.
Hanya baru enam minggu Liga Perdana England bermula, dua pengurus, Rafael Benitez dan Carlo Ancelotti sudah ‘panas punggung’ untuk mengejar United.
Kekalahan perlu dielakkan jika berhasrat terus mencabar United tetapi seri adalah keputusan paling baik buat kedua-dua pasukan.
Dengan sudah dua kali tewas musim ini, Liverpool terpaksa bertandang ke tempat lawan tetapi perlu mengurangkan margin dalam melakukan kesilapan di atas padang.
Berbanding Chelsea yang mencatat kekalahan pertamanya minggu lalu, prestasi mereka jelas belum meyakinkan walaupun menang 1-0 ke atas Apoel Nicosia.
Apatah lagi bermain di gelanggang sendiri, segala-galanya perlu menjadi buat Chelsea untuk menjinakkan Liverpool biar pun kedua-dua pasukan kini tertekan.
“Kami perlu lebih baik daripada Liverpool. Mereka kelab hebat dan kami harus bertindak menyaingi mereka,” kata ketua pasukan Chelsea, John Terry.
Musim lalu, Liverpool menamatkan rekod 86 perlawanan tanpa kalah Chelsea di Stamford Bridge, tetapi dengan menyaksikan goyahnya bahagian tengah dan pertahanan di Fiorentina, saingan pasti berbeza kali ini.
Javier Mascherano dijangka kembali daripada kecederaan untuk memberi pilihan kepada Benitez mengukuhkan benteng pertahanannya yang diketuai Jamie Carragher dan Martin Skrtel di samping Daniel Agger yang juga baru pulih.
Siapa juga yang diturunkan, Benitez menuntut peningkatan daripada pemain-pemainnya.
“Saya percaya anda akan lihat Liverpool yang berbeza di Chelsea. Juga prestasi dan mentaliti yang berbeza,” tegas Benitez.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails