Tuesday, October 13, 2009

Rooney terlepas aksi ke Belarus



Penyerang England, Wayne Rooney bakal terlepas perlawanan akhir kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Belarus, esok kerana mengalami kekejangan betis.
Pemain Manchester United itu mengalami kecederaan tersebut ketika beraksi bersama England ketika skuad kebangsaan itu tumpas 0-1 kepada Ukraine di gelanggang lawan, Sabtu lalu.
Khabar kecederaan tersebut sesuatu yang mengejutkan kerana Rooney berada di atas padang sepanjang perlawanan menentang Ukraine itu.
Malah sikap penyerang United itu bertukar sopan dan memuaskan sepanjang perlawanan kelayakan itu, biarpun England bermain 10 orang selepas 15 minit perlawanan berlangsung ekoran penjaga gol, Robert Green dibuang padang.
Bagaimanapun Rooney kini harus menjalani rawatan untuk membolehkannya kembali cergas bagi menghadapi persaingan Liga Perdana England menentang Bolton.
Selain Rooney, Green turut tidak akan dibawa ke Belarus. Ben Foster telah disenaraikan untuk pertemuan perlawanan kelayakan tersebut bagi menggantikan Green.
Foster merupakan salah seorang daripada tiga pemain yang masih lagi belum diputuskan oleh Fabio Capello untuk membarisi skuad England di kejohanan Piala Dunia 2010.
Melainkan kecederaan menimpa salah seorang daripada empat pemain penyerang England, Capello pastinya akan membuat pengumuman pengganti.
Namun begitu, jika perkara buruk itu berlaku, pengendali dari Itali itu mempunyai pilihan lain dengan mengarahkan Steven Gerrard bertindak ke posisi lebih hadapan.
Posisi baru itu dilihat lebih berkesan kerana Gerrard dilihat berjaya membawa peranan baru tersebut dengan jaya dalam skuad Liverpool.
Alternatif lain yang mungkin boleh dilakukan oleh Capello adalah menggandingkan Carlton Cole bersama Emile Heskey atau dengan pemain Aston Villa, Gabriel Agbonlahor yang tidak digunakan sebagai pemain gantian pada pertemuan Sabtu lalu.
England mencatat lapan kemenangan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia dan sudah pun mengesahkan diri secara automatik ke Afrika Selatan, sebelum ditumpaskan oleh Ukraine. England adalah pendahulu Kumpulan 6 untuk negara Eropah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails