Tuesday, October 6, 2009

Ancelotti laung amaran kepada Manchester United



Carlo Ancelotti dengan angkuhnya mengingatkan Manchester United bahawa 'takdir' Liga Perdana England kini dalam tangan Chelsea selepas skuad Blues kembali ke tangga teratas apabila menang 2-0 ke atas Liverpool, kelmarin.
Pasukan Ancelotti mengambil kesempatan daripada keputusan seri 2-2 United menentang Sunderland dengan mengalahkan The Reds di Stamford Bridge menerusi jaringan Nicolas Anelka dan Florent Malouda dalam babak kedua.
Chelsea kini dua mata mengatasi pasukan tangga kedua United dan enam mata di depan Liverpool, menyebabkan momentum kejuaraan lebih memihak kepada kelab di barat London itu menjelang rehat liga untuk aksi perlawanan antarabangsa minggu ini.
Ancelotti mengakui dia terkejut melihat United keciciran mata di Old Trafford dan yakin Chelsea boleh memenangi kejuaraan liga jika mereka terus fokus pada perlawanan sendiri.
"Apa yang pasti, keputusan ini (mengalahkan Liverpool) mengejutkan. Namun, kami mahu terus memberi tumpuan terhadap musim kami sendiri.
"Musim ini bergantung pada kami. Kami di tangga teratas liga dan kami sudah bersedia untuk perlawanan seterusnya dengan penuh tumpuan dan keazaman.
"Ia merupakan tiga mata daripada sebuah pasukan yang sangat bagus dan saya gembira.
''Sasaran kami ialah kalah hanya satu perlawanan. Kami telah pun kalah. Saya berpuas hati dan selepas itu sudah pasti apabila kami menang,'' kata Ancelotti.
Dalam pada itu, walaupun mengalami kekalahan ketiga dalam lapan perlawanan liga setakat ini, bos Liverpool, Rafael Benitez enggan memadam peluang kejuaraan buat pasukannya.
"Tahun ini pasukan utama akan kalah beberapa perlawanan namun, kami perlu cuba memperbaikinya dan kami perlu cuba untuk menang ke atas Sunderland selepas ini.
"Apabila pasukan teratas liga keciciran mata dan anda menang, ia sesuatu yang baik tetapi kami perlu terus memenangi perlawanan dan terus menjadi pasukan terkuat yang mungkin dan lihat akan akan berlaku.
"Pada pendapat saya, anda akan menyaksikan pasukan teratas lebih banyak kalah musim ini. Ia sesuatu yang baik buat Liga Perdana,'' kata Benitez.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails