Tuesday, October 27, 2009

Ferguson salahkan pengadil lagi


FERGUSON masih tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan dalam Liga Perdana England setakat ini.


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mendakwa yang pasukannya tidak mendapat layanan adil daripada pengadil, Andre Marriner di Anfield.
Nemanja Vidic diperintah keluar padang ekoran kad kuning kedua dan Ferguson juga mempersoalkan beberapa keputusan berat sebelah pengadil itu ketika menyaksikan anak-anak buahnya tewas 0-2 buat kali pertama dalam 12 perlawanan kepada Liverpool kelmarin.
Gol menerusi Fernando Torres dan David Ngog akhirnya menamatkan badi kekalahan The Reds dalam empat perlawanan, sekali gus mengurangkan tekanan di bahu pengurus, Rafael Benitez.
Walaupun mengakui bahawa Liverpool memang layak menang, Ferguson bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan Marriner telah banyak dipengaruhi oleh peminat tuan rumah.
"Kami kalah kerana satu atau dua keputusan yang tidak masuk akal. Sepatutnya kami dihadiahkan penalti di atas kesalahan (Jamie) Carragher pada babak pertama," kata Ferguson.
"Dia jelas sekali mengasari Car- rick. Tetapi dia dihukum ketika menjatuhkan Michael Owen di luar kotak penalti.
"Dia adalah pertahanan terbaik mereka, jadi jika dia tiada, maka ia pasti menyukarkan mereka. Peminat mereka pula sangat fanatik dan memberi tekanan ke atas pengadil dalam setiap keputusan.
"Cuba lihat ketika Patrice Evra dilayangkan kad kuning apabila Torres tersepak kakinya sendiri. Suasana di sekeliling telah memaksa pengadil melayangkan kad kuning. Vidic pula memang buat kesalahan tetapi penyokong yang mahu dia dilayangkan kad kuning kedua.
United kekal dua mata di bela- kang Chelsea yang mendahului Liga Perdana England dan Ferguson menegaskan bahawa anak-anak buahnya akan bangkit semula.
"Sebahagian cabaran bagi kami ialah mengubat kekecewaan ini. Musim lepas kami kalah 1-4 kepada Liverpool tetapi kami tetap menang kejuaraan liga," kata Ferguson.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails