Friday, July 31, 2009

City ikat Toure empat tahun di Eastlands

Pertahanan Arsenal, Kolo Toure mengesahkan dirinya sebagai pemain Manchester City dengan kontrak selama empat tahun di Eastlands.

Perpindahannya itu menamatkan tujuh tahun kariernya bersama Arsenal.

Pengurus Manchester City, Mark Hughes percaya kehadiran Toure bersama kelab ini memainkan peranan penting sama ada di atas mahupun luar padang.

KOLO TOURE
Toure sah menjadi pemain pertahanan City selepas menandatangani kontrak empat tahun bersama kelab itu

City dilaporkan mengemukakan tawaran sebanyak £15 juta (RM87 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.

"Saya berminat dengannya sejak sekian lama. Dia begitu kuat, pantas, mampu membaca corak permainan lawan dan menjadi pemain berpengaruh di bilik persalinan.

"Saya amat mengalu-alukan kehadirannya ke City. Memang tidak dinafikan kami mahu memperkukuhkan benteng pertahanan dan Toure adalah pemain berkelas dunia. Dia memiliki pengalaman berharga dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL)," kata Hughes.

Thursday, July 30, 2009

Piala Audi – Manchester United Mara Ke Final.

















Antonio Valencia menjaringkan gol kemenangan Manchester United dalam penampilan pertamanya untuk membantu juara EPL itu mara ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Boca Juniors 2-1 di Munich semalam.

Pemain sayap Ecuardo itu hanya memerlukan 42 minit dalam perlawanan pertamanya itu untuk menemui sasaran selepas Anderson menjaringkan gol pertama United menerusi sepakan percuma pada awal babak pertama.

Federico Insua merapatkan kedudukan pada minit ke-55 pada ketika kelab Argentina itu menguasai babak kedua namun anak-anak buah Sir Alex Ferguson bertahan baik sehingga wisel penamat dibunyikan.

Ferguson menamakan Federico Macheda dan Wayne Rooney sebagai pasangan penyerang manakala Valencia mengisi bahagian sayap.

Kebanyakan perhatian bertumpu kepada pemain Ecuardo itu yang dikatakan mengisi ruang kosong di sebelah kiri yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo.

Walaupun bermain dengan agak gemuruh pada awal permainan, Valencia akhirnya dapat menyesuaikan diri dan gol yang dijaringkannya itu sekurang-kurangnya dapat menambah keyakinan dirinya untuk bermain dalam kesebelasan utama United selepas ini.

Wednesday, July 29, 2009

Man. City hebat hanya pada wang

-
Carlos Tevez (kanan) dan Roque Santa Cruz bakal perkuatkan jentera serangan kelab City musim ini.


Manchester City diberi peringatan bahawa tindakan mereka berbelanja besar seperti Chelsea tidak akan menjamin sebarang kejayaan.

Kelab terkaya dunia dari Eastlands itu telah melabur £80 juta (RM464.2 juta) pada musim perpindahan ini.

Perbelanjaan mereka itu adalah sama seperti yang dilakukan oleh Roman Abramovich pada minggu pertamanya menjadi pemilik kelab Stamford Bridge tersebut.

Setelah mereka gagal dalam cubaan memancing John Terry, kapten The Blues itu kemudian menegaskan bahawa wang bukanlah jawapan yang mudah untuk memenangi kejuaraan.

"Apa yang berlaku di Chelsea beberapa tahun lalu agak sama seperti apa yang Manchester City cuba lakukan sekarang," kata Terry.

"Jika kamu beritahu City bahawa dalam masa empat atau lima tahun akan datang mereka mungkin berada pada kedudukan seperti Chelsea, saya jamin mereka akan marah dengan kamu.

"Tetapi semuanya bukan hanya mengenai wang. Kejayaan kami (Chelsea) hadir dengan kerja keras dan itulah yang perlu City lakukan untuk muncul juara."

Mourinho tawar diri kemudi ManU

Jose Mourinho menawarkan dirinya untuk menggantikan tempat Sir Alex Ferguson jika pengurus Manchester United itu meninggalkan Old Trafford suatu hari nanti.

Selepas 23 tahun mengemudi United, Ferguson langsung tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia mahu berundur daripada status pengurus yang disandangnya.

Image
Mourinho bersedia menjadi pengurus United bila-bila masa jika pihak pengurusan kelab itu mahu mendapatkan khidmatnya nanti

Mourinho menegaskan bahawa dia adalah individu yang tepat untuk meneruskan kegemilangan United sekiranya ketua pengarah eksekutif, David Gill dan ahli lembaga pengarah United sekiranya Ferguson bersara kelak.

"Saya akan menimbangkan tawaran ke Manchester United. Itu pun jika mereka benar-benar mahukan saya menggantikan Ferguson," katanya kepada Daily Mirror.

Mourinho mengakui menyukai England yang mempunyai peminta bola sepak yang sentiasa ghairah dengan menjadikan setiap perlawanan begitu menakjubkan.

Jurulatih dari Portugal itu yakin bahawa rekod cemerlang yang dipegangnya sepanjang mengemudi pasukan dari tiga liga berasingan adalah bukti jelas bahawa dia mampu menggalas tugas berat menguruskan kelab terbaik dunia itu.

Antara bukti kecemerlangannya ialah kemampuannya membantu Inter Milan meraih semula status juga liga Serie A musim ini di bawah kendaliannya.

Sebaliknya bekas kelabnya, Chelsea sekadar menduduki tempat ketiga dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak beliau meninggalkan kelab itu pada 2007.

"Sejak saya meninggalkan Chelsea, saya menjadi juara semula tetapi mereka pula sudah tidak menjadi juara lagi. Saya kekal menang dan mereka tidak," kata Mourinho.

Owen mampu pecah rekod jaringan Charlton

Bintang veteran Manchester United, Ryan Giggs menyatakan hasratnya untuk melihat penyerang baru Red Devils, Michael Owen memecahkan rekod jaringan gol lagenda England, Sir Bobby Charlton.

Giggs musim lalu berjaya mengatasi rekod penampilan Charlton dengan mewakili United dalam 759 perlawanan di mana dia kini sudah melakukan 805 penampilan dan masih cergas untuk terus bermain.

Pemain kelahiran Wales itu memuji Owen selepas bekas penyerang Enbgland itu menjaringkan empat gol sepanjang siri Jelajah United ke Asia.

MICHAEL OWEN
Giggs percaya Owen bakal memecahkan rekod penjaring terbanyak England, Charlton dalam 15 perlawanan akan datang

Giggs percaya bekas penyerang Liverpool itu mampu menampilkan lebih banyak kejutan selepas pulang semula ke England bagi menghadapi saingan merebut Piala Audi minggu ini.

Jika Owen mampu beraksi cemerlang nanti, tidak mustahil dia dapat memikat semula hati Pengurus England, Fabio Capello.

Owen tidak mendapat tempat dalam skuad England pimpinan Capello kerana dia didapati tidak cergas sepenuhnya untuk bermain dalam kesebelasan utama.

Giggs bagaimanapun yakin bahawa Owen tidak akan mengambil masa yang lama untuk meledakkan sembilan gol bagi menyamai rekod 49 gol yang dicipta Charlton.

"Dia mampu melakukannya. Ia rekod yang sukar diatasi kerana ia gagal dipecahkan sekian lama.

"Namun jika anda menganalisis karier Owen dan menyaksikan jaringannya, dia mempunayi kemampuan untuk menyamai rekod Charlton jika diturunkan dalam 15 perlawanan lagi," kata Giggs.

Kontrak lima tahun Ibrahimovic di Barca



Zlatan Ibrahimovic

Zlatan Ibrahimovic menandatangani kontrak lima tahun dengan Barcelona selepas lulus ujian kesihatan kelmarin.

Penyerang Sweden itu melengkapkan perpindahan termahal 46 juta euro (RM230.6 juta) dari Inter Milan.

Dia diperkenalkan kepada lebih 40,000 peminat di Stadium Camp Nou dengan jersi No. 6 Barcelona.

Kontrak Ibrahimovic, 27, di Barcelona sehingga 2014. Dia mempunyai klausa pembelian bernilai 250 juta euro (RM1.25 bilion).

Penyerang Barcelona dari Cameroon, Samuel Eto'o akan menyertai Inter sebagai sebahagian daripada perjanjian manakala pemain tengah Belarus, Aleksandr Hleb akan dipinjamkan ke kelab Itali itu semusim.

''Saya tidak datang ke sini untuk menggantikan Eto'o kerana saya pemain yang berbeza. Saya akan berusaha sehingga maksimum untuk membuktikan anda tidak tersilap mendapatkan khidmat saya,'' kata Ibrahimovic.

Dalam pada itu, jurucakap Kelab Barcelona berkata, Ibrahimovic patah jari tangan kiri dan akan menjalani pembedahan.

Kecederaan itu dialami pada perlawanan persahabatan terakhir Inter menentang Chelsea di Los Angeles minggu lalu.

"Kecederaan ini memaksa pembedahan dijalankan, ia akan dilakukan tengah hari esok,'' kata setiausaha teknikal kelab, Txiki Beguiristain.

Ibrahimovic menjadi pemain baru ketiga Barcelona yang menyertai kelab itu pada musim panas ini sebagai sebahagian daripada usaha jurulatih Pep Guardiola untuk menguatkan pasukan itu yang memenangi kejuaraan treble iaitu liga Sepanyol, Liga Juara-Juara dan Copa del Rey musim lalu.

Dua lagi pemain baru skuad itu dari Brazil - Maxwell juga dari Inter manakala Keirrison dari Palmeiras.

Ibrahimovic berpindah dari Ajax ke Juventus pada 2004 sebelum tiga musim berikutnya di Inter sebagai penjaring terbanyak Serie A dengan 25 serta membantu Nerazzurri memenangi kejuaraan liga keempat berturut-turut musim lalu.

Ibrahimovic tidak pernah menyembunyi keinginan untuk meninggalkan bola sepak Itali.

"Bila saya mula terfikir untuk berhijrah? Pada Disember iaitu sebelum Krismas.

''Lebih kerap saya melihat permainan Barcelona, perasaan saya semakin kuat untuk meninggalkan kelab ini. Saya bosan terhadap bola sepak Itali, Milan, bola sepaknya, permainan yang teruk, di sini terlalu banyak tekanan,'' katanya.

Sementara itu, bekas pengarah Juventus, Luciano Moggi yang mendapatkan Ibrahimovic dari Ajax, berkata, Inter memiliki segala-galanya tetapi telah menyerahkan Scudetto kepada Juve.

"Inter seperti membunuh diri dengan menjual Ibrahimovic. Mereka menjual pemimpin mereka. Eto'o pemain yang hebat, namun dia hanya cemerlang apabila pasukan beraksi baik.

''Ibrahimovic mampu memberikan kelainan sekalipun pasukan beraksi teruk,'' katanya

Tuesday, July 28, 2009

Ronaldo kecewakan peminat Bernabeu





REAKSI Ronaldo ketika dijatuhkan dalam kawasan penalti menentang Al-Ittihad, kelmarin.

Cristiano Ronaldo mempamerkan permainan mengecewakan dalam penampilan sulung bersama Real Madrid di tempat sendiri menentang kelab Arab Saudi, Al Ittihad, kelmarin.

Seramai 80,000 penonton membanjiri Santiago Bernabeu ketika bintang bola sepak Portugal itu diperkenalkan pada awal bulan ini, namun semalam suku daripada tempat duduk stadium kosong ketika Real hanya mampu seri 1-1 dengan Al Ittihad dalam perlawanan Piala Keamanan.

Ronaldo yang dibeli dengan bayaran rekod dunia 93 juta euro (RM473 juta) daripada Manchester United, hanya melakukan satu percubaan bahaya pada babak pertama.

Namun, secara keseluruhan, kehadirannya kurang berkesan sebelum digantikan oleh pemain Belanda, Arjen Robben ketika perlawanan tinggal 25 minit untuk ditamatkan.

Raul membuka jaringan Real pada awal separuh masa kedua selepas penyerang veteran itu menerima hantaran silang Karim Benzema.

Bagaimanapun, Hecham Aboucharoan berjaya menyamakan kedudukan buat Al Ittihad di minit ke-64 selepas tandukannya gagal diselamatkan penjaga gol Real, Jerzy Dudek.

Esteban Granero, yang turut membuat penampilan sulung buat Real di Bernabeu melepaskan dua rembatan cantik dari jarak jauh, namun bola terkena palang.

Menanti Real dalam perlawanan kedua Piala Keamanan adalah kelab Ecuador, Liga de Quito hari ini.

Kejohanan itu turut disertai kelab Itali, Juventus, Olympique Lyon (Perancis) dan pasukan Liga Perdana England, Aston Villa.

Monday, July 27, 2009

United menang besar

Michael Owen menjaringkan dua gol manakala Ryan Giggs melakukan hatrik ketika membantu juara Liga Perdana Engalnd, Manchester United menang besar 8-2 ke atas Hangzhou Greentown pada perlawanan persahabatan terakhir Siri Jelajah Asia mereka di sini, semalam.

Selain dua pemain itu, turut menyumbang jaringan pada perlawanan menentang kelab pertengahan Liga Super China itu adalah Dimitar Berbartov, Zoran Tosic dan Nani.

Owen yang baru menyertai United secara percuma dari Newcastle awal bulan ini paling menonjol kerana semakin menunjukkan keserasian walaupun digantikan Wayne Rooney di babak kedua.

Owen setakat ini sudah menjaringkan empat gol sepanjang Jelajah Asia ini termasuk ketika menewaskan Malaysia sebelum ini.

Bagaimanapun ketika menewaskan FC Seoul 3-2, 48 jam lalu, Owen tidak menjaringkan gol tetapi pantas meletakkan United dua gol di depan dalam masa dua minit ketika menentang Hangzhou semalam.

Gerakan menariknya pada minit ke-23 diikuti gol kedua ketika perlawanan memasuki setengah jam cukup untuk memusnahkan harapan tuan rumah dalam melakukan kejutan.

Berbatov juga semakin mempamerkan gandingan mantap dengan Owen di samping tidak kehilangan sentuhan jaringannya.

Cuma perlawanan semalam, United gagal menyekat Hangzhou daripada menjaringkan gol apabila dua kali bolos.

Gol pertama tuan rumah dijaringkan Wang Hongyou menerusi tandukan selepas menyambut sepakan sudut 13 minit sebelum permainan tamat.

Satu lagi gol Hangzhou dijaringkan selepas Giggs melengkapkan hatriknya. Ia dijaringkan Valdo pada minit-minit terakhir permainan.

Perlawanan semalam mengakhiri Siri Jelajah Asia United yang selepas ini akan menyertai Piala Audi di Jerman - kejohanan yang disertai empat kelab ternama dunia.

Kemenangan pertama julang moral Liverpool



PARA peminat Liverpool di Singapura memegang poster sinis ketika perlawanan persahabatan antara Liverpool dan Singapura di Stadium Nasional Singapura, semalam. - AP

Liverpool membelasah Singapura 5-0 semalam untuk mencatat kemenangan pertama daripada empat perlawanan pramusim mereka setakat ini.

Berada dalam senarai penjaring untuk Liverpool adalah Fernando Torres, Andriy Voronin, Albert Riera dan penyerang muda dari Hungary, Krisztian Nemeth.

Selain satu kemenangan moral, kejayaan Liverpool itu memang dinantikan dalam usaha merangsang persiapan mereka menghadapi musim baru Liga Perdana England nanti.

Skuad bimbingan Rafa Benitez itu diletakkan antara pasukan pilihan untuk meraih kejuaraan liga musim ini yang gagal mereka menangi sejak 20 tahun lalu apabila sering dibayangi Manchester United.

Namun perlawanan semalam sedikit mengecewakan penyokong mereka di sini kerana tanpa Steven Gerrard yang baru selesai kes mahkamahnya di England.

Bagaimanapun kelibat Torres yang beraksi 30 minit dan yang lebih penting Xabi Alonso yang beraksi 13 minit sebelum permainan tamat memberi petanda positif kepada peminat mereka.

Torres mungkin lega kerana berjaya menjaringkan gol tetapi kelibat Alonso yang dikaitkan dengan penghijrahan ke Real Madrid memberi pengertian kemungkinan dia akan kekal bersama kelab itu.

Benitez telah pun mengadakan perbincangan dengan Alonso, kelmarin dan langkah menurunkannya membawa makna yang besar.

Sebelum ini, Liverpool hanya mampu seri 1-1 dengan Thailand selain seri 0-0 dengan kelab Switzerland, St. Gallen serta tewas 0-1 kepada Rapid Vienna.

Dengan perlawanan bertemu Singapura itu, Liverpool menamatkan jelajah pra-musim mereka dengan kembali ke England lewat malam tadi untuk menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Espanyol pada 2 Ogos ini di mana dijangka Gerrard akan kembali beraksi.

Tuesday, July 21, 2009

Ada peningkatan yang ketara




Perlawanan Pertama

2 - 3



Perlawanan Kedua

0 - 2

Sir Alex Ferguson terkejut dengan aksi skuad kebangsaan

Sir Alex Ferguson sekali lagi menghamburkan pujian buat skuad kebangsaan sambil mengakui Manchester United terpaksa bergelut sebelum menang 2-0 dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Menurutnya, para pemain kebangsaan mempamer peningkatan berbeza berbanding skuad 2001, di mana mereka menang besar 6-0. Malahan Ferguson lebih banyak memuji persembahan pemain negara semalam berbanding ketika pasukannya hampir dikejutkan sebelum menang 3-2 pada perlawanan pertama Sabtu lalu.

"Saya terkejut melihat mereka telah banyak berubah pada perlawanan hari ini (semalam) dan juga Sabtu lalu.

'Ia sama sekali berbeza berbanding sembilan tahun lalu. Skuad kali ini bertenaga, mereka begitu ghairah untuk mengejar bola dan membuatkan kami terpaksa bergelut," katanya dalam sidang media semalam.

Jelasnya, pemain yang diturunkan oleh K. Rajagobal semalam lebih bertenaga dan memiliki kelajuan luar biasa sehingga memberi mampu ancaman kepada pasukannya.

"Mereka memiliki kelajuan cuma penyudahnya rata-rata pemain anda perlu memperbaikinya.

"Bagaimanapun segala pergerakan dan keputusan yang dilakukan mereka di atas padang boleh dibanggakan," katanya pengendali berbangsa Scotland itu.

Penyudah Lemah - Fergie

PENYUDAH lemah dikenal pasti pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson ketika melihat anak buahnya membenam cabaran Malaysia dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Pada firasatnya, secara keseluruhan pemain negara pimpinan K Rajagobal memiliki semangat juang kental dan kepantasan serta kemampuan mengawal bola, namun apa yang ketara mereka tiada naluri pembunuh.

"Saya berasa skuad Malaysia mencapai kemajuan jika dibandingkan pada aksi 2001. Mereka mempunyai kelajuan untuk memerangkap kami dengan melakukan serangan balas.

"Anda sentiasa bimbang terhadap pasukan yang pantas kerana mereka benar-benar mampu mengancam anda. Namun, skuad anda tidak mempunyai penyudah," katanya.

Dalam sidang akhbar sejurus saingan semalam, Ferguson, menganggap saingan dengan Malaysia, bukan sukar dan dibuktikan dengan kegagalan mereka menembusi gawang negara pada babak kedua.


Dalam pada itu, Rajagobal berkata, penyudah tumpul dan pertahanan goyah merupakan punca hasrat skuad kebangsaan lebur untuk mengulangi persembahan cemerlang seperti Sabtu lalu.

Kata beliau, ketiadaan penyudah yang berkesan di jentera serangan tidak sepatutnya berlaku jika mahu memberi tentangan ke atas pasukan handal seperti United.

"Kita perlukan penyudah yang baik apabila berdepan pasukan kuat seperti United.

"Namun ia gagal dijelmakan. Kita ada sekurang-kurangnya dua peluang gol di babak pertama namun ia gagal disempurnakan. Pertahanan kanan dan kiri juga tidak berfungsi dengan baik hari ini.

"Inilah punca kita terpaksa melepaskan gol di awal permainan," katanya.

Keletihan mungkin menjadi faktor utama kepada prestasi hambar skuad negara malam tadi apabila Rajagobal hanya membuat satu pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding Alex Ferguson yang merombak hampir keseluruhan skuadnya.

"Saya rasa kebanyakan pemain kita agak keletihan kerana saya hanya membuat satu perubahan dalam skuad yang beraksi pada perlawanan pertama manakala United pula menurunkan pemain yang masih cergas dan bertenaga," kata Rajagobal pada sidang akhbar semalam.

"Kita terlepas dua gol mudah kerana pertahanan kanan dan kiri agak lemah.

"Walaupun kita bermula agak hambar, ada juga gerakan berbahaya dilakukan ke atas kubu mereka (United), cuma penyudah sahaja yang tidak menjadi.

"Apa pun, saya berpuas hati dengan aksi pemain kita pada babak kedua selepas beberapa pemain muda dimasukkan. Ini sesuatu yang bagus bagi mereka kerana apa yang diperoleh pada malam ini (malam tadi) adalah satu pengalaman yang berharga," tambah Rajagobal.

Alex Ferguson berang dengan aksi pemainnya


Pengurus The Red Devils, Alex Ferguson kurang berpuas hati dengan aksi pemainnya yang dilihat masih mencari rentak biarpun perlawanan semalam adalah aksi kedua mereka dalam siri jelajah pramusim ke Asia.

"Ini adalah aksi kedua kami, jadi pemain sepatutnya beraksi dengan lebih baik berbanding Sabtu lalu," kata Fergu- son.

"Keadaan permukaan padang juga agak kurang baik dan ini menyukarkan lagi pergerakan pemain dan hantaran bola sesama mereka.

"Begitupun ini bukan masalah besar. Pemain kami tidak sepatutnya memandang rendah terhadap keupayaan Malaysia. Apa yang kami perlukan ialah masa untuk terus memantapkan lagi persefahaman."

Walaupun kecewa dengan jaringan 2-0, Ferguson tetap berpuas hati dengan aksi pemain mudanya, Macheda, Zoran Tosik dan Anthony Gibson. Namun begitu dia juga tetap kecewa dengan aksi pemain senior seperti Anderson, Darren Fletcher, Michael Carrick dan Ryan Giggs yang gagal memberikan persembahan terbaik.

Sunday, July 19, 2009

United setuju main sekali lagi jumpa Malaysia

Berita baik buat peminat fanatik Manchester United apabila juara Liga Perdana England itu bersetuju untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Malaysia, Isnin ini.

Perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 8.45 malam itu diatur penganjur, Pro Event bagi menggantikan perlawanan menentang Indonesia di Jakarta yang terpaksa dibatalkan kerana insiden letupan bom yang berlaku di negara itu.

Tiket-tiket bagi perlawanan persahabatan kedua United-Malaysia ini boleh dibeli di kedai-kedai rangkaian barangan sukan Nike dan Al-Ikhsan atau melalui internet (www.ticketpro.com) pada harga RM58 dan RM308.

Saturday, July 18, 2009

United atasi Malaysia 3-2



Gambar semasa perlawanan di antara Manchester United vs Malaysia

Malaysia hampir mengejutkan Manchester United, namun jaringan Michael Owen pada 10 minit pada akhir perlawanan menyaksikan pasukan kebangsaan tumpas 2-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Dua jaringan Malaysia disumbangkan oleh Mohd. Amri Yahyah, manakala United memperoleh jaringan menerusi Nani dan Wayne Rooney.

Malaysia sedia gempur



Dianggarkan 40,000 peminat Manchester United di negara ini membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam untuk menyaksikan skuad Malaysia dan United (gambar kecil) menjalani latihan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan hari ini.

Aksi persahabatan dengan Manchester United hari ini mengimbas kembali pertembungan nostalgia 28 tahun lalu buat jurulatih kebangsaan K. Rajagobal.

Pada 1981, K. Rajagobal merupakan antara pemain yang beraksi untuk skuad Pilihan Selangor menentang Manchester United di Stadium Merdeka, di sini.

Ketika itu, United dibarisi pemain seperti Gary Bailey, Steve Coppel dan ketua pasukan Martin Buchans.

Skuad Selangor turut diwakili penyerang tersohor Allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugam, Santokh Singh, Reduan Abdullah serta beberapa pemain lain.

Keputusan perlawanan tersebut memihak kepada United yang menang 3-0.

Namun, bagi Rajagobal, pertembungan nostalgia hampir tiga dekad lalu masih segar dalam ingatannya.

''Kira-kira 28 tahun lalu, saya beraksi sebagai pemain ketika menentang United, namun pada perlawanan esok, saya merupakan jurulatih skuad kebangsaan.

''Ia akan menjadi pertembungan berbeza berbanding 28 tahun lalu.

''Apa yang saya harapkan, perlawanan esok berlangsung dengan menarik. Kami menghormati Manchester United.

''Biarlah para pemain saya melaksanakan tugas mereka. Biarlah mereka menikmati perlawanan dengan pemain bergelar bintang.

''Saya juga berharap para pemain mengambil kesempatan dengan mempelajari sesuatu daripada perlawanan esok," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kali terakhir United mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan pada 2001 di mana United menang 6-0.

Mengenai perlawanan hari ini, Rajagobal berkata, ini merupakan kali pertama pasukan negara menurunkan skuad muda dalam persahabatan dengan United.

''Pada 2001, kita menurunkan skuad senior dan kita kalah 0-6.

"Cuma saya berharap para pemain beraksi dengan penuh yakin dan melaksanakan semua arahan yang berikan," katanya.

Malaysia teruja jumpa United




AKSI antara gergasi bola sepak Eropah, Manchester United menentang Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang ini pasti menarik.

Barisan pemain muda kebangsaan sudah tidak sabar untuk berhadapan dengan kelab yang dibarisi beberapa bintang bola sepak dunia itu, manakala United telah berjanji untuk menurunkan kesebelasan terbaik.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, mereka tetap memandang positif perlawanan tersebut biarpun secara logiknya agak sukar untuk Malaysia menumbangkan United.

"Bukan saja saya peminat United, hampir semua pemain kebangsaan juga peminat United. Jadi kami pasti turut teruja untuk mempamerkan aksi yang menarik.

"Ini satu perlawanan yang berbeza dan saya tetap memandang positif. Ini peluang terbaik untuk membina kekuatan pemain dan pasukan," katanya pada sidang media di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur petang semalam.

Daripada 28 pemain yang dipanggil menjalani latihan, Rajagobal menggugurkan tiga pemain untuk aksi petang ini iaitu penjaga gol ketiga, Sharbinee Allawee Ramli, Ahmad Shakir Md. Ali dan Kamarul Afiq Kamaruddin.


RAJAGOBAL (tengah) mengendalikan latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.


Sementara itu, pengurus United, Alex Ferguson berkata, beliau akan tetap menurunkan bari- san terkuat pada aksi pramusim pertama mereka bertemu Malay- sia petang ini.

"Kita akan memulakan perlawanan dengan skuad terkuat. Saya ada lima pemain yang boleh diturunkan di posisi tengah sama ada Paul Scholes, Michael Carrick, Darren Fletcher, Anderson dan Darron Gibson.

"Di barisan serangan pula, saya ada empat pilihan sama ada menurunkan Dimitar Berbatov, Way- ne Rooney, Michael Owen atau Fe- derico Macheda," kata Ferguson pada sidang media yang sama.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif United, David Gill; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Redzuan Sheikh Ahmad; Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzud- din Ahmad; Ketua Pegawai Ekse- kutif ProEvents, Julian Kam dan kapten United, Gary Neville.

Dalam pada itu, United telah menandatangani kontrak bersama penyerang berusia 21 tahun berasal dari Senegal, Mame Biram Diouf dari kelab Norway, Molde dan menurut Ferguson, ia merupakan pemain baru terakhir buat United musim ini.

"Kami telah menandatangani seorang pemain muda dari kelab Norway semalam (kelmarin) yang telah kami intai sejak dua tahun lalu. Dia menjadi pemain terakhir yang kami bawa masuk," jelas Ferguson.

Tentang ketidakhadiran beberapa pemain utama United, Ferguson berkata, Owen Hargreaves hanya akan kembali September depan akibat kecederaan, Nemanja Vidic cedera ketika beraksi bersama Serbia bulan lalu, Rafael Da Silva juga cedera, manakala Park Ji-sung tidak dinyatakan alasannya.

"Hanya Owen pemain baru kami dibawa untuk jelajah inikerana Antonio Valencia menghadapi masalah visa di negaranya dan Gabriel Obertan pula masih belum cergas sepenuhnya selepas pulih daripada kecederaan," ujarnya.

Keputusan Ferguson tepat'



TEKUN... penyerang manchester united, Michael owen (kiri) dan Dimitar berbatov menampilkan gaya tersendiri ketika sesi latihan di stadium nasional bukit jalil, semalam -
Pemain berpengalaman Manchester United, Paul Scholes menganggap keputusan pengurusnya, Alex Ferguson meneruskan khidmatnya adalah sangat tepat.

Menurut bekas pemain antarabangsa England itu, keputusan tersebut diterima baik di kalangan pemain walaupun mereka tidak kisah pengurus mana yang akan menggantikan tempat Ferguson pada masa akan datang.

"Ia adalah keputusan yang tepat tetapi buat masa sekarang saya tidak pasti siapa yang akan menggantikannya pada masa akan datang," katanya ketika sesi bertemu peminat di Hotel Mandarin Oriental di sini, semalam.

Satu lagi keputusan Ferguson yang diakui tepat ialah mendapatkan pemain baru seperti Antonio Valencia, Gabriel Obertan serta bekas penyerang Newcastle United, Michael Owen.

"Semuanya akan berjalan lancar buat pasukan United musim ini, kami tetap akan mengekalkan konsisten seperti musim terdahulu," ujar Scholes.

Ditanya mengenai kemampuan Owen yang sering mengalami kecederaan, Scholes berkata, penyerang itu mampu menyinar berikutan rekod jaringannya sebelum ini.

Sementara itu, seorang lagi pemain United, John O'Shea berkata, dia sedia memberi cabaran kepada pemain lain pada menjelang musim baru yang akan bermula Ogos ini, walaupun sering diletakkan di bangku simpanan.

"Sebelum ini pun saya sudah beraksi lebih dari 50 kali dalam satu musim walaupun hanya digunakan sebagai pemain pilihan kedua," kata pemain antarabangsa Ireland itu.

Bagi penjaga gol simpanan United, Ben Foster, impiannya untuk menggalas tugas sebagai penjaga gol utama United tetap ada.

"Selain mengimpikan untuk menjadi penjaga gol pertama United saya juga akan berusaha bagi menggalas tanggungjawab lebih besar iaitu penjaga gol utama England," katanya.

Selain Scholes, O'Shea dan Foster sesi bertemu peminat anjuran TM Malaysia itu yang berlangsung selama setengah turut dihadiri pemain tengah England, Michael Carrick.

Friday, July 17, 2009

MU batal ke Jakarta selepas serangan bom

Manchester United membatalkan kunjungan ke Jakarta sempena Jelajah Asia selepas hotel yang sepatutnya rombongan kelab itu diami di ibu negara Indonesia itu telah dibom, kata kelab itu hari ini. Juara Liga Perdana Inggeris itu dijadualkan menentang "All Star" Indonesia Isnin ini, iaitu perlawanan kedua sempena jelajah pra-musim, yang turut mengunjungi Malaysia, Korea Selatan dan China.

United hangatkan Kuala Lumpur


KELIBAT barisan pemain United bakal memukau perhatian peminat tempatan apabila tiba di Kuala Lumpur hari ini.


LUPAKAN seketika acara lain dan tumpu kepada Manchester United.

Kelab bola sepak paling popular di dunia itu secara rasminya akan tiba di Malaysia hari ini, iaitu kunjungan keempat United sejak tahun 1981.

Buat kali kedua, skuad bergelar The Red Devils itu menjejak kaki ke tanah air pada 1995, tahun yang menyaksikan mereka menentang skuad Pilihan Selangor.

Pada 2001, United tiba untuk kunjungan ketiga, namun kali ini mereka menentang skuad Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pada perlawanan yang disaksikan hampir 70,000 penonton itu, skuad Pilihan Malaysia tewas 0-6.

Namun, bermula hari ini, episod baru dalam kalendar bola sepak Malaysia sekali lagi bakal berlaku.

Ia bermula dari Lapangan Terbang Antara- bangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi ini, iaitu lokasi yang menjadi pintu masuk pemain bertaraf bintang United seperti Wayne Rooney, Rio Ferdinand, Edwin van Der Sar dan Ryan Giggs ke Malaysia.

Selepas itu, pengurus United, Alex Ferguson dan anak-anak buahnya bakal dibawa ke hotel rasmi bagi Siri Jelajah United ke Asia iaitu di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.

Namun, detik awal kepada keterujaan peminat fanatik United di Malaysia pastinya pada petang ini apabila mereka berpeluang menyaksikan anak buah Ferguson menjalani latihan.

Sesuatu yang luar biasa, sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang ini bakal disaksikan hampir 50,000 peminat fanatik.

"Kami berharap agar peminat United ter- utama di Malaysia dapat menggunakan peluang ini untuk menyaksikan sendiri pemain United menjalani latihan," jelas Pengarah Urusan ProEvents International Sdn. Bhd., San Boon Wah.

Bagi rakyat Malaysia sendiri, kemuncak kepada kehadiran juara Liga Perdana England itu adalah pada petang esok apabila 11 pemain pilihan Ferguson turun menentang 11 pemain terbaik pilihan K. Rajagobal di Stadium Nasional.

Malah, ProEvents mengakui kunjungan United tahun ini bakal mencipta sejarah.

"Memang mengejutkan apabila tiket-tiket bernilai tinggi habis dijual dalam tempoh singkat," kata Boon Wah.

ProEvents merupakan penganjur eksklusif bagi Siri Jelajah United ke Asia tahun ini.

United akan beraksi menentang Indonesia Ahad ini diikuti dua lagi perlawanan di Seoul, Korea (24 Julai) dan Hangzhou, China (26 Julai)

100,000 dijangka saksi aksi Man United




Para penyokong dan peminat dinasihati datang seawal pukul 12 tengahari di perkarangan stadium Nasional Bukit Jalil untuk elakkan daripada kesesakan teruk yang dijangka akan berlaku.

SERAMAI 100,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan bola sepak di antara Manchester United menentang skuad Malaysia pada perlawanan sempena Jelajah Asia 2009, Sabtu ini. Hanya 5000 tempat sahaja yang diperuntukkan untuk meletak kereta.

Pegawai Turus Penguatkuasa/Operasi, Deputi Superintendan, Ng Fook Long berkata semua laluan masuk ke stadium itu akan sesak teruk dan menyebabkan kesukaran perjalanan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan terlebih dulu. Tiada laluan akan ditutup sepanjang perlawanan itu sebaliknya polis trafik akan menjalankan pemantauan dari masa ke semasa.

"Kita turut menyediakan hampir 5,000 tapak meletak kereta dan kira-kira 2,000 tapak bas di sekitar kawasan stadium bagi memudahkan penyokong meletakkan kenderaan mereka," katanya pada sidang media, semalam.

Jalan dijangka sesak nanti ialah Jalan North, Jalan West, Puchong Link, Jalan Games Vilage, Jalan Stadium Hoki, Jalan Stadium Putra dan Jalan Majlis Sukan Negara.

Rajagobal banyak pilihan



PEMAIN negara giat menjalani latihan sebagai persiapan menentang Manchester United di Stadium Nasional petang esok.





ANDAI sesi latihan terakhir skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam dijadikan penilaian, jurulatih K. Rajagobal pasti mempunyai banyak pili- han untuk mempertaruh barisan terbaik ketika berdepan dengan Manchester United petang esok.

Kecuali tiga pemain iaitu V. Thirumurugan, Ahmad Shakir Md. Ali dan Kamarul Afiq Kamaruddin, baki 25 pemain yang lain giat menjalani latihan bagi memikat jurulatih kebangsaan itu.

Posisi penjaga gol hampir pasti digalas penjaga gol Perlis, Farizal Marlias sambil Syed Adney Syed Hussein dan Sharbinee Allawee Ramli bakal memanaskan bangku simpanan.

Posisi bek tengah jelas milik ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah dan Aidil Zafuan Radzak tetapi posisi bek kanan dan bek kiri masih menjadi rebutan.

Ketiadaan Thirumurugan yang mengalami kecederaan buku lali bakal membuka ruang buat Mazlizam Mohamad atau Mat Sabree Abu menggalas tugas bek kanan, manakala bek kiri menjadi rebutan Asraruddin Putra Omar dan Azmi Muslim.

Posisi tengah berkemungkinan besar bakal dikepalai Safiq Rahim dan Amar Rohidan sambil Bunyamin Umar dan K. Gurusamy mungkin masuk sebagai watak pengganti.

Sayap kanan menjadi persaingan antara S. Kunalan, Khyril Muhymeen Zambri dan Amirulhadi Zainal, sementara sayap kiri menjadi tugas Indra Putra Mahayuddin atau Bad- drol Bakhtiar.

Kapten Selangor, Amri Yahyah hampir pasti bertindak sebagai pembantu penyerang manakala tugasan penggempur utama bakal diletakkan sama ada di bahu Zaquan Adha Radzak atau Nor- shahrul Idlan Talaha.

"Tidak semestinya kesebelasan yang diturunkan dalam dua aksi bertemu Zimbabwe akan saya gunakan.

"Saya akan lihat siapa yang sesuai untuk diturunkan Sabtu ini (esok). Saya nak beri kejutan kepada penonton.

"Tetapi siapa yang diturunkan nanti adalah mereka yang selesa dan bebas sepenuhnya daripada kecederaan.

"Kita tetap realistik lawan adalah United tetapi kita kena fikir positif," kata Rajagobal ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan semalam.

Berbanding Malaysia yang mempunyai banyak masa menjalani latihan, United yang akan tiba di KLIA, Sepang pukul 11.30 pagi ini hanya mempunyai tempoh sejam untuk berlatih di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada petang ini.

United hanya membawa 22 pemain iaitu Edwin van der Sar, Ben Foster, Tomasz Kuszczak , Gary Neville, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Wes Brown, Mi- chael Owen, Anderson, Dimitar Berba- tov, Wayne Rooney, Ryan Giggs, Zoran Tolic, Michael Carrick, Nani, Paul Scholes, Fabio, John O'Shea, Jonny Evans, Darren Fletcher, Darron Gibson dan Federico Macheda .

Tiada dalam senarai tersebut ialah dua pemain baru United, Antonio Valencia dan Gabriel Obertan serta tiga pemain lama, Owen Hargreaves, Park Ji- sung dan Nemanja Vidic.

Ada kejutan buat penyokong



Apa yang boleh saya katakan di sini siapa yang bakal diturunkan nanti adalah pemain yang bebas dari kecederaan dan mampu untuk mengikut segala arahan yang diberikan K. RAJAGOBALJurulatih skuad bola sepak kebangsaan

Tidak semestinya pemain kesebelasan utama yang diturunkan menentang Zimbabwe Ahad dan Selasa lalu akan diturunkan terlebih dahulu dalam perlawanan dengan pasukan Liga Perdana England, Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, itulah yang dikatakan oleh jurulatih K. Rajagobal (gambar).

Enggan mengumumkan siapa yang akan beraksi terlebih dahulu dan siapa yang tidak akan diturunkan, bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu menjanjikan ada kejutan dengan pemain yang akan disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Menurutnya, dia masih menilai dalam latihan semalam dan hari ini pemain mana yang lebih sesuai diturunkan dalam kesebelasan utama dan siapa yang akan dimasukkan kemudiannya untuk mengekang serta memberi tentangan hebat kepada skuad bimbingan Alex Ferguson itu.

"Apa yang boleh saya katakan di sini siapa yang bakal diturunkan nanti adalah pemain yang bebas dari kecederaan dan mampu untuk mengikut segala arahan yang diberikan," katanya selepas sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Jelasnya, walau siapa pun yang akan diturunkannya dia tetap mahu pemain berfikiran positif dan menikmati perlawanan tersebut sebaiknya, tambahan lagi pemain yang bakal ditentang mereka bukan calang-calang.

"Saya tetap realistik menjelang perlawanan Sabtu ini (esok) dan berharap pemain dapat menunjukkan prestasi yang mantap.

"Sekarang ini semua pemain bebas dari kecederaan kecuali pemain pertahanan kanan, V. Thirumurugan yang mengalami kecederaan buku lali selepas pertemuan dengan Zimbabwe Selasa lalu," katanya.

Bagaimanapun, Rajagobal tidak bimbang kerana dia masih mempunyai pemain yang mantap untuk mengisi kekosongan posisi tersebut, antaranya ialah Mohd Sabre Mat Abu (Kedah) dan Mazlizam Mohamad (Perlis).

"Saya tidak terlalu risau jika ada pemain yang cedera dan kurang cergas kerana kami mempunyai satu pasukan yang mantap terdiri dari pemain yang berkualiti dan bersedia untuk diturunkan bila-bila masa," katanya.

Dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Zimbabwe sebelum ini, Rajagobal menurunkan penjaga gol utama Perlis, Farizal Marlias dalam kesebelasan utama, manakala di bahagian pertahanan pula dia lebih senang menggandingkan Norhafiz Zamani Misbah (ketua pasukan) dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (Negeri Sembilan) di bahagian pertahanan tengah.

Sementara bagi posisi pertahanan kanan, dia menurunkan Mazlizam dalam perlawanan pertama dan Thirumurugan pada perlawanan kedua, sementara di bahagian kiri pula hampir pasti menjadi milik Asraruddin Putra Omar (Selangor) yang beraksi awal dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

Amar Rohidan (Perlis) dan Safiq Rahim (KL Plus) pula beraksi di bahagian tengah pada kedua-dua perlawanan tersebut sebelum ditukarkan pada separuh masa kedua manakala di bahagian sayap kiri, Indra Putra Mahayuddin (Kelantan) menjadi pilihan Rajagobal, manakala S.Kunalan (Negeri Sembilan) beraksi pada perlawanan pertama dan Khyril Muhymeen Zambri (Kedah) pada perlawanan pertama.

Bagi posisi penyerang Rajagobal menggandingkan Amri Yahyah (Selangor) dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (Negeri Sembilan) pada perlawanan pertama, sebelum mencuba Amri dan Norshahrul Idlan Talaha (UPB-MyTeam) pada perlawanan kedua.

Thursday, July 16, 2009

Owen mampu kembali menyinar



OWEN (kanan) mula menjalani latihan bersama United di Carrington, Manchester sejak awal minggu ini.


LONDON - Perpindahan Michael Owen ke Manchester United dianggap mampu meningkatkan semula kariernya bersama skuad kebangsaan England.

Legenda United, Bryan Robson berkata, Owen mampu menyinar kembali selepas dia hanya beraksi dalam 65 perlawanan sepanjang empat musim bersama Newcastle United ekoran kecederaan.

"Dia (Owen) akan sentiasa berada di dalam atau sekitar kotak penalti lawan dan saya yakin dia akan menjaringkan banyak gol.

"Saya juga melihat dia akan kembali disenaraikan dalam skuad kebangsaan England.

"Kemasukannya ke United sesuatu yang berbaloi kerana kami mendapat pemain bagus seperti Owen ini secara percuma saja.

"Dia seorang pemain yang hebat, dia baru berusia 29 tahun dan bagi saya dia sedang berada di kemuncak kariernya," kata Robson.

Robson turut yakin bekas penyerang Liverpool dan Real Madrid itu tidak perlu risau dengan masalah kecederaan yang sering menimpanya.

"Dia akan diberi penjagaan rapi serta kaedah pencegahan kecederaan bertaraf tinggi yang terdapat di kelab tersebut.

"Barisan jurulatih kecergasan United akan menyediakan satu kumpulan khas untuk menjaga Owen.

"Pengurus United (Alex Ferguson) juga seorang yang bijak dalam menentukan siapa pemain yang perlu direhatkan atau dimainkan. Ia bakal membantu Owen," jelasnya.

Robson menambah, penyerag sensasi United, Wayne Rooney kini semakin matang apabila berada di atas padang.

"Rooney memiliki sikap panas baran tetapi dia mampu menangani sikap agresif itu dengan baik sepanjang dua musim kebelakangan ini.

"Dia kini adalah pemain utama United dan sangat penting dalam pasukan," kata Robson.

Hughes desak Terry berhijrah ke City





Pengurus Manchester City, Mark Hughes mendesak John Terry (gambar) supaya meninggalkan Chelsea.

Selepas mengikat Carlos Tevez kelmarin, Hughes berkata, City sedia menawarkan £30 juta (RM175.7 juta) untuk mendapatkan kapten Chelsea itu.

"Kami fikirkan kami mampu untuk menawarkan Terry satu cabaran yang berbeza.

"Saya yakin inilah masa terbaik buat John meningkatkan semula prestasinya dengan menyertai City.

"Daripada pengalaman saya sendiri, apabila kamu berada di sesebuah kelab terlalu lama, kamu akan sampai satu tahap untuk memerlukan cabaran baru. Suasana baru mampu meningkatkan prestasi kamu," jelas Hughes.

Hughes turut beranggapan tindakan Terry untuk berdiam diri ketika ini menimbulkan spekulasi bahawa kapten skuad England itu sedang memikirkan secara serius tentang perpindahannya ke City.

"Ia bukan soal wang. Ia tentang cabaran berbeza, peringkat yang berbeza dalam kehidupan serta kariernya.

"Mungkin ini sebab kenapa dia belum memberi reaksi balas kerana dia sedang serius memikirkannya," tambah Hughes.

Menurut media di Britain, City menawarkan gaji mencecah £300,000 (RM1.75 juta) seminggu kepada Terry.

Wednesday, July 15, 2009

Owen datang ke Malaysia


Michael Owen


Michael Owen bakal membuat penampilan sulung bersama Manchester United di Kuala Lumpur, apabila menyertai gergasi bola sepak England itu menentang Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Malah, bekas bintang penyerang Liverpool, Real Madrid dan Newcastle United itu turut diberi penghormatan beraksi dengan memakai jersi No. 7 yang sebelum ini milik Cristiano Ronaldo.

Jersi No. 7 mempunyai nilai yang istimewa buat United dan ia sering dipakai oleh pemain-pemain terhebat mereka seperti Eric Cantona dan David Beckham.

Ini bukan kali pertama Owen berkunjung ke Malaysia, malah dia sebenarnya telah menjejakkan kaki ke negara ini, 12 tahun lalu.

Owen ketika itu menyarung jersi England pada Kejohanan Piala Belia Dunia, malah pengurus United, Alex Ferguson sendiri masih ingat bahawa dia turut menghantar dua pemainnya, Ronnie Wallwork dan John Curtis ke Malaysia.

Owen, 29, berkata, dia tidak perlu membuktikan apa-apa kepada para pengkritik yang selama ini meragui tahap kecergasan dan keghairahannya untuk bermain kerana perpindahan ke United sendiri membuktikan dia bebas daripada kecederaan.


Ferguson, yang sebelum ini menegaskan bahawa dia tidak akan membeli pemain baru selepas turut mendapat Antonio Valencia dan Gabriel Obertan mengikat Owen di Old Trafford selama dua tahun dengan perpindahan percuma.

"Ia tidak menjengkelkan saya apabila ramai orang meragui saya. Satu-satunya perkara yang boleh membuatkan saya marah adalah apabila cedera.

"Ya, saya pernah mengalami kecederaan dalam karier saya tetapi ada ramai lagi pemain lain yang pernah patah tulang tumit. Saya hendak cepat bermain untuk Piala Dunia (2006) sedangkan kaki saya belum sembuh.

"Bagaimanapun sejak dua tahun lalu, saya bermain dalam 33 dan 32 perlawanan untuk pasukan yang tidak pun beraksi di peringkat Eropah atau beraksi dalam mana-mana piala,'' kata Owen.

Dia khianati saya - Ferguson




Pengurus Manchester United, Alex Ferguson (gambar)

mendakwa, Carlos Tevez telah mengkhianatinya apabila mengadakan perbincangan dengan Manchester City, Januari lalu.

Awal minggu ini, Tevez telah menandatangani kontrak selama lima tahun di Eastlands untuk melengkapkan perpindahannya berharga £26.5 juta (RM155.2 juta).

Ferguson memberitahu, beliau telah berusaha beberapa kali memujuk penyerang Argentina itu kekal di Old Trafford.

"Saya rasa mereka (Tevez dan City) telah mencapai perjanjian sekitar Januari lalu kerana saya telah bercakap dengannya dan menawarnya peluang tinggal di sini," kata Ferguson.

"Saya menghubunginya ketika dia bercuti tetapi dia tidak pernah menjawabnya. Saya hantar pesanan kepadanya dua kali, dia juga tidak menjawabnya. Jelas sekali dia telah membuat keputusannya."

Dalam pada itu, Ferguson meng- umumkan tiada lagi pemain baru akan hadir ke Old Trafford pada musim perpindahan ini.

Pengurus United itu dilaporkan masih mempunyai baki £60 juta (RM350 juta) hasil daripada penjualan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid.

Namun, peminat United hanya dapat melihat ketibaan Antonio Valen- cia dengan harga £17 juta (RM99.3 juta), Gabriel Obertan £3 juta (RM17.5 juta) dan Michael Owen secara percuma.

"Kami sentiasa perlu membayar lebih dan musim ini kami tidak bersedia untuk melakukannya. Saya gembira dengan tiga pemain baru ini dan ia melengkapkan urusan kami," jelas Ferguson.

Sebelum ini, United gagal memikat penyerang Lyon, Karim Benzema apabila Real Madrid mencantas usaha mereka itu.

United turut membatalkan usaha membeli perancang Bayern Munich, Franck Ribery kerana harganya yang tinggi iaitu £50 juta (RM292 juta).

Tevez setuju sarung jersi Man. City



Carlos Tevez bersetuju untuk bermain dengan Manchester City pada musim ini.

Penyerang Argentina, Carlos Tevez bersetuju menyertai Manchester City dengan kontrak selama lima tahun, kelmarin.

Tevez, 25, melengkapkan perpindahan ke Manchester City yang merupakan jiran kepada Manchester United, selepas beraksi selama dua tahun secara pinjaman setelah lulus ujian kesihatan.

City dikatakan perlu membayar 25.5 juta pound (RM148.6 juta) untuk mendapatkan Tevez.

Kali terakhir City menjuarai liga ialah pada tahun 1968.

City menjadi tumpuan pemain-pemain hebat sejak Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, ahli keluarga diraja Abu Dhabi membeli kelab tersebut September tahun lalu.

"Ia berita yang sangat baik, Carlos merupakan pemain antarabangsa berstatus tinggi yang memiliki sifat membantu kelab mengorak langkah lebih jauh musim depan.

"Dia bukan sahaja hebat dari segi teknikal tetapi penjaring gol yang boleh diharapkan dan seseorang yang akan menyumbangkan sepenuhnya untuk pasukan.

''Dia akan memberikan kami sesuatu yang menarik, serangan yang lebih dimensi," kata pengurus City, Mark Hughes.

Tevez akan bekerjasama dengan penyerang Brazil, Robinho yang menyertai City September lalu, Roque Santa Cruz dan Craig Bellamy.

Tevez meninggalkan United bulan lepas selepas tempoh pinjamannya selama dua tahun tamat bersama pasukan juara Liga Perdana England dan dia menolak untuk menandatangani bersama kelab itu secara tetap.

Tevez berkata, dia merasakan Alex Ferguson telah menunjukkan rasa kurang hormat kepadanya dengan tidak menurunkannya beraksi secara kerap.

"Saya tidak sabar untuk menyambutnya datang ke City. Ini menunjukkan satu lagi komitmen pemilik kelab, Sheikh Mansour untuk menjadi kelab ini yang terbaik. Saya pasti semua peminat akan memberi sambutan yang hangat kepada Carlos," ujar Hughes.

Tevez meninggalkan United selepas membantu kelab itu memenangi Liga Juara-Juara Eropah 2008 dan juara liga dua kali berturut-turut serta membantu City menarik lebih ramai pemain berbakat.

Meskipun City mampu menawarkan gaji yang tinggi, kelab itu tidak beraksi dalam saingan Eropah musim depan dan gagal mendapatkan pemain perancang Brazil, Kaka dan penyerang Cameroon, Samuel Eto'o dalam beberapa bulan sebelum ini.

Bagaimanapun, Hughes masih belum berputus asa dan sedang memburu ketua pasukan Chelsea dan England, John Terry.

Dalam pada itu, Hughes a berharap Tevez dapat menyesuaikan diri di Eastlands selepas bergelut untuk cergas kedua-duanya di West Ham dan United sejak beraksi di Liga Perdana England pada 2006.

Alex Ferguson awal kelmarin berkata bahawa Tevez tidak menjawab panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) ketika dia berusaha untuk memujuk penyerang itu kekal di Old Trafford.

"Saya menjangkakan Carlos Tevez akan pergi. Saya rasa dia mungkin membuat perjanjian pada Januari kerana saya berbincang dan membuat tawaran kepadanya malam ketika kami menentang Inter Milan (Mac), malah dia tidak kembali kepada saya.

"Saya menelefonnya pada hari cuti dan dia tidak pernah mengangkat, saya juga menghantar mesej kepadanya dua kali, maknanya dia sudah membuat keputusan. Dia merupakan pemain yang bagus dan memberikan segalanya buat kami tetapi dia ternyata mahu pergi ke kelab lain," kata Ferguson buat pertama kali kepada awam sejak Tevez menolak tawaran United bulan lepas.

Tuesday, July 14, 2009

Yang pasti perlawanan dikira Fifa



ZAQUAN ADHA (kiri) bersaing dengan pemain Zimbabwe, Voster Chitema pada perlawanan persahabatan di Stadium KLFA, Cheras kelmarin.


JURULATIH skuad negara, K Rajagobal tetap memandang serius walaupun lawan mereka pada aksi persahaba- tan malam kelmarin bukan skuad kebangsaan.

Pasukan Zimbabwe hanya diwakili pemain kelab Monomotapa United untuk aksi persahabatan antarabangsa itu.

"Saya tetap memandang serius walaupun lawan bukan skuad kebangsaan," kata Rajagobal.

"Sekurang-kurangnya kita ada juga dua perlawanan ujian dengan Zimbabwe ini sebelum bertemu Manchester United, Sabtu ini.

"Ketika separuh masa pertama, kita boleh lihat Zimbabwe beraksi agresif dan memberi saingan kompetitif kepada pasukan kita. Mungkin juga mereka masih keletihan kerana baru tiba.

"Apa pun, saya mahu semua pemain tetap memandang serius perlawanan kedua pada Selasa (hari ini)."

Pada perlawanan tersebut, Malaysia mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi sepakan penalti Safiq Rahim (minit ke-45) sebelum tiga lagi gol daripada Indra Putra Mahayuddin (49), Farderin Kadir (85) dan Nor- shahrul Idlan Talaha (88) untuk kemenangan bergaya 4-0 ke atas Zimbabwe.

"Kita memang bermula agak perlahan tetapi berjaya meningkatkan tempo secara perlahan-lahan. Mungkin kerana ini perlawanan pertama kita.

"Bagaimanapun, kemenangan ini cukup penting untuk menaikkan moral pemain tetapi dalam masa yang sama mereka perlu bekerja keras lagi untuk meningkatkan persembahan," jelas Rajagobal.

Pada aksi kelmarin, Rajagobal meletakkan tugas menjaga gawang kepada penjaga gol Perlis, Farizal Marlias.

Barisan pertahanan dikemudi ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Mazlizam Mohamad dan Asraruddin Putra Omar sebelum Rajagobal memasukkan secara berperingkat Mat Sabre Abu, Azmi Muslim dan Muslim Ahmad.

Jentera tengah pula dibarisi Safiq, Amar Rohidan, S. Kunalan dan Indra sebelum mereka digantikan satu persatu pada babak kedua oleh G. Mahathevan, Bunyamin Umar, Amirulhadi Zainal dan Baddrol Bakhtiar.

Bahagian serangan pula menyaksikan gandingan Amri Yahyah bersama penyerang muda, Zaquan Adha.

Peluang temui MU Jumaat ini



PENGURUS United, Alex Ferguson (dua dari kanan) bersama tiga pemain baru The Red Devils, Gabriel Obertan (kiri), Michael Owen (dua dari kiri) dan Antonio Valencia.


PEMINAT kelab Manchester United (MU) berpeluang menyaksikan kelibat pemain idola mereka itu tidak lama lagi apabila juara Liga Perdana England tersebut tiba di ibu negara Jumaat ini.

Bintang-bintang The Red Devils itu dijangka turun menjalani sesi latihan terbuka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 17 Julai (Jumaat) bermula pukul 5.30 petang.

Sesi latihan tersebut dibuka kepada peminat setia United yang me- miliki pas untuk menyaksikan lati- han khas itu.

Kira-kira 50,000 peminat dijangka hadir bagi menyaksikan sesi lati- han kelab berkenaan yang dibarisi beberapa pemain bintang berkelas dunia.

"Kami mahu menggalakkan peminat The Red Devils datang lebih awal bagi memastikan mereka dapat berada di stadium pada masa yang tepat untuk menyaksikan sesi latihan tersebut," kata Ketua Pega- wai Eksekutif ProEvents International Sdn. Bhd., Julian Kam.

Skuad Manchester United akan berada di Kuala Lumpur untuk menentang pasukan pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini (18 Julai) pada pukul 5.30 petang.

Tiket untuk menyaksikan perla- wanan masih boleh dibeli menerusi talian hotline Ticketpro iaitu 03- 78807999 dan hanya tiket berharga RM58 sahaja yang masih ada.

Semua harga tiket yang lain telah habis dijual dengan baki tiket hanya tinggal 15,000 sahaja lagi.

Peminat yang akan datang menyaksikan sesi latihan dan perlawa- nan The Red Devils dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam untuk mengelak sebarang kesesakan.

Siri jelajah Manchester United ke Asia 2009 akan bermula di Kuala Lumpur sebelum singgah di Jakarta (20 Julai); Seoul, Korea Selatan (24 Julai) dan Hangzhou, China pada 26 Julai.

Terry terima tawaran City?



TERRY mengaku
telah berjumpa dengan pemilik Chelsea
berhubung
masa depannya di kelab itu.

Kapten Chelsea, John Terry telah berjumpa dengan Roman Abramovich dan menjelaskan bahawa dia mahu mengadakan perbincangan dengan Manchester City mengenai perpindahannya yang bernilai £40 juta (RM231.5 juta).

Terry dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pemilik The Blues itu Sabtu lalu.

Walaupun Terry tahu bahawa tawaran rasmi ke atasnya telah ditolak, namun pemain pertahanan itu menjelaskan bahawa dia tetap mahu berbincang dengan pegawai kelab City.

Chelsea sebelum ini enggan menjadikan Terry sebagai pemain yang menerima gaji paling mahal di kelab itu, namun mereka juga tidak mampu menyaingi tawaran City - gaji £250,000 (RM1.4 juta) seminggu termasuk bayaran bonus perpindahan £5 juta (RM28.9 juta).

Terry dikhabarkan mahu mendengar sendiri tawaran daripada kelab Eastlands itu.

Namun, sumber di Chelsea percaya pemain berusia 28 tahun itu hanya menggunakan spekulasi ini sebagai umpan untuk menaikkan gajinya bersama kelab itu di Stamford Bridge.

Seandainya kapten England itu sanggup berpindah ke Eastlands, The Blues mungkin terpaksa menggantikan tempatnya dengan pertahanan tengah Newcastle, Steven Taylor dan akan membayar sekitar £10 juta (RM57.8 juta) ke atas pemain berusia 23 tahun itu.

Sementara itu, sekiranya pengurus City, Mark Hughes gagal mendapatkan Terry, beliau akan mengubah buruannya kepada pertahanan Porto, Bruno Alves.

Pertahanan kebangsaan Portugal yang berharga £20 juta (RM115.7 juta) itu dikatakan turut menjadi buruan Barcelona.

Ronaldo tidak pernah anggap diri bintang

Pengurus Real Madrid, Manuel Pellegrini berbangga dengan pemain sayap Portugal, Cristiano Ronaldo kerana pemain itu tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang bintang.

"Dia adalah seperti yang saya harapkan. Dia pemain pertama tiba di sesi latihan sebelum bersama dengan rakan lain dalam satu pasukan. Dia tidak berlagak seperti seorang bintang.

CRISTIANO RONALDO
Ronaldo disambut meriah oleh peminat-peminat di Santiago Bernabeu minggu lalu

"Dia begitu berbakat tetapi imejnya seperti pemain biasa yang setia kepada Real Madrid. Ia jelas berbeza berbanding statusnya sebagai pemain terbaik dunia," kata Pellegrini.

Real menyempurnakan perpindahan Ronaldo dari Manchester United bulan lalu dengan kontrak selama enam tahun bernilai €94 juta (RM471 juta).

Ronaldo juga akan menerima bayaran sebanyak €13 juta (RM65 juta) setiap musim sekali gus menjadikannya pemain termahal di dunia.

Pemain berusia 24 tahun itu diperkenalkan secara rasmi kepada umum pada 6 Julai lalu dengan disaksikan 75,000 penyokong di Santiago Bernabeu.

Real membelanjakan sejumlah €200 juta (RM1 bilion) untuk membawa masuk pemain bertaraf bintang ke Bernabeu musim ini membabitkan perancang tengah Brazil, Kaka dan penyerang Perancis, Karim Benzema.

Justeru Pellegrini berharap skuad Real akan dapat disempurnakan menjelang hujung bulan ini.

"Lebih cepat lebih bagus. Pada 27 Julai adalah elok kerana pada masa itu pemain akan kembali daripada tugas negara masing-masing.

"Namun saya tidak bimbang apabila terpaksa menunggu sedikit masa lagi. Tiada tarikh tutup. Saya tahu apa yang diinginkan tetapi saya tidak mahu memilikinya untuk perlawanan pra musim pertama," katanya.

Monday, July 13, 2009

Eto'o bakal penyerang baru Red Devils

Tanda tanya mengenai masa depan penyerang Barcelona, Samuel Eto’o nampaknya bakal berakhir apabila sebuah akhbar Britain mendakwa pemain itu bakal menyertai Manchester United.

Red Devils dilaporkan hampir pasti mendapatkan khidmat pemain itu dengan bidaan sebanyak £25 juta (RM144 juta).

SAMUEL ETO'O
Apaklah United berjaya menyempurnakan perpindahan Eto'o ke Old Trafford ataupun menerima nasib sama seperti dirasai City

Berita daripada akhbar News of the World itu mengatakan United bersedia menawarkan kontrak empat tahun kepada Eto'o dengan gaji £150,000 (RM871,736) seminggu.

Baru-baru ini, Manchester City merupakan kelab yang dikaitkan dengan perpindahan pemain kebangsaan Cameroon itu.

Namun, kelab bimbingan Mark Hughes menarik diri daripada terus mendapatkan Eto'o, 28, kerana tidak sanggup menunggu lama di samping sikap dolak dalik yang ditunjukkan penyerang itu.

Menurut akhbar itu lagi, Eto’o sudah memaklumkan kepada Presiden Barcelona, Joan Laporta mengenai hasratnya mahu meninggalkan Nou Camp pada musim panas ini dengan membayangkan Old Trafford sebagai destinasi impiannya.

Sementara itu, ejen Eto'o, Jose Maria Masalles menyangkal dakwaan mengatakan faktor wang menjadi motivasi utama dalam usaha Eto'o meninggalkan kelab Catalan yang diwakilinya.

"Eto’o berusia 28 tahun dan dia mahu menyertai kelab yang mampu memberi peluang kepadanya untuk memenangi lebih banyak kejuaraan.

"Wang bukanlah objektif utama tetapi projek sukan atau cita-cita sesebuah kelab juga menjadi perkara penting," kata Masalles.

Justeru bagi menyempurnakan perpindahan itu, Sir Alex Ferguson mendesak Barca dan Eto'o agar memberikan jawapan segera serta tidak mahu perkara yang menimpa City berulang lagi.

Lawan bukan skuad utama?


Mohd. Zaquan Adha (kiri), cuba merampas bola daripada pemain Zimbabwe, Voster Chitema pada perlawanan bola sepak persahabatan antara Malaysia dengan Zimbabwe di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam.

Malaysia menang 4-0 ke atas pasukan kebangsaan Zimbabwe yang menduduki ranking dunia ke-116 malam tadi.

Jika diukur dari segi kemampuan masing-masing, pastinya bola sepak negara sudah mengalami satu perubahan drastik dan kembali 'sedar' yang selama ini diulit mimpi indah hingga menyebabkan aksi hambar di peringkat antarabangsa.

Namun desas-desus bertiup kencang malam tadi di mana Zimbabwe tidak menurunkan para pemain skuad kebangsaan sebaliknya hanya menawarkan pemain berstatus kelab untuk beraksi menentang kesebelasan utama negara.

Jika ini merupakan kenyataan, mungkin kegembiraan membenam mereka 4-0 perlu dihentikan seketika dan mula memikirkan adakah pemain negara layak meraikan kejayaan itu?

Difahamkan skuad bimbingan K. Rajagobal hanya menentang sebuah kelab yang dikenali sebagai Monomo Tapa United di mana hampir keseluruhan yang diturunkan merupakan pemain kelab berkenaan.

Hanya dua pemain dikatakan bukan pemain kelab tersebut.

Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan perlawanan dengan Liberia selepas pasukan tersebut menyenaraikan skuad kedua, tidak skuad utama seperti yang dipersetujui.

Dan difahamkan perlawanan semalam mendapat pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Apa pun, ada sesuatu yang boleh diharapkan dari skuad bola sepak kebangsaan yang baru empat hari menjalani latihan untuk perlawanan persahabatan dengan Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini apabila mempamer permainan bertenaga.

Permainan seimbang di awal babak pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bertukar rancak dan memihak kepada pasukan kebangsaan dengan kemasukan Norshahrul Idlan Talaha yang menggantikan Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak pada lewat babak pertama.

Gerakan dari tengah yang dimulakan oleh Norshahrul, pemain UPB My-Team kerap mencemas pertahanan Zimbabwe.

Kemuncaknya Norshahrul memberikan sepakan penalti untuk skuad kebangsaan pada minit ke-45 apabila dia dibentes di dalam kotak penalti oleh Asani Hongo.

Pemain KL PLUS, Safiq Rahim kemudiannya tenang menyempurnakan sepakan penalti yang dihalakan tepat ke penjuru kanan gawang untuk menewaskan penjaga gol Zimbabwe Godfrey Mangove.

Penguasaan di babak akhir separuh masa pertama diteruskan di babak kedua dengan serangan bertali arus dan Indra Putra Mahayuddin menambah gol kedua skuad kebangsaan pada minit ke-49 menerusi tanduk selepas mendapat hantaran S. Kunanlan.

Gerakan menarik dari sebelah kiri pintu gol Zimbabwe berjaya dimanfaat oleh pemain KM Naza, Mohd. Farderin Kadir untuk gol ketiga skuad kebangsaan pada minit ke-85.

Norshahrul menutup perlawanan dengan rembatan kencang untuk gol keempat pada minit ke-88.

Apa pun, barisan depan skuad kebangsaan yang diterajui Zaquan Adha, dibantu Amri Yahyah, Kunanlan di sayap kanan dan Indra Putra di sebelah kiri patut menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyempurnakan banyak peluang gol di babak kedua.

Sebelum menguasai perlawanan, tiada gerakan menarik yang dipamerkan di sebahagian besar babak apabila Mohd. Zaquan Adha berseorangan di depan tidak mendapat hantaran tepat dari rakan yang lain.

Peluang gol pertama pasukan kebangsaan menjelma pada minit ke-30 apabila Kunanlan hanya berdepan Mangove namun penjaga gol Zimbabwe lebih bersedia.

Amri mempersia-siakan sekurang-kurangnya tiga peluang gol mulai minit ke-38 namun dipersia-siakan dengan tandukan tinggi dan gagal tiba tepat pada masanya untuk menolak bila silang Mazlizam Mohamad dua minit kemudian.

Indra juga patut menyalah diri sendiri kerana gagal menjaringkan gol awal apabila sepakan kaki kirinya jauh tersasar ketika pintu gol terbuka luas dua minit kemudian.

Saturday, July 11, 2009

Benzema ke Bernabeu untuk realisasi impian Real


Karim Benzema

Karim Benzema mendedahkan dia menolak tawaran daripada Barcelona dan Manchester United kerana ingin merealisasikan perpindahan impian ke Real Madrid.

Penyerang Perancis itu yang menjaringkan 54 gol sepanjang dua musim di Lyon menjadi buruan kelab terkemuka Eropah sebelum tawaran Real sebanyak €35 juta (RM174 juta) diterima minggu lalu.

"Ada beberapa kelab menghubungi saya termasuk Manchester United, Inter Milan dan Barcelona namun saya memilih untuk berhijrah ke Bernabeu.

KARIM BENZEMA
Benzema tersenyum puas apabila dapat menunaikan impian masa kecilnya untuk menyarung jersi Real

"Real Madrid adalah kelab terkemuka dunia. Saya sentiasa mengimpikan untuk beraksi di sini sejak berusia 15 tahun.

"Presiden Florentino Perez bercakap kepada saya mengenai kelab dan projek yang mahu dilakukannya. Saya mahu beraksi bersama Real jadi dia tidak perlu mengambil masa lama untuk meyakinkan saya," kata Benzema.

Benzema adalah pemain keempat yang diperkenalkan kepada umum oleh kelab gergasi Sepanyol itu selepas Kaka, Cristiano Ronaldo dan Raul Albiol.

Walaupun bilangan penonton yang menyaksikan majlis pengenalan Benzema hanya mencecah 20,000 penyokong, Benzema tetap berbangga selepas diumumkan selaku pemain Real secara rasmi.

"Ia amat menghiburkan. Penyokong Real mempunyai hubungan istimewa dengan pemain dan saya amat berbangga.

"Saya dapat merasai emosi kuat hari ini. Oleh itu saya tidak putus-putus mengucup lambang Real," katanya.

Johnson yakin musim depan milik Liverpool

Glen Johnson yang baru saja menyempurnakan perpindahan sebanyak £17 juta (RM99 juta) dari Portsmouth yakin Liverpool mampu merampas gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Manchester United musim depan selepas sekadar menduduki tangga kedua musim lalu.

Pemain pertahanan England itu yang diperkenalkan kepada umum kelmarin merupakan pemain pertama yang dibawa masuk ke Anfield pada musim panas ini.

"Liverpool mempamerkan aksi menakjubkan musim lalu. Saya berharap agar kami boleh mengumpul seberapa banyak mata sekali gus merampas trofi berkenaan daripada United.

Glen Johnson
Johnson berazam membantu Liverpool dalam meraih gelaran juara EPL musim depan

"Kami boleh pergi lebih jauh dalam setiap perlawanan. Namun kami hanya mahu menjuarai EPL dan ia akan menjadi permulaan baik untuk kelab ini.

"Liverpool semakin hampir musim lalu dan hanya dibezakan dengan beberapa mata saja. Jika kami boleh mengumpul lebih banyak mata musim depan dan tidak melakukan kesilapan remeh, gelaran juara akan menjadi milik kami," kata Johnson.

Johnson pernah memenangi gelaran juara ketika mewakili Chelsea selepas berhijrah dari West Ham pada usia remaja.

"Liverpool antara kelab yang menakjubkan dan mempunyai sejarah tersendiri. Saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini.

"Kami mempunyai beberapa pemain hebat dan saya mahu berhijrah ke sini untuk membantu Liverpool menjuarai liga.

"Saya boleh memperbaiki kelemahan begitu juga pemain lain. Saya mahu meningkat dalam setiap aspek permainan," katanya.

Friday, July 10, 2009

Obertan lengkapkan perpindahan ketiga di Man Utd

Manchester United semalam mengumumkan pembelian Gabriel Obertan dari Bordeaux dengan bayaran £3 juta (RM17 juta) dalam misi membina sebuah pasukan yang kuat dengan meletakkan matlamat gemilang pada jangka masa panjang.

GABRIEL OBERTAN
Obertan melengkapkan perpindahan ketiga United untuk musim depan dengan bayaran £3 juta

Obertan, 20, akan menandatangani kontrak empat tahun selepas menjalani pemeriksaan kesihatan untuk menjadi pemain ketiga menyertai United selepas penyerang Wigan Athletic, Antonio Valencia dan Michael Owen yang berpindah secara percuma dari Newcastle United.

Sementara itu, penjaga gol United, Ben Foster, 26, sah menandatangani lanjutan kontrak selama empat tahun di Old Trafford.

Bagaimanapun, pendekatan pengurus United, Sir Alex Ferguson untuk tidak cuba memancing nama besar menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat kelab itu walaupun terdapat desas desus mengatakan Red Devils berminat mendapatkan penyerang Barca, Samuel Eto'o.

Barangkali Ferguson dilihat seakan serik mendapatkan pemain-pemain bertaraf bintang selepas terpaksa akur dengan pemergian Cristiano Ronaldo ke Real Madrid dengan rekod yuran perpindahan tertinggi dunia dan penyerang Argentina, Carlos Tevez ke Manchester City.

Namun realitinya, Ferguson sebenarnya enggan membayar harga keterlaluan untuk mendapatkan seseorang pemain, tetapi pendekatan untuk bergantung harap kepada pemain muda kali ini jelas akan berdepan penelitian amat rapi.

Kehadiran Obertan itu menyaksikan United memiliki lima pemain sayap di bawah umur 23 tahun yang masih belum terbukti kemampuan mereka di peringkat tertinggi.

Tambahan Park Ji Sung, 28 dilihat masih belum mampu menggalas tugasan sebagai pemain sepenuh masa dalam kesebelasan utama.

Di Santiago Bernabeu beberapa hari lalu, lebih 80,000 penyokong hadir menyaksikan Ronaldo ketika diperkenalkan secara rasmi.

Tetapi pastinya tidak ramai yang pernah mendengar nama Obertan dan meraikannya tanpa sebarang persoalan.

Barca terdesak jual Eto'o dapatkan Fabregas

Barcelona kini terdesak untuk menjual Samuel Eto'o kepada Manchester City supaya dapat mengumpul bayaran secukupnya bagi membawa masuk Cesc Fabregas dari Arsenal.

Menurut Daily Star, Barca berhasrat menjual Eto'o sekitar €29 juta (RM144 juta) tetapi masih belum pasti mengenai masa depan pemain Cameroon itu.

Pengurus, Pep Guardiola kini sedang berusaha mencari pemain yang mampu menguatkan barisan tengah Barca pada musim depan.

SAMUEL ETO'O
Barca terdesak menjual Eto'o bagi mencukupkan bayaran untuk membawa masuk bintang Arsenal, Fabgregas ke Nou Camp

Pada mulanya, Fabregas bukanlah merupakan sasaran utama Barca, tetapi minat Real Madrid ke atas pemain muda Sepanyol itu telah mengubah pendirian kelab Catalan tersebut yang pastinya tidak rela melepaskan bintang kelahiran akademi mereka itu ke Bernabeu.

Naib Presiden Barcelona, Jaumer Ferrer dipetik Daily Star sebagai berkata, Guardiola ketika ini benar-benar mahu membuka satu pembelian pemain tengah terbesar dengan secepat mungkin.

"Kami yakin mampu mendapatkan seseorang yang kami mahukan dan setiap orang tahu pemain mana yang kami miliki selepas ini," katanya.

Barca dijangka membayar sekitar €46 juta (RM228 juta) untuk mendapatkan Fabregas dengan Arsenal kemungkinan besar meminta Yaya Toure dijadikan pertukaran dalam pembelian pemain tengahnya itu.

Namun Barca mungkin tidak bersetuju untuk menyerahkan Toure memandangkan dia baru saja menandatangani kontrak baru.

Thursday, July 9, 2009

15 jersi Ronaldo dijual tiap seminit


Cristiano Ronaldo sudahpun memberi impak kepada Real Madrid walaupun belum turun beraksi, apabila 15 helai jersinya dijual tiap seminit di kedai pakaian kelab yang terletak di Stadium Santiago Bernabeu, semalam.

Kelab tersebut menjual 2,000 helai jersi bernombor sembilan yang tertera nama bintang Portugal itu dengan setiap satu dijual pada harga 85 euro (RM396).

Keseluruhannya untuk sehari saja, gergasi bola sepak Sepanyol itu berjaya meraih keuntungan 170,000 (RM841,900) untuk penjualan jersi Ronaldo, lapor akhbar harian AS dan Marca.

Dalam keadaan kelam kabut, sebanyak 300 helai jersi hitam dan putih Ronaldo telah dicuri. Pesta 'Cristianomania' berterusan keesokan hari apabila jersi saiz dewasa habis dijual di kedai tersebut.

Sambutan yang diterima oleh Ronaldo, 24, jauh lebih hebat daripada seorang lagi bintang baru Real, Kaka, yang menyertai kelab itu dari AC Milan pada awal Jun lalu.

Sepanjang dua jam selepas sesi memperkenalkan Kaka kepada peminat yang diadakan di Stadium Bernabeu pada 30 Jun lalu, kedai kelab telah menjual 600 jersi bintang Brazil itu, atau bersamaan lima jersi setiap seminit.

Malah, 75,000 penonton membanjiri stadium untuk melihat sesi memperkenalkan Ronaldo, berbanding 55,000 yang hadir untuk menyambut Kaka.

Ronaldo menyertai Real Madrid dari kelab Liga Perdana England, Manchester United Jun lalu dengan kontrak enam tahun dan perjanjian bernilai 80 juta pound (RM458 juta).

Pemain Terbaik Dunia itu dilaporkan menerima bayaran 13 juta euro (RM64.3 juta) setiap musim, menjadikannya penerima gaji tertinggi di dunia.

Dalam satu temu bual yang dikeluarkan AS semalam, bintang Portugal itu berkata, harga yang dibayar untuk perpindahannya adalah munasabah.

Real Madrid merupakan kelab bola sepak terkaya di dunia, mengatasi Manchester United dan Barcelona, berdasarkan laporan firma penasihat kewangan antarabangsa, Deloitte.

Kelab tersebut menerima pendapatan hasil penjualan jersi dan cendera hati lain dan keuntungan besar mula diperoleh sejak mereka mengamalkan polisi memancing pemain-pemain bintang seperti perancang utama Perancis, Zinedine Zidane dan bintang England, David Beckham pada 2000.

Tuesday, July 7, 2009

Nombor 9 bakal iringi tuah Ronaldo di Madrid

Cristiano Ronaldo mempamerkan kemahiran mengawal bola sambil disaksikan Presiden Real Madrid, Florentino Perez (kiri), bekas pemain kelab itu, Di Steffano (tengah) dan legenda bola sepak Portugal, Eusebio di Stadium Santiago Bernabeu, kelmarin.
Ronaldo diperkenalkan di hadapan peminat REAL




Pemain Terbaik Dunia, Cristiano Ronaldo dilaporkan akan menyarung jersi nombor 9 bersama pasukan barunya, Real Madrid musim depan.

Spekulasi mengenai nombor yang akan digunakan Ronaldo di Bernabeu hangat diperkatakan sejak dua nombor terdahulunya telah diambil pemain lain.

Legenda Sepanyol Real, Raul menggunakan nombor 7, yakni nombor yang digunakan Ronaldo di Manchester United manakala Ruud van Nistelrooy menggunakan nombor 17 adalah nombor Ronaldo ketika bersama Sporting Lisbon.

CRISTIANO RONALDO
Ronaldo dengan jersi nombor 9 Real Madrid seperti digambarkan laman web The Sun

Justeru Ronaldo kini diberi jaminan menggunakan jersi nombor 9 yang baru saja ditinggalkan Javier Saviola.

Ia adalah nombor yang pernah disarungkan legenda Alfredo Di Stefano ketika mewakili Galacticos suatu ketika dulu.

Menariknya, penyerang Brazil, Ronaldo turut menggunakan nombor 9 ketika berada di Santiago Bernabeu selama tiga musim.

Ronaldo sudah mendaftar tanda perniagaan 'CR9' sebagai hak cipta terpelihara dan dia merancang untuk membuka butik pakaian berjenama 'CR9' di Madrid.

Ronaldo adalah pemain ketiga yang telah diperkenalkan oleh skuad yang digelar sebagai Galactico.Dia adalah pemain yang paling banyak mendapat tumpuan peminat daripada tiga pemain yang telah diperkenalkan iaitu Kaka dan Raul Albiol.

Related Posts with Thumbnails