Monday, May 18, 2009

Fergie beri amaran kepada Barca

Ferguson

Sir Alex Ferguson memberi amaran kepada Barcelona bahawa Manchester United kini ‘tidak sabar untuk final Liga Juara-Juara selepas berjaya meraih gelaran Liga Perdana Inggeris.

Keputusan seri tanpa jaringan dengan Arsenal di Old Trafford, kelmarin, cukup untuk skuad Ferguson memenangi liga buat menyamai rekod 18 kali kejayaan yang dipegang Liverpool .

Selepas menjamin gelaran ketiga berturut-turut, selain memiliki Piala Liga dan Piala Kelab Dunia musim ini, Ferguson kini menumpukan usaha melabuhkan tirai musim gemilang dengan merangkul gelaran Liga Juara-Juara kedua apabila United bertemu Barcelona di Rome, 27 Mei ini.


Sebelum itu, United berdepan Hull dalam aksi terakhir liga, hujung minggu ini, tetapi Ferguson mengakui pemainnya sudah tidak sabar menanti pertemuan dengan jaguh Sepanyol itu.


“Kini kami sudah menang liga, kami tidak sabar untuk final di Rome,” kata Ferguson ketika menikmati gelaran liga ke-11 baginya sejak mengemudi United pada 1986.

“Ia adalah aksi dinantikan semua orang di kelab ini dan ia memang tepat. Tetapi kami mahu menikmati detik ini terlebih dahulu. Ia pencapaian hebat dan saya perlu memuji perwatakan serta semangat pemain. Mereka memang menakjubkan.”

Beberapa pemain yang menentang Arsenal pasti direhatkan untuk aksi liga terakhir United sebagai persiapan untuk final paling berprestij di Eropah itu.

Edwin van der Sar, Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney dan Carlos Tevez tampak pasti disisihkan untuk aksi di Hull.

Ferguson, menghantar adiknya, Martin, untuk meneliti aksi Barcelona bertemu Mallorca, semalam, mencecah usia 68 tahun Disember ini dan ada spekulasi dia sudah sedia untuk berundur.

Tetapi dia bertegas menafikannya dan sudah bertekad untuk mengemudi United memenangi rekod gelaran ke-19 - lebih satu daripada musuh ketat mereka, Liverpool.

“Saya tidak memikirkannya (persaraan). Saya memang langsung tidak pernah memikirkannya. Saya akan teruskannya dan kesihatan saya akan jadi penentu bila saya berhenti.”

Barcelona juara Liga Sepanyol manakala Inter juara Serie A Italil



Penyokong-PENYOKONG Barcelona meraikan kejayaan pasukan mereka menjuarai Liga Sepanyol di jalan-jalan utama bandar raya itu selepas mengetahui kekalahan Real Madrid 2-3 kepada Villarreal di gelanggang lawan, kelmarin. - AP

Pasukan sensasi musim ini, Barcelona menjuarai Liga Sepanyol buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun, kelmarin.

Kelab yang digelar Catalan itu memiliki kelebihan lapan mata berbanding pasukan tempat kedua liga, Real Madrid, malah menjadi sebuah pasukan yang seolah-olah tidak boleh ditumpaskan musim ini.

Barcelona dinobatkan sebagai juara liga apabila pesaing terdekatnya, Real tumpas 2-3 kepada Villarreal di gelanggang lawan, kelmarin.

Robert Pires, Ruben 'Cani' Gracia dan Joan Capdevila masing-masing menjadi pemusnah harapan Real apabila membantu Villarreal menumbangkan gergasi Sepanyol tersebut.

Dua gol pasukan juara tahun lalu itu disumbangkan oleh Rafael van der Vaart dan Gonzalo Higuain.

Ia merupakan kekalahan kali ketiga berturut-turut Real di persaingan liga, sekali gus menyebabkan kelab itu menderita tanpa memenangi sebarang trofi buat kali pertama sejak musim 2005-06.

"Persaingan liga ini adalah pertandingan yang sangat adil dan menjadi satu ujian kepada tahap konsisten sesebuah pasukan.

"Saya berpendapat, Barcelona layak untuk memenangi piala ini (liga Sepanyol)," kata jurulatih Real Madrid, Juande Ramos.

Pertemuan Barcelona seterusnya di peringkat liga adalah bertemu Mallorca di gelanggang lawan dan mengumpul 86 mata ketika ini.

Catalan mempunyai baki pertemuan liga sebanyak tiga perlawanan, manakala Real mencatat 78 mata dan memiliki baki dua perlawanan yang akan diteruskan.

Gelaran juara liga kali ke-19 dicapai oleh Barcelona itu merupakan kejayaan cemerlang yang dihasilkan oleh jurulatih berusia 38 tahun, Pep Guardiola.

Ia merupakan satu pencapaian hebat buat Guardiola kerana tahun ini merupakan musim pertama bekas pemain tengah Barcelona itu memimpin pasukan terkemuka Sepanyol tersebut.

Malah, Presiden Barcelona, Joan Laporta memuji pencapaian cemerlang Catalan menerusi satu temu bual bersama syarikat televisyen kelab tersebut.

"Realiti telah melebihi segala jangkaan. Dalam terma-terma pencapaian baik sukan bola sepak, ia adalah salah satu daripada musim terbaik dalam sejarah bola sepak Barcelona.

"Semua terma kejayaan itu berdasarkan kepada tahap permainan, kejayaan merangkul gelaran dan kecemerlangan kelab secara umum," kata Laporta.




Inter juara Serie A Itali

Inter Milan meraih gelaran juara Serie A kali keempat berturut-turut meskipun tidak beraksi selepas musuh tradisi kelab itu, AC Milan tewas 1-2 kepada Udinese di tempat lawan, kelmarin.

Hanya Milan yang menduduki tempat kedua liga sahaja mampu menghalang Inter daripada merangkul trofi tersebut musim ini.

Inter muncul juara ekoran mempunyai kelebihan tujuh mata berbanding Milan dan pada masa yang sama, pasukan yang digelar Rossonero itu hanya memiliki dua perlawanan untuk diteruskan musim ini.

Kekalahan Milan pada pertemuan kelmarin membolehkan bos Inter, Jose Mourinho memenangi trofi kejuaraan liga pada penampilan pertama bersama kelab barunya itu.

Bekas pengurus Chelsea itu hanya menyertai persaingan bola sepak Itali, Jun tahun lalu.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Mourinho memenangi gelaran kelima dalam tempoh tujuh musim ketika mengendalikan tiga kelab berbeza di tiga buah negara berbeza.

Milan melalui pertemuan, kelmarin di Udinese dengan mengetahui bahawa kelab itu harus mencatat kemenangan bagi menghalang Inter daripada merangkul kejuaraan tersebut.

Namun begitu, anak didik Carlo Ancelotti sekadar mempamerkan persembahan kurang meyakinkan dan permainan kelmarin menjadi salah satu aksi terburuk pasukan itu musim ini.

Persembahan babak pertama pertemuan Milan dan Udinese berlangsung suram apabila beberapa peluang menjaringkan gol dipersiakan oleh kedua-dua pasukan.

Namun, Udinese akhirnya membuka jaringan gol pertemuan tersebut menerusi sepakan penalti. Antonio Floro Flores berjaya melepasi benteng pertahanan Milan dan memasuki kawasan penalti bagi menyambut hantaran terus yang dilakukan oleh Geatano D'Agostino.

Bagaimanapun, pemain veteran pertahanan Milan, Paolo Maldini cuba menghalang tindakan penyudah pemain Udinese itu dan menyebabkannya terjatuh ketika cuba berebut bola daripada penjaga gol Milan, Dida.

Maldini yang hanya mempunyai dua perlawanan lagi bersama Milan sebelum bersara dilihat bernasib baik kerana tidak dikenakan hukuman buang padang dan sekadar menerima kad kuning.

Biarpun begitu, pasukan pelawat dihukum apabila D'Agostino dengan tenang berjaya menyempurnakan sepakan penalti dan menyaksikan bola menuju tinggi ke arah kanan gawang.

Empat minit selepas perlawanan berlangsung pada separuh masa kedua, Udinese menggandakan kelebihan dengan menghasilkan jaringan kedua menerusi jaringan Christian Zapata.

Milan bagaimanapun memperoleh gol sagu hati pada masa kecederaan menerusi tandukan yang dilakukan oleh Massimo Ambrosini.

Sunday, May 17, 2009

Manchester United juara lagi


PEMAIN-pemain Manchester United meraikan kemenangan meraih gelaran Liga Perdana England selepas seri 0-0 dengan Arsenal di Old Trafford, semalam. United hanya perlu satu mata untuk bergelar juara.


Manchester United menjulang kejuaraan Liga Perdana England buat kali ketiga berturut-turut selepas mencatat keputusan seri 0-0 yang diperlukan dengan Arsenal di Old Trafford, semalam.

United memerlukan hanya satu mata untuk menjulang kejuaraan dan keputusan seri sudah memadai dan menutup peluang pasukan tangga kedua Liverpool, yang ketinggalan tujuh mata ketika masih tinggal dua perlawanan.

Ini bermakna United telah menjulang 11 kejuaraan liga dalam tempoh 17 musim di bawah pengurus Alex Ferguson dan kini menyamai rekod Liverpool muncul juara liga sebanyak 18 kali.

Ferguson telah memenangi 25 trofi kejohanan utama sejak tiba di kelab itu pada 1986 dan berharap dapat menambah kepada 26 trofi apabila United berdepan Barcelona pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Rome pada 27 Mei ini.

Ketika sentuhan gol skuad Ferguson dikemudi oleh Cristiano Ronaldo dan prestasi terbaik oleh penyerang Wayne Rooney dan Carlos Tevez, United juga kukuh di bahagian pertahanan dengan penjaga gol Edwin van der Sar yang mencatat rekod bola sepak liga England apabila melalui 1,311 minit perlawanan tanpa melepaskan gol.

United goyah pada April lalu apabila kalah 1-4 di tempat sendiri kepada Liverpool, disusuli 0-2 di Fulham sebelum memulakan rentak kemenangan untuk meninggalkan musuh ketatnya itu.

Begitupun, agak mengejutkan kerana pada perlawanan, semalam skuad Ferguson beraksi di bawah keupayaan terbaik mereka tanpa banyak mengancam kubu Arsenal.

Arsenal tiba di Old Trafford untuk bersaing merebut tempat ketiga liga, dan skuad Arsene Wenger jelas berhajat untuk merosakkan hasrat United menjulang kejuaraan lebih awal dengan mengambil kesempatan daripada aksi gugup United menerusi beberapa percubaan walaupun berkesudahan tanpa jaringan babak pertama.

Robin van Persie, yang tidak dikawal melepaskan peluang terbaik untuk meletakkan pelawat di depan apabila menanduk bola hantaran silang Samir Nasri pada minit ke-13 tinggi melepasi palang walaupun dia sepatutnya mudah menjaringkan gol.

Empat minit kemudian United hampir menggegar gawang, namun tandukan Wayne Rooney hasil bola lintang Michael Carrick hanya sedikit tersasar.

Arsenal meneruskan asakan di kubu United selepas rehat dan pertahanan remaja Kieran Gibbs melakukan percubaan pada minit ke-58 namun terkena bahagian tepi gawang selepas gerakan melibatkan Barcary Sagna dan Andrey Arshavin.

United membalas menerusi Ronaldo, namun jumlah 26 gol yang dijaringkan oleh pemain itu gagal bertambah apabila percubaannya tinggi melepasi palang selepas mendapat hantaran Carlos Tevez.

Ia merupakan gerakan terakhir oleh Tevez. Tidak lama kemudian pemain antarabangsa Argentina itu dikeluarkan dan tindakan mengeluarkan Tevez diejek oleh penyokong United.

RONALDO (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris, malam tadi.



“Ia tempoh 90 minit paling panjang dalam sejarah tetapi kami sudah berjaya mencapainya,” kata pengurus berusia 67 tahun itu selepas persembahan agak gemuruh pasukannya, “Tiada sebarang percubaan berbahaya yang menunjukkan betapa berhati-hatinya perlawanan itu.”.


Ditanya apakah maknanya untuk menyamai rekod Liverpool, Ferguson berkata; “Ia akan menjadi lebih bermakna jika kami mendapatkannya di hadapan mereka. Kami mahu berkembang dengan pasukan ini, yang berkemampuan melakukannya.”

Namun, ia adalah persembahan hambar oleh United tetapi keraian bermula sebaik wisel penamat yang memastikan kejuaraan dan meletakkan mereka bersama Liverpool sebagai kelab England paling banyak memenangi trofi.

Arsenal, yang akan menduduki tempat keempat, banyak menguasai bola tanpa mencipta terlalu banyak peluang terbuka tatkala jentera serangan United hanya sesekali mengancam gawang pelawat.

Ferguson kini sudah mempunyai 25 trofi utama sejak tiba di kelab itu pada 1986 dan berharap untuk menjadikannya 26 apabila United berdepan Barcelona dalam final Liga Juara-Juara yang akan berlangsung di Rome, pada 27 Mei ini.

Berbekal gol daripada Cristiano Ronaldo dan persembahan berkualiti dari penyerang Wayne Rooney dan Carlos Tevez, United juga mempunyai pertahanan kental yang menyumbang kepada penjaga gol Edwin van der Sar mencatatkan rekod British dengan melalui 1,311 minit tanpa melepaskan gol.

Ia seketika tampak goyah April lalu, apabila mereka kalah 4-1 di tempat sendiri kepada Liverpool dan kemudian 2-0 di tangan Fulham sebelum kembali memulakan rentetan kemenangan tanpa kalah yang menjarakkan mereka mengatasi Liverpool.




Rooney
Ji Sung Park
Ronaldo

Ferdinand
Tevez

China sekat hajat pemain kita

Impian untuk beraksi dalam perlawanan akhir Piala Sudirman buat pertama kali terkubur apabila skuad badminton negara tewas 3-0 kepada China dalam saingan separuh akhir di Guangzhou, semalam.

Malah, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei gagal untuk mengulangi kemenangan ke atas Lin Dan apabila tewas straight set 16-21 16-21 dalam tempoh 56 minit.

Walaupun cuba untuk bermain dalam keadaan tenang dan memerangkap pemain dari Tembok Besar itu tetapi Chong Wei gagal untuk menyambut pukulan kencang yang Lin Dan.

Terlebih dahulu aksi sumbang skuad negara bermula selepas gandingan beregu campuran Mohd. Fairuzizuan Tazari - Wong Pei Tty tersungkur di tangan beregu China, He Habin - Yu Yang 11-21 14-21.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki, Koo Kean Keat - Tan Boon Heong turut tewas walaupun cuba memberi tentangan sengit terutama pada set ketiga kepada gandingan Cai Yun - Fu Haifeng dalam perlawanan yang berlangsung lebih sejam.

Aksi di set pertama memperlihatkan gandingan Koo dan Tan berjaya memberikan harapan Malaysia untuk bangkit selepas ketinggalan 2-0 dengan mencatatkan kemenangan 21-19.

Bagaimanapun, pada set kedua, pasangan tersebut gagal untuk menyekat kebangkitan Cai Yun dan Fu Haifeng apabila tewas 15-21.

Saingan set di ketiga berlangsung sengit sehingga mengheret mata kemenangan yang dicari oleh kedua-dua pasangan tersebut ditentukan melalui kiraan deuce, namun Cai Yun dan Fu Haifeng mengesahkan kemenangan China selepas menang 23-21.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan Korea Selatan berjaya menjinakkan Indonesia 3-1 untuk bertemu China dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung hari ini.

Pertembungan China dan Korea Selatan mengulangi perlawanan akhir pada 1997 di Glasgow dan 2007 di Eidhoven, di mana kedua-dua pasukan pernah muncul sebagai juara.

Saturday, May 16, 2009

Red Devils buru mata keramat di Old Trafford

Manchester United menanti kunjungan Arsenal di Old Trafford malam ini bagi mengesahkan gelaran juara Liga Perdana England buat musim ketiga berturut-turut.

Skuad Red Devils itu hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir mereka untuk menjulang kejuaraan liga buat kali ke-18 dan kali ke-11 di bawah kendalian Alex Ferguson.

Menyedari impian mereka hampir tercapai, pemain tengah United, Michael Carrick melaungkan keyakinan pasukannya mampu meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana England di stadium yang digelar Theatre of Dreams itu.

"Segalanya baik bagi kami ketika ini. Saya rasa hanya sekali sebelum ini United pernah mengesahkan kejuaraan di tempat sendiri.


BARISAN pemain United sudah bersedia memburu kemenangan di Old Trafford malam ini bagi mengesahkan kejuaraan Liga Perdana England.


"Jadi ia sesuatu yang menakjubkan jika kami dapat melakukannya sekali lagi. Tetapi kami tetap kena hormati Arsenal dan kami masih perlu melakukan tugas dengan baik pada perlawanan ini," kata Carrick.

Perlawanan malam ini juga mungkin menjadi aksi terakhir Carlos Tevez di Old Trafford bersama United jika perpindahannya pada penghujung musim ini menjadi kenyataan.

"Dia (Tevez) merupakan pemain hebat dan gol-gol yang dijaringkannya sejak dia berada di sini sentiasa menjadi gol penting buat pasukan ini.

"Kalau boleh kami tidak mahu kehilangan mana-mana pemain kerana kami sudah memiliki skuad yang mantap dan harap kami semua akan kekal bersama," jelas Carrick.

Kemenangan ke atas Arsenal malam ini pasti menjadi kenangan manis buat penyokong fanatik United.

Ini kerana, Arsenal menang 1-0 ke atas United di Old Trafford pada 2002, sekali gus dinobatkan selaku juara liga.

Sementara itu, tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand dijangka tidak dapat diturunkan kerana masih bergelut dengan kecederaan betis.

Arsenal pula kembali diperkuatkan dengan kehadiran Andrey Arshavin, namun penjaga gol utamanya, Manuel Almunia masih belum pulih daripada kecederaan buku lali.

Tevez tolak tawaran Real



TEVEZ (tengah) belum memutuskan masa depannya bersama United.


Real Madrid terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat penyerang Manchester United, Carlos Tevez.

Semuanya gara-gara keputusan bintang antarabangsa Ar gentina itu yang bertegas untuk menolak tawaran rasmi Real bernilai £40 juta (RM215 juta).

Keputusan Tevez itu sekali gus menimbulkan desas desus bahawa dia masih mahu kekal bersama United dalam kempen Liga Perdana England.

"Carlos akan menentukan masa depannya dan dia sendiri akan menentukan di mana seharusnya dia bermain," jelas ejen Tevez, Kia Joorabchian kepada Sportsmail.

Sebelum itu, Real telah mengemukakan tawaran rasmi menjelang pemilihan presiden kelab itu yang dijadualkan pada 14 Jun depan.

"Ini bukan semata-mata kerana wang tetapi segala keputu- san bergantung kepada keputusan Carlos dan pengaruh daripada keluarganya.

"Saya sendiri sebagai ejennya tidak mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan Carlos. Real mungkin bukan pilihannya dan kita akan tunggu apa yang bakal diumumkan selepas ini," tambahnya.

Menurut laporan, perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Rom pada 27 Mei ini bakal menjadi penentu kepada masa depan Tevez di Old Trafford.

United sendiri telah bersedia melanjutkan perbincangan untuk mengubah status pinjamannya tetapi belum mencapai kata sepakat dengan kenaikan harga yang diminta pemain tersebut sejak dipinjamkan pada tahun 2007.

Untuk rekod, United mendapatkan khidmat Tevez secara pinjaman dari kelab West Ham dengan nilai £9 juta (RM49 juta).

Dalam pada itu, Presiden Sports Intergroup, Heaton-Har- ris yang bertanggungjawab menangani isu membabitkan sukan di benua Eropah menegaskan, tiada apa yang boleh menghalang Tevez memilih haluannya.

"Dalam syarat-syarat penggajian, Tevez mempunyai kontraknya sendiri dengan ejen tersebut (Kia Joorabchian).

"Tetapi jika dia pergi ke Suru- hanjaya Eropah dan memberitahu dia mahu bebas daripada kontrak itu, dia akan mendapat sokongan daripada Eropah.

"Mengikut undang-undang Eropah, dia (Tevez) mempunyai hak untuk membatalkan kontrak tersebut," kata Heaton-Harris.

Piala Sudirman: Lin Dan, Chong Wei jadi tumpuan



Lee Chong Wei

Kalah atau menang, pertemuan dua pemain terbaik dunia, Lin Dan dan Lee Chong Wei pastinya menjadi tumpuan utama apabila China dan Malaysia bertemu pada separuh akhir Piala Sudirman hari ini.

Biar pun peluang Malaysia untuk mengatasi tuan rumah terutama di bumi China sendiri dilihat amat sukar, namun kemenangan Chong Wei sebenarnya lebih penting untuk disaksikan.

Selepas tewas di Seluruh England kepada Lin Dan Mac lalu, Chong Wei bangkit dengan menundukkan pemain No. 1 dunia di Terbuka Jerman seminggu selepas itu.

Kini Piala Sudirman menemukan kedua-dua pemain itu sekali lagi tetapi rekod pertemuan ketika beraksi di China ternyata memihak kepada Lin Dan.

Buktinya, Chong Wei tewas di Sukan Olimpik Beijing dan Terbuka China tahun lalu selepas tenggelam dalam sorakan penyokong tempatan.

Persoalannya, mampukah Chong Wei mengatasi tekanan yang sama di Guangzhou kali ini?

Yang pasti jika Chong Wei menang sekali pun ke atas Lin Dan, belum tentu Malaysia boleh menang ke atas China.

Piala Sudirman adalah acara berpasukan yang menggabungkan keseimbangan kekuatan antara pemain lelaki dan wanita.

Ini bermakna kekuatan pemain wanita perlu diambil kira dan berdasarkan prestasi semasa, Wong Mew Choo juga mampu menyumbang mata untuk skuad negara.

Selain Chong Wei dan Mew Choo, pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mampu melengkapkan kemenangan Malaysia untuk mengejutkan China.

Berdasarkan congakan atas kertas, menerusi acara perseorangan lelaki, wanita dan beregu lelaki sahaja kita mampu mengutip mata.

Pengurus pasukan, Datuk Maijol Mahap sendiri mengakui, China memang menjadi pilihan untuk menang tetapi jika tiga acara itu berjaya dikuasai pemain negara, Malaysia boleh melakukan kejutan.

"Kita akan turun sebagai bukan pilihan. Namun itu tidak bermakna kita sudah mengalah sebelum berjuang.

"Ini adalah separuh akhir pertama buat Malaysia yang tentunya cukup istimewa. Jadi kita akan cuba untuk menjadikannya lebih istimewa," jelasnya.

Satu lagi separuh akhir Piala Sudirman akan mempertemukan Korea Selatan (juara Kumpulan B) dan Indonesia (naib juara Kumpulan A).

United mahu 'tutup buku' di Old Trafford

Ferguson semasa menjulang piala liga perdana England
Ferguson

Manchester United mahu menjadikan Old Trafford sebagai saksi kejayaan mereka meraih kejuaraan Liga Perdana England buat kali ke-18 apabila bertemu Arsenal, hari ini.

Tanpa mahu menunggu perlawanan terakhir menentang Hull City di tempat lawan pada 24 Mei ini, United merasakan gelanggang keramat itu adalah tempat paling sesuai untuk berpesta lebih awal.

"Semuanya nampak baik untuk kami berbuat demikian. Pernah kami melakukannya sekali dengan meraih juara liga di tempat sendiri.

"Jadi menarik rasanya jika dapat lakukannya sekali lagi. Cuma jangan terlalu ghairah sudahlah kerana Arsenal bukan calang-calang pasukan.

"Masih ada tugas berat yang perlu kami selesaikan," ujar pemain tengah, Michael Carrick.

Kemenangan 2-1 ke atas Wigan Athletic Rabu lalu menyaksikan pasukan bimbingan Alex Ferguson ini hanya perlu seri sahaja ketika menentang Arsenal.

Namun, jika mereka tewas sekali pun, United masih mempunyai peluang mencari satu mata itu apabila menentang Hull City.

Tumpuan sudah pasti kepada Carlos Tevez yang mungkin beraksi buat kali terakhir buat United sebelum meninggalkan kelab itu.

Tevez sedang berada pada prestasi terbaik ketika ini apabila kerap menjaringkan gol penting dalam perlawanan terbaru United dan ini membuat Carrick sendiri mahu pemain dari Argentina itu dikekalkan.

"Dia pemain yang hebat kerana sejak berada di sini, gol yang dijaringkannya sentiasa memberi makna yang besar kepada kami.

"Kalau boleh kami tidak mahu kehilangan pemain sepertinya dan harap dia dapat terus bersama kami di kelab ini," tegas Carrick.

Bagaimanapun, Ferguson lebih mementingkan kemenangan berbanding daripada memikirkan tentang Tevez ketika menentang Arsenal nanti.

Ferguson yang sedang memburu kejuaraan liga ke-11 bersama United mahu pemain-pemainnya melakukan persiapan rapi untuk perlawanan itu.

"Kami tahu betapa hebatnya mereka (Arsenal). Jadi kami akan menggunakan pendekatan sama seperti pernah kami gunakan sebelum ini," ujar Ferguson.

Bagi Arsenal pula, ini adalah peluang terbaik mereka membalas dendam selepas disingkirkan United di separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, baru-baru ini.

Kekalahan 1-4 secara agregat itu cukup memalukan Arsenal walaupun tempat ke kelayakan Eropah musim depan sudah pun terjamin.

"Memang United di ambang kejuaraan liga tetapi kami boleh melewatkannya. Kami akan bermain untuk maruah agar kami terus dihormati," kata pengurus, Arsene Wenger.

United dijangka turun tanpa Rio Ferdinand di bahagian pertahanan kerana masih cedera pangkal paha. -

Friday, May 15, 2009

Wenger idam tangguh pesta juara Red Devils

WENGER
Trofi Liga Perdana Inggeris

Arsene Wenger berjanji untuk meranapkan rancangan Manchester United mahu berpesta dengan merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, esok.

United hanya memerlukan satu mata pada pertemuan dengan skuad Gunners untuk merangkul trofi ketiga musim ini bagi menyamai rekod Liverpool yang merangkul gelaran itu sebanyak 18 kali.

Namun, Wenger mengakui pemainnya akan memastikan sambutan itu ditangguhkan sebagai balas dendam berikutan kekalahan pada separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, yang mana terdapat banyak persoalan terhadap jurulatih kelahiran Perancis itu terlalu bergantung kepada pemain muda.

“Kami sangat berharap pasukan akan menyerlah secepat mungkin,” kata Wenger. “Jika anda melihat statistik dua pasukan lain, kami menjaringkan gol hampir sama dengan mereka.

Kualiti hantaran bola pada pertengahan padang dan ketika berada di kawasan lawan, kami adalah sebaik Manchester United.
“Kami bolos banyak gol, di mana ada perbezaan apabila kami bolos 36 gol, mereka 24 gol dan kami menjaringkan 64 gol, mereka pula 67 gol.

“Saya tidak percaya ia perbandingan. Di sini, terdapat satu perbandingan pendapat.”

Sekiranya tewas kepada Arsenal, United masih lagi bergelar juara jika mereka meraih mata ke atas Hull pada perlawanan terakhir musim ini, sekiranya Liverpool kehilangan mata dalam mana-mana perlawanan yang masih berbaki dua iaitu menentang West Brom di tempat lawan dan Tottenham di Anfield.

“Ia seperti milik Manchester United, tapi kami mampu menangguhkannya. Kami pasti akan membuktikannya. Kami mahu beraksi untuk kebanggaan kami dan menjadikan kami dihormati.

“Kami berjanji pada diri sendiri pada awal Januari, kami akan memberikan sesuatu dalam setiap perlawanan sehingga akhir musim. Ia akan pamerkan sejauh mana kami mampu melakukannya.” katanya.


Tahun United pernah memenangi Liga Perdana INGGERIS

  1. 1908
  2. 1911
  3. 1952
  4. 1956
  5. 1957
  6. 1965
  7. 1967
  1. 1993
  2. 1994
  3. 1996
  4. 1997
  5. 1999
  6. 2000
  7. 2001
  1. 2003
  2. 2007
  3. 2008
Jumlah :17 kali United pernah memenagi Liga Perdana INGGERIS

Arsenal penentu nasib United






TEVEZ (kiri) menjaringkan gol pertama United ketika menewaskan Wigan pada aksi Liga Perdana England kelmarin.





Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memberi amaran kepada pemainnya agar berwaspada apabila bertemu Arsenal dalam saingan Liga Perdana England esok.

Kelmarin, skuad Red Devils itu meraih tiga mata berharga selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Wigan 2-1.

Kemenangan itu meletakkan United pada kedudukan terbaik dan hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir untuk mengesahkan kejuaraan liga buat musim ketiga berturut-turut.

Biarpun ramai beranggapan United sudah boleh meraikan kejuaraan itu malam esok, Ferguson tetap mahu anak buahnya fokus menghadapi Arsenal sebelum menamatkan musim ini dengan menentang Hull City pada aksi terakhir 24 Mei depan.

"Kami akan hadapi perlawanan ini (menentang Arsenal) sama seperti kami hadapi mereka sebelum ini. Kami akan cuba meme- nangi perlawanan ini dengan menurunkan barisan terkuat kami," jelas Ferguson yang mahu menghadiahkan gelaran ke-18 buat kelab itu.

"Kami tahu sejauh mana hebatnya mereka dan kami perlu bersiap sedia serta mempamerkan persembahan terbaik Sabtu ini (esok) dan diharap kami mampu melakukannya," kata Ferguson.

Pada perlawanan kelmarin, Wigan mengejutkan United apabila mendahului menerusi jaringan Hugo Rodallega pada minit ke-28 selepas pertahanan United, Nemanja Vidic gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Namun, sentuhan menarik daripada penyerang gantian United, Carlos Tevez pada minit ke-61 dan rembatan Michael Carrick pada minit ke-87 memastikan tiga mata penuh buat pasukan pelawat itu.

"Kami berdepan pasukan Wigan yang bersungguh-sungguh tetapi kami berjaya mempamerkan aksi menakjubkan pada separuh masa kedua."

Tevez Tidak pernah diberikan tawaran

Wakil Carlos Tevez, Kia Joorabchian menyatakan bahawa Manchester United tidak pernah menawarkan penyerang Argentina itu kontrak lanjutan untuk kekal di kelab itu pada musim akan datang.

Pengurus Red Devils, Sir Alex Ferguson kelmarin selepas pasukannya mengatasi Wigan 2-1 mengaku berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) United, David Gill dan telah mengemukakan tawaran kepadanya mengenai kontrak Tevez, tetapi ia tidak dirunding dengan kelab.

Joorabchian bagaimanapun membidas kenyataan Ferguson dengan menegaskan bahawa Ferguson tidak pernah mengemukakan sebarang kontrak untuk Tevez walaupun beliau berbincang dengan CEO United itu.

Status Tevez ketika ini diuruskan ejen ketiga dan dia hanya dipinjamkan ke Old Trafford sepanjang dua musim lalu.

Kini United seakan berminat untuk menyelesaikan satu perjanjian tetap, tetapi hasrat kelab itu dipercayai cuba dihalang di mana bayaran untuk mendapatkan Tevez diletakkan hampir £30 juta (RM161 juta) dengan Manchester City dan Liverpool turut menunjukkan minat untuk mendapatkan penyerang tersebut.

Carlos Tevez
Masa depan Tevez bersama United masih lagi tidak menentu

"Kami sebenarkan tidak pernah menerima sebarang tawaran untuk Tevez. Tiada tawaran peribadi untuknya. Saya telah berbual dengan Gill dan dia memaklumkan tiadan tawaran dibuat untuk Tevez," kata Joorabchian kepada Sky Sport News.

Katanya, United sudah sedia maklum mengenai perjanjian yang perlu dilakukan mereka bagi membawa masuk Tevez ke Old Trafford.

"Dua tahun lalu apabila perjanjian dibuat, dia (Tevez) dipinjamkan selama dua tahun dan United diberi pilihan untuk membeli.

"Jika mereka mahu membelinya, mereka pasti akan mengemukakan tawaran kontrak tetap dan peraturan kontrak sudah dinyatakan dalam dokumen. Mereka boleh melakukannya sepanjang dua tahun lalu selagi Tevez menyetujuinya.

"Semua pegawai tertinggi dikecualikan daripada kontrak yang dipersetujui United dan ia sudah jelas. Mereka kelab yang hebat di dunia dan saya tidak fikir mereka akan melanggar mana-mana kontrak," kata Joorabchian.

Barcelona juara Copa del Rey







Sasar jadi kelab Sepanyol pertama raih tiga trofi dalam semusim

Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 4-1 ke atas Athletic Bilbao bagi rekod gelaran ke-25 Copa del Rey kelmarin.

Jaringan minit ke-57 Lionel Messi disusuli ledakan Bojan Krkic dan Xavi Hernandez mengesahkan kemenangan yang berhak buat barisan Catalan itu meletakkan mereka pada landasan menjadi kelab Sepanyol pertama untuk meraih tiga trofi dalam semusim.


Kejayaan domestik pertama Barcelona sejak 1998 juga menamatkan kemarau piala sejak merangkul gelaran berganda Liga Juara-Juara pada 2006.


Kapten, Carles Puyol menerima trofi daripada Raja Juan Carlos sebelum mengetuai rakan sepasukannya mengelilingi Stadium Mestalla diiringi sorakan penyokong.

"Ia bukan persoalan membebaskan diri daripada tekanan," kata jurulatih, Pep Guardiola mengenai tekanan yang dihadapi Barcelona untuk melengkapkan permainan cantik mereka dengan gelaran.

"Kami bermain dengan baik. Ia adalah hari yang indah."

Guardiola juga enggan menerima pujian atas kejayaannya mengemudi pasukan itu ke trofi pada musim pertamanya.

"Pasukan ini berada pada landasan untuk sesuatu yang penting. Ia adalah hasil bola sepak mereka."

Gaizka Toquero meletakkan Athletic di depan selepas sembilan minit sebelum Yaya Toure menyamakan kedudukan pada minit ke-32 berikutan larian solo dalam kawasan Athletic.

Barcelona mendominasi selepas itu dan Messi serta Krkic menjaringkan gol dalam tempoh dua minit dan Xavi melencongkan sepakan percuma pada minit ke-65.

Athletic, yang mara ke final pertama dalam 24 tahun, menghadapi kesukaran menyaingi lawan Catalan mereka dengan Barcelona menunjukkan mengapa ia berada di ambang memenangi liga hujung minggu ini dan akan menentang Manchester United dalam final Liga Juara-Juara pada 27 Mei.

Malaysia ke separuh akhir jumpa China

Skuad badminton negara mencapai sasaran mara ke perlawanan separuh akhir saingan Piala Sudirman selepas mengetepikan cabaran Denmark 3-2 selaku naib juara Kumpulan 1A.

Aksi pertama skuad negara agak sumbang apabila pasangan beregu campuran Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari-Wong Pei Tty tewas 21-17, 24-22 kepada pasangan Thomas Laybourn-Kamilla Ryter Juhl.

Namun pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia berjaya menghidupkan semula peluang Malaysia apabila menyamakan kedudukan 1-1 selepas mengenepikan pemain Jan O Jorgensen 21-11, 21-18 dalam tempoh 34 minit.

Mata kedua negara dikutip pasangan beregu lelaki Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong dengan mengalahkan pasangan Lars Paskee-Jonas Rasmussen 21-9, 21-14 juga dalam tempoh 34 minit.

Kemenangan Malaysia ke peringkat disahkan oleh pemain perseorangan wanita, Wong Mew Choo yang tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Nanna Brosolat Jensen dengan straight set 21-8, 21-11.

Namun agak hampa selepas pasangan beregu wanita, Wong Pei Tty - Chin Eei Hui tewas 11-21, 21-16, 11-21 kepada Kamilla Ryter Juhl-Lena Frier Kristiansen

Apa pun, skuad negara berjaya menduduki tempat kedua Kumpulan 1A mengiringi Korea Selatan ke peringkat separuh akhir menentang China selaku juara Kumpulan 1B.

Lawan Korea Selatan di separuh akhir nanti ialah Indonesia yang menduduki tangga kedua Kumpulan 1B.

Saingan separuh akhir Piala Sudirman akan berlangsung esok pukul 7 malam bagi menentukan tempat ke peringkat akhir Ahad ini.

Status Tevez masih kabur



CARLOS Tévez meraikan kejayaan memenangi perlawanan dengan Wigan bersama-sama Wayne Rooney di Stadium JJB, Wigan kelmarin. United menang 2-1. –

Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson berkata, Carlos Tevez diberikan satu tawaran untuk kekal di kelab bola sepak Liga Perdana England (EPL) itu namun dakwaan itu ditolak serta-merta oleh wakil penyerang tersebut.

Kekeliruan kelmarin muncul selepas Tevez menjaringkan gol penyamaan untuk Red Devils bangkit menewaskan Wigan 2-1, yang menyebabkan pasukan itu hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir mereka untuk menjuarai EPL buat kali ketiga berturut-turut.

Hujung minggu lalu, pemain antarabangsa Argentina itu berkata, dia akur untuk meninggalkan United pada hujung musim ini apabila tempoh pinjaman dua tahunnya berakhir kerana tiada percubaan untuk merundingkan satu perjanjian perpindahan dengan syarikat yang memiliki pendaftarannya.

Namun selepas memuji kemasukan Tevez sebagai pemain gantian di Wigan, Ferguson berkata, usaha telah dijalankan oleh ketua eksekutif kelab, David Gill untuk membuat tawaran.

“Dia seorang pemain yang hebat – dia tahu saya mahukannya kekal.

“David Gill telah mengadakan satu pertemuan yang bagus dan saya telah bercakap dengannya. Kami memberikannya satu tawaran dan kami berharap dia menerimanya.

“Masalahnya ialah kami tidak berunding dengan sebuah kelab bola sepak,” kata Ferguson.

Penasihat Tevez, Kia Joorabchian yang membawa Tevez ke England pada 2006 menerusi satu perpindahan pinjaman kontroversi ke West Ham, mengetuai rundingan itu.

“Memang benar Gill datang untuk menemui Joorabchian dan mereka telah mengadakan satu pertemuan yang mesra,” kata satu kenyataan daripada penasihat Tevez sebagai menjawab temu bual Ferguson selepas perlawanan.

“Ia tidak benar sama sekali bahawa Manchester United membuat satu tawaran untuk cuba memujuk Carlos Tevez kekal di kelab itu.

“Pada 2007, Manchester United bersetuju dengan satu pinjaman dua tahun bagi Tevez dan pada masa yang sama, bersetuju dengan syarat bahawa ia akan menjadikan perpindahan itu tetap. Mereka tidak mengambil pilihan itu,” katanya.

Gol minit akhir gagal julang Malaysia


Pemain Malaysia, Sukri Mutalib (bawah) diasak pemain Pakistan, Haider Abbas pada perlawanan separuh akhir Hoki Piala Asia VIII di Wisma Belia di Kuantan, semalam. Malaysia tewas 2-4. -
Pasukan hoki Malaysia gagal mara ke peringkat akhir Kejohanan Hoki Asia VIII selepas tewas kepada pasukan Pakistan 2-4 malam tadi walaupun percubaan gol minit-minit akhir dilakukan.

Ternyata Pakistan yang merupakan antara pasukan gergasi dunia sukar ditandingi pasukan negara walaupun Malaysia memberi tentangan yang cukup sengit pada perlawanan berkenaan.

Dengan kekalahan itu bermakna pasukan negara akan berhadapan dengan China bagi menentukan kedudukan tempat ketiga dan keempat Sabtu ini di Stadium Hoki Indera Mahkota.

Pada perlawanan bermula pukul 7.30 petang malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat memulakan rentak perlawanan dengan corak permainan sama iaitu saling melancarkan serangan mengejut ke pintu gol lawan.

Namun, corak permainan seperti itu ternyata memberi kelebihan buat pasukan hoki Pakistan yang dilihat lebih mudah menggoyahkan benteng pertahanan negara.

Manakala, serangan-serangan mengejut yang dilancarkan Malaysia pula kelihatan mudah dikekang benteng pertahanan Pakistan yang lebih berkeyakinan mengawasi pintu gol mereka.

Walaupun gol sulung perlawanan diperoleh oleh Malaysia melalui gerakan cantik Ismail Abu pada minit ke-3, tetapi pasukan negara sekadar mampu mengekalkan mata tersebut hingga minit-minit terakhir perlawanan.

Tetapi, pasukan hoki Pakistan yang tersentak dengan jaringan itu kembali memperkemaskan serangan dan mengasak pintu gol negara hingga akhirnya pemain mereka, Rehan Butt menyerikan kedudukan pada minit ke-19.

Pada perlawanan separuh masa, kedua-dua pasukan dilihat masih mengekalkan corak permainan yang sama dengan saling melancarkan serangan-serangan mengejut untuk mendapatkan mata dan mendahului pihak lawan.

Bagaimanapun, pada minit ke-47 permainan, kealpaan benteng pertahanan negara mengundang padah apabila pemain Pakistan, Akhtar Ali menjaringkan gol kedua buat pasukan itu untuk mendahului Malaysia.

Pasukan negara cuba bangkit menyamakan kedudukan, malangnya setiap serangan yang diatur oleh anak buah Tai Beng Hai seakan-akan mudah dibaca dan dihalang Pakistan.

Beberapa minit terakhir sebelum perlawanan tamat, pasukan negara sekali lagi tersentak apabila Butt sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-63.

Tidak sampai tiga minit, sekali lagi Pakistan melalui Haseem Khan menyumbat gol keempat yang menyaksikan pasukan negara mula kehilangan rentak permainan.

Pantang mengundur, pemain negara, Ismail Abu bagaimanapun mengurangkan aib kekalahan dengan memperoleh gol kedua negara pada minit-minit terakhir perlawanan melalui pukulan sudut penalti.

Sementara itu, Beng Hai ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan berkata, walaupun tewas, dia tetap berpuas hati atas komitmen yang dipamerkan pemain negara sepanjang kejohanan.

''Ia satu perlawanan yang sengit menentang Pakistan dan saya berharap skuad negara akan memberi komitmen tinggi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat ketika menentang China nanti,' katanya.

Beng Hai menambah, persediaan latihan selama empat setengah bulan yang dilalui Malaysia telah menunjukkan hasil yang baik dan pasukan hoki negara kini bertambah baik berbanding sebelum ini.

Thursday, May 14, 2009

Tiket MU serendah RM58

TIKET bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antara Manchester United (MU) dengan Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 18 Julai depan akan mula dijual Jumaat depan.

Harganya ditetapkan mengikut kedudukan kerusi di dalam stadium tersebut iaitu RM58 (bahagian belakang gol), RM68 (bahagian tengah, aras tiga), RM98 (bahagian tengah, aras satu dan dua) dan RM308 (bahagian tengah berhampiran tempat duduk VIP).

Selain itu, 2,000 keping tiket berharga RM28 juga akan dijual di Ibu Pejabat Ticketpro Malaysia bermula 1 Jun depan, khas kepada pelajar sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam berkata, biarpun tiket akan mula dijual secara rasmi pada 1 Jun depan, pra jualan akan dibuka mulai 22 Mei ini di kedai konsep Nike dan kedai sukan Al-Ikhsan terpilih.

"Kepada peminat yang membeli tiket di kedai Nike dan Al-Ikhsan terpilih dari 22 Mei hingga 31 Mei, mereka akan diberikan pas untuk menyaksikan sesi latihan MU secara percuma.

"Tawaran ini hanya sah pada tempoh pra jualan tersebut dan ia bergantung sementara stok masih ada," katanya pada satu sidang media di Sri Hartamas semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Ticketpro Malaysia, Joanne Ong dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad.

Sementara itu, Joanne berkata, peminat mempunyai tiga saluran untuk mendapatkan tiket apabila penjualannya secara rasmi dibuka pada 1 Jun depan.

"Mereka (peminat) boleh menghubungi Ticketpro Hotline 03-78807999, membelinya di 13 buah cawangan kami di seluruh negara atau membeli secara online menerusi laman web www.ticketpro.com.my," kata Joanne.

Sebanyak 85,000 tiket akan dijual dan 90 peratus daripadanya adalah untuk tiket yang berharga di bawah RM100.

Dalam pada itu, Azzuddin memberitahu, perlawanan persahabatan itu tidak mungkin akan dibatalkan akibat ancaman wabak influenza A (H1N1) kerana ia hanya membabitkan satu perlawanan dan dua buah pasukan.

"Ia tidak melibatkan banyak pasukan seperti Piala Antara Benua yang terpaksa kita batalkan. Tapi pihak kami akan terus memantau perkembangan wabak ini dari semasa ke semasa," kata Azzuddin.




Gerrard pemain terbaik England

Steven Gerrard
Ketua pasukan, Steven Gerrard dipilih selaku Pemain Terbaik Bola Sepak England, kelmarin oleh Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA).


Pemain tengah England berusia 28 tahun itu memenangi undian FWA mengatasi dua bintang Manchester United - Ryan Giggs dan Wayne Rooney.

Giggs dipilih oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) sebagai Pemain Terbaik Tahunan, bulan lalu.


Anugerah FWA ini - tertua di Eropah - dimulakan sejak 1948 dan Gerrard adalah pemain pertama Liverpool untuk memenanginya sejak John Barnes pada 1990, kebetulan pada tahun sama kelab Anfield ini memenangi kejuaraan liga yang terakhir.


Gerrard menyumbat 23 gol dalam semua pertandingan buat Liverpool musim ini, jumlah terbaik dalam kerjayanya dengan baki dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk ditamatkan.

Pengerusi FWA, Steve Bates berkata: “Persembahan Steven musim ini dalam kualiti tertinggi. Semangat dan keinginan membantu Liverpool mencabar kejuaraan EPL dan memastikan penyudah sengit kepada musim ini.

“Steven jelas sekali dalam kemuncaknya dan dianggap salah seorang pemain tengah terbaik dalam generasinya dan FWA cukup gembira untuk menghargai sumbangannya kepada kelab dan negara.”

Dia akan menerima anugerah ini pada majlis makan malam FWA di London, 29 Mei ini, sehari sebelum hari jadinya yang ke-29.

Manchester United beli remaja Brazil 6 juta euro





Kelab Brazil, Corinthians bersetuju menjual pemainnya berusia 17 tahun, Dodo kepada Manchester United dengan bayaran enam juta euro, lapor media Brazil, kelmarin.

Laporan itu menyebut, Dodo telah pun berlepas ke Old Trafford untuk ujian selepas dua minggu tetapi pemain itu berkata, dia hanya akan pulang pada Februari tahun depan.

Pemain remaja itu yang gagal mendapat tempat dalam kesebelasan kelabnya di Brazil bertukar status kepada pemain profesional tahun lalu.

''Saya jangka dapat menyesuaikan diri di sana dengan bantuan rakan-rakan dari sini yang telah berada lama di England. Pengalaman ini pasti menarik,'' kata Dodo yang merujuk kepada Anderson, Fabio dan Rafael.

ProEvents yakin dapat bawa United ke Malaysia


AZZUDDIN (kiri) dan Julian Kam menunjukkan poster Manchester United Asia Tour. Turut sama Pengarah Urusan Ticketpro, Joanne Ong (kiri) dan Pengarah Urusan ProEvents, San Boon Wah.



Penularan wabak Influenza A dijangka tidak jadi halangan

PENGANJUR perlawanan persahabatan jelajah Asia Manchester United 2009 membabitkan Pilihan Malaysia menentang Manchester United pada 18 Julai ini enggan menekan butang panik berikutan kebimbangan penularan wabak Influenza A yang menyaksikan pembatalan acara sukan di seluruh dunia.

ProEvents yang diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Julian Kam tetap yakin perlawanan itu akan diteruskan, namun tidak menolak sebarang kemungkinan sehingga tempoh muktamad, Jun ini.

“Kami akan memantau sebarang perkembangan. Keputusan akan dibuat pada Jun, tetapi buat masa sekarang mereka begitu fokus (dalam buruan musim ini) dan tidak mahu memperkatakan mengenai jelajah ini,” kata Julian pada sidang akhbar bagi mengumumkan penjualan tiket perlawanan itu di Desa Sri Hartamas semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Ticketpro, Joanne Ong dengan pihaknya bertindak sebagai ejen jualan tiket dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad.

Langkah meneruskan perlawanan persahabatan itu jelas melegakan selepas FAM membuat keputusan membatalkan Kejohanan Antara Benua bulan depan berikutan Influenza A.

Pada sidang akhbar itu, ProEvents mengumumkan tiket akan dijual dengan RM58, RM68, RM98 dan RM308 di cawangan Ticketpro di seluruh negara. Satu pra jualan tiket akan diadakan pada 22 Mei di kedai Nike Concept dan Al Ikhsan manakala jualan dibuka kepada umum pada 1 Jun ini

Hajat besar Ferguson


'Penyerang Manchester United, Park Ji-sung (tengah) menewaskan penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia sambil diperhati Kieran Gibbs dalam saingan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, kelmarin.


Dapatkan gelaran ketiga Eropah untuk saya'

LONDON: Selepas Manchester United mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara kedua berturut-turut, pengurus pasukan, Sir Alex Ferguson mahu mencapai satu lagi objektif hebat untuk kelab itu � melengkapkan statusnya dengan lebih kejuaraan Eropah.

Dalam tempoh 23 tahun selaku pengurus, Ferguson menyalurkan dua daripada tiga kejuaraan Eropah buat United dan berkata satu lagi kejuaraan akan membolehkannya bersara dengan kepuasan.

Juara bertahan itu mara ke satu lagi perlawanan akhir berdepan sama ada Chelsea atau Barcelona dalam aksi meyakinkan kelmarin.

Kelebihan 1-0 daripada kemenangan perlawanan pertama di Old Trafford mendedahkan mereka dengan kebangkitan Arsenal, tetapi kemenangan 3-1 memberikan Ferguson bukti bahawa pemainnya mampu menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan sejak format baru kejohanan itu diperkenalkan pada 1993.

"Saya rasa kami mampu memenanginya, pasukan ini mempunyai visi, keinginan dan kemampuan untuk bermain dan mereka beraksi di bawah tekanan.

"Terdapat beberapa ketika Arsenal menyerang secara agresif terhadap kami tetapi kami mampu menanganinya dengan baik. Pasukan ini mempunyai keupayaan untuk memburu kejayaan," kata Ferguson di Stadium Emirates.

Di sebalik laungan keyakinan Arsene Wenger sebelum perlawanan, kesilapan pemain pertahanan Gunners, Kieran Gibson membolehkan Park Ji-sung menyudahkan hantaran silang Cristiano Ronaldo untuk menewaskan penjaga gol, Manuel Alumnia pada minit kelapan.

Tiga minit kemudian, Almunia yang beraksi cemerlang untuk mengurangkan gawangnya dibolosi di Old Trafford minggu lalu, gagal menahan sepakan percuma kencang Ronaldo selepas bola melencong berdekatan tiang gol.

Penyerang Portugal itu sekali lagi menemui sasaran menerusi serang balas pantas pada minit ke-61, gol berpunca daripada gerakkan yang dimulakannya sendiri di kawasan United.

Robin van Persie menjaringkan gol sagu hati lewat buat Arsenal menerusi sepakan penalti, selepas Darren Fletcher melakukan kekasaran di kawasan penalti yang turut menyebabkan pemain tengah Scotland itu digantung daripada beraksi pada perlawanan akhir berikutan kad merah yang diperolehinya.

Wednesday, May 13, 2009

Tevez minat ke Anfield


Penyerang Manchester United, Carlos Tevez memang sudah tawar hati untuk terus kekal di Old Trafford.

Apa yang disumbangkannya untuk United bagaikan tidak dihargai.

Statusnya kini masih kekal sebagai pemain yang dipinjam selain sering memanaskan bangku simpanan.

Keadaan tersebut semakin meresahkan pemain dari Argentina itu yang menganggap kualiti permainannya bukan untuk memanaskan bangku simpanan.

Maka, tidak hairan dia secara terbuka mendedahkan niat untuk meninggalkan Old Trafford.

Destinasi yang menjadi impiannya kini ialah Anfield.

Semalam, Tevez secara terbuka mendedahkan bahawa dia mahu menyertai Liverpool.

“Jika diberi pilihan, saya akan menyertai Liverpool,” katanya.

Berita itu pastinya mengundang kemarahan pengurus United, Alex Ferguson yang sebelum ini enggan melepaskan Tevez ke Anfield.

Kecuali United mengikat Tevez secara tetap, Ferguson tidak boleh menghalang keinginan penyerang kelahiran Argentina itu untuk mengikat kontrak dengan mana-mana pasukan pada musim panas ini.

Liverpool pula dilaporkan telah menghubungi ejen Tevez, Kia Joorabchian untuk menyatakan hasrat mereka, dan penyerang itu nampaknnya menunjukkan minat.

Sekiranya berjaya mencapai kata sepakat, Tevez, 25, dilaporkan akan terus tinggal di Cheshire, kediaman tetap keluarganya ketika ini.

Kini, Ferguson perlu memutuskan sama ada sanggup berbelanja sebanyak £26 juta (RM139.856 juta) ke atas Tevez atau sebaliknya.

Dua tahun lalu, Ferguson pernah menghalang bekas tonggak pertahanannya, Gabriel Heinze menyertai Liverpool sekalipun United telah berhasrat menjual pemain berkenaan.

AS$109j untuk Ronaldo



Cristiano Ronaldo dan Manchester United dilaporkan sudah mencapai kata sepakat untuk menjual pemain dari Portugal itu kepada Real Madrid selepas bulan Julai ini.

Di bawah perjanjian yang sudah ditandatangani itu, United bersetuju melepaskan Ronaldo membabitkan bayaran perpindahan minimum RM383 juta (AS$109 juta).

Perpindahan pemain sayap Portugal itu bakal mengatasi perpindahan rekod dunia sebanyak AS$65 juta (RM212.3 juta) yang dibuat ke atas Zinedine Zidane apabila berpindah ke Real dari Juventus pada tahun 2001.

Menurut akhbar paling laris di sini, El Pais, bekas presiden Real, Florentino Perez dijangka akan mengumumkan perpindahan Ronaldo ke kelab itu, esok.

Ia sebagai antara kempennya untuk merebut kembali jawatan tersebut pada pemilihan Jun ini.

Perez juga dilaporkan sudah pun mengadakan perbincangan dengan agen Ronaldo, Jorge Mendes tentang jumlah yang akan dibayar.

Musim lalu, pemain terbaik dunia dari Portugal itu menghasilkan 42 gol dan berjaya membantu United menjuarai Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara.

Akhbar harian sukan Marca sebelum ini melaporkan Real bersedia membuka bidaan dengan satu tawaran 80 juta euro (RM405 juta) bagi kontrak lima tahun kepada Ronaldo dan akan menggaji pemain tersebut sebanyak 9.5 juta euro (RM48.17 juta) semusim.

Ronaldo yang merupakan peminat setia pasukan Real pada zaman kanak-kanak pernah dipilih sebagai pemain Terbaik England dua musim berturut-turut.

Dalam pada itu, El Pais memetik Perez turut bercadang untuk mendapatkan khidmat Kaka dari AC Milan.

Bulan lalu, ketika bertiup kencang khabar angin tentang perpindahannya ke Real, Ronaldo yang masih mempunyai kontrak sehingga 2012 berkata, dia gembira bersama United.

Begitu juga dengan Kaka yang turut menegaskan bahawa dia ingin kekal bersama AC Milan.

Perez yang merupakan presiden Real antara tahun 2000 dan 2006 pernah mengumpulkan ramai pemain ternama dalam kelab itu seperti Luis Figo, Zinedine Zidane dan David Beckham.

Tuesday, May 12, 2009

FAM tak mahu perjudi kesihatan pemain B-23

Tiada saingan Piala Antara Benua tahun ini sebaliknya akan diganti dengan beberapa siri perlawanan persahabatan untuk pasukan bawah 23 (B-23) negara berikutan kes jangkitan virus influenza A (H1N1).

Selepas mendapat surat balas dari Kementerian Kesihatan dan mengkaji dengan serius Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk membatal kejohanan yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 14 Jun depan.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad, FAM telah merujuk perkara tersebut kepada Kementerian Kesihatan dengan menghantar surat minggu lepas dan jawapannya telah diperolehi semalam.

"Kementerian Kesihatan telah menasihatkan agar kejohanan ini ditunda pada tarikh lain tetapi melihat kepada jadual yang ketat dan disusun rapi, FAM mengambil hasrat untuk membatalkan terus kejohanan tersebut tahun ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, beberapa perlawanan persahabatan akan diatur buat skuad B-23 negara untuk persiapan pasukan tersebut menjelang Sukan SEA di Laos Disember depan.

"Pembatalan kejohanan ini adalah disebabkan oleh wabak penyakit virus H1N1 yang sedang melanda beberapa buah negara diseluruh dunia sekarang.

"FAM telah mengkaji dengan serius dan mendalam beberapa faktor bersama beberapa pihak yang terlibat secara langsung dengan penganjuran kejohanan ini dan mengambil keputusan membatalkannya," kata Azzuddin.

Antara negara yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut ialah skuad B-23 Brazil, Mexico, Turki dan Korea Selatan.

"FAM memandang serius mengenai penularan virus H1N1 ini, dimana pihak kami sentiasa mengutamakan aspek kesihatan yang tinggi dan peka dengan nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Oleh itu FAM telah membuat keputusan untuk membatalkan kejohanan ini di mana dan berharap semua pihak yang terlibat akan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya.

FAM juga telah mengeluarkan kenyataan pembatalan ini di dalam web rasmi persatuan tersebut.

Skuad B-23 tahun bimbingan K. Rajagobal itu sedang menjalani latihan dan mencatatkan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan persahabatan pertama menentang Selangor Sabtu lalu.

Mereka dijadualkan mengadakan beberapa perlawanan ujian menentang skuad B-23 tahun Singapura dan sebuah pasukan kelab liga negara tersebut.

Malaysia belasah Bangladesh 7-1

Skuad hoki negara mencerahkan peluang untuk ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia Ke-8 malam tadi apabila memperoleh kemenangan besar dengan menewaskan Bangladesh 7-1.

Ternyata kesebelasan pemain Malaysia berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan menguasai perlawanan seawal minit babak pertama bermula di Stadium Wisma Belia semalam.

Walaupun hujan, pemain negara cukup agresif apabila dengan mudah menyumbat empat gol pada separuh pertama perlawanan sebelum diikuti tiga gol pada separuh masa kedua.

Lebih menghiburkan apabila melihat telatah para penyokong negara yang turut melaungkan sokongan buat pasukan Malaysia ala Raja Lawak Nabil iaitu 'Apa yang penting, kerjasama!'.

Pada perlawanan itu, gol pertama pasukan negara disempurnakan oleh pemain Mohd. Shahrun Nabil Abdullah sejurus 4 minit perlawanan bermula.

Gol pembukaan itu membangkitkan semangat pemain Malaysia yang lain untuk terus mantap menguasai permainan dan hasilnya, Azlan Misron menjaringkan gol pada minit ke-13.

Pasukan Malaysia terus garang mendahului pasukan lawan dengan pemain negara Chua Boon Huat menjaringkan gol ketiga buat negara pada minit ke-15 disusuli Mohd. Amin Rahim pada minit ke-19.

Bagaimanapun, laungan 'Malaysia Boleh' yang hangat diberikan penyokong negara terhenti seketika apabila Bangladesh menyumbatkan gol tunggal pada minit ke-28 melalui Islam Md. Zahida.

Namun, gol pasukan lawan itu tidak mengugat semangat pemain negara untuk bangkit menguasai perlawanan dan ia terbukti apabila pemain negara, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menambah jaringan negara pada minit ke-39 dan 44.

Beberapa minit sebelum wisel penamat berbunyi, penyokong Malaysia sekali lagi dihadiahkan gol apabila pemain Malaysia, Ismail Abu menjaringkan gol pada minit ke-50.

Namun, di sebalik kemenangan bergaya malam ini, keputusan sebenar sama ada pasukan negara akan melangkah ke separuh akhir hanya diketahui selepas menentang pasukan Jepun di stadium yang sama 7 malam hari ini.

Jurulatih pasukan hoki negara, Tai Beng Hai berkata, walaupun Malaysia mencatat kemenangan cukup membanggakan malam tadi namun para pemain tidak boleh leka kerana mereka akan mengharungi perlawanan yang lebih penting hari ini.

''Kita tahu ranking Jepun lebih baik, tetapi dalam setiap perlawanan kita juga mesti mengutamakan kemenangan dari sekadar berfikir untuk seri. Saya meminta supaya setiap pemain bermain dengan seratus peratus kemampuan mereka esok dan kita perlu memikirkan bagaimana untuk mencipta kemenangan," jelasnya.

Pemain badminton di Guangzhou selamat

Tiada apa yang perlu dirisaukan mengenai sama ada merebaknya wabak selesema influenza A (H1N1) yang mampu meragut nyawa ke atas skuad badminton negara dalam persaingan berpasukan campuran Piala Sudirman di Guangzhou, China, ketika ini.

Semua anggota pasukan disahkan sihat dan bebas daripada jangkitan wabak itu malah masih bersemangat untuk berjuang di Gimnasium Guangzhou biarpun membuka tirai kejohanan dengan sentuhan kecundang 3-2 kepada Korea Selatan, kelmarin.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh ketika dihubungi di kota China itu berkata: "Semua pemain sihat. Tiada sebarang kes atau khabar mengenai wabak yang dikesan di sini sama ada terhadap pemain atau pegawai lain."

Bagaimanapun katanya, mereka sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga malah semua pemain sentiasa diingatkan supaya hanya mengambil makanan yang telah disediakan di hotel penginapan sahaja.

Sebelum ini, BAM turut mengambil langkah perlu dengan melengkapkan ilmu pengetahuan dan menambah kesedaran pemain mengenai wabak berkenaan menerusi pengedaran risalah dan makluman secara lisan.

"Pemain tentu sudah cukup tahu bagaimana untuk menjaga dan menjamin kesihatan diri di Guangzhou," katanya.

Malah Institut Sukan Negara (ISN) turut menghantar seorang doktornya, Dr. Victor Feizal Abdul Shatar Knight ke Guangzhou dalam memastikan setiap atlet mematuhi segala langkah pencegahan oleh Pertubuhan Keselamatan Dunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan.

Semalam, Reuters melaporkan China memperoleh kes pertama H1N1 apabila seorang lelaki di wilayah Sichuan disahkan positif dijangkiti virus berkenaan selepas pulang dari Amerika Syarikat.

Menurut agensi berita Xinhua pula, pesakit berusia 30 tahun itu kini berada di Hospital Penyakit Berjangkit Chengdu dan orang ramai yang berhubung rapat dengannya turut diasingkan untuk pemantauan perubatan.

Malaysia nyala harapan layak ke separuh akhir


FAIRUZIZUAN dan Pei Tty beraksi mantap tewaskan gandingan Hong Kong, Hadikusumo-Hoi Wah 21-17, 21-16 dalam masa 31 minit dalam saingan Kumpulan 1A Piala Sudirman, malam tadi.


KECEDERAAN menimpa pemain wanita negara, Julia Wong Pei Xian, sedikit menjejaskan kegembiraan melakar kemenangan 4-1 ke atas Hong Kong dalam saingan Kumpulan 1A Piala Sudirman, malam tadi.

Julia bernasib malang apabila, dalam gerak pantas untuk cuba membalas pukulan Yip Pui Yin pada ketika mendahului 17-16 di set pertama, mendarat tidak stabil untuk bingkas mengalami kecederaan di lutut kirinya.

“Kecederaannya nampak agak serius dan Julia terpaksa dikejarkan ke hospital untuk ujian MRI. Dia tidak boleh berjalan.

“Saya tidak fikir dia mampu untuk diturunkan dalam perlawanan-perlawanan selepas ini. Kami juga tidak mahu mengambil risiko sebegitu,” kata ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek.

Namun di sebalik kecewa Julia, pemain lain tidak menghampakan untuk kembali menghidupkan harapan negara untuk cuba melayakkan diri ke separuh akhir buat julung kalinya.

Ia bermula apabila gandingan Fairuzizuan Tazari-Wong Pei Tty tidak berdepan kesukaran untuk menundukkan kombinasi Yohan Hadikusumo Wiratama-Chau Hoi Wah 21-17, 21-16 dalam masa 31 minit.

Lee Chong Wei menang 21-16, 21-8 ke atas Hu Yun sebelum Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjamin kemenangan dengan mata ketiga skuad negara selepas menundukkan Albertus Susanto Njoto-Hui Wai Ho 21-12, 21-19.

Selepas kecederaan Julia memberikan Hong Kong mata pertama, Pei Tty-Chin Eei Hui pula bangkit daripada kekalahan ketika menentang Korea Selatan, kelmarin apabila menundukkan Chan Tsz Ka-Wang Chen 20-22, 21-10, 21-15.

Malaysia kini perlu menang pertemuan terakhir kumpulan menentang Denmark, Khamis ini, untuk menepati sasaran ke separuh akhir.

Barca kena tunggu dulu

Villarreal halang Barcelona berpesta awal selepas diikat 3-3


PENYERANG Barcelona, Samuel Eto'o (kanan) diasak pertahanan Villarreal, Joan Capdevila dalam saingan La Liga di Stadium Nou Camp Nou, kelmarin.

Barcelona perlu menunggu lebih lama untuk merangkul mahkota kejuaraan Liga Sepanyol selepas Villarreal bangkit untuk meraih keputusan seri dramatik 3-3 dengan gol lewat daripada Joseba Llorente di Nou Camp, kelmarin.

Finalis Liga Juara-juara Eropah dan Piala Raja Sepanyol itu tampak bakal mudah menang selepas mendahului 3-1 menerusi gol babak pertama oleh Seydou Keita, Samuel Eto’o dan Daniel Alves.

Tetapi kad merah diterima benteng pertahanan, Eric Abidal 12 minit sebelum tamat membuka ruang untuk Villareal, dengan Matias Fernandez menyempurnakan sepakan penalti sebelum Llorente membebaskan diri untuk merembat masuk gol keduanya dalam perlawanan itu.

Barcelona kini sudah menghimpun 86 mata - lapan mengatasi Real Madrid yang kalah 0-3 di tangan Valencia, Sabtu lalu, ketika aksi musim ini berbaki tiga perlawanan.

“Kami hanya perlukan satu mata daripada baki sembilan yang boleh diburu. Kami sudah boleh dianggap juara. Adalah satu keajaiban jika kami tidak memenanginya,” kata Eto’o.


Sevilla di tangga ketiga dengan 63 mata ketika Valencia mengisi tempat keenam hasil himpunan 59 mata.

Atletico pula di tempat kelima dengan 58 mata selepas Diego Forlan menyumbat gol kemenangan lewat ketika menentang Espanyol untuk kelabnya bangkit dan menang 3-2.

Wenger pertahan potensi pasukan

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, tetap bertegas mempertahankan potensi pasukannya selepas dua kekalahan teruk di tempat sendiri, dan meluahkan reaksi tidak peduli dengan kekecewaan penyokong yang kian memuncak.

Wenger adalah pengurus paling berjaya kelab itu dan sudah menerima sokongan padu penyokong untuk tempoh panjang, termasuk empat tahun terakhir apabila Arsenal tidak memenangi sebarang trofi.

Tetapi suasana tegang kian ketara sepanjang musim ini dan ianya memuncak ekoran kekalahan teruk di gelanggang sendiri kepada Manchester United dan Chelsea minggu kebelakangan ini.


Arsene Wenger



Penyokong Arsenal meninggalkan Stadium Emirates dalam jumlah besar ketika ada 30 minit lagi aksi separuh akhir Liga Juara-juara Eropah selepas United mendahului 3-0 dan akhirnya menyingkirkan Arsenal 4-1 menerusi agregat.

Penyokong juga sudah tidak dapat menahan kesabaran ketika kekalahan 1-4 di tangan Chelsea, dengan beberapa ribu tempat duduk sudah kosong lama sebelum wisel penamat selain ejeken yang mula kedengaran.

Reaksi Wenger ringkas dan tidak peduli apabila ditanya apa mesejnya kepada penyokong selepas kekalahan kelmarin, ketika timbul andaian tindakan keluar stadium itu menunjukkan mereka kini sengsara.

“Semua orang bebas untuk meninggalkan stadium bila sahaja mereka mahu,” katanya tanpa memberikan huraian sebelum menjawab soalan berikutnya.

Nicol raih gelaran pertama

Menang mudah final Terbuka Kepulauan Cayman ke atas Natalie


NICOL ketika tewas kepada Natalie Grainger pada final Terbuka KL awal Mac lalu. Semalam dia menebus kehampaan itu di Terbuka Cayman.






PEMAIN skuasy wanita nombor satu dunia, Nicol David meraikan penampilan ke-50 dalam final jelajah profesional Wispa dengan kejayaan dalam Terbuka Kepulauan Cayman yang julung kali diadakan dan dalam proses membalas dendam atas kekalahan kepada pemain nombor dua dunia, Natalie Grainger dengan aksi skuasy terbaiknya, tahun ini.

“Saya gembira dengan (permainan saya) - saya bermain skuasy terbaik saya tahun ini dan mungkin juga tahun lalu,” kata Nicol dengan penuh kegembiraan selepas kejayaan 11-8, 11-6, 11-5 dalam tempoh 33 minit yang memberikan warga Pulau Pinang berusia 25 tahun itu gelaran ke-35 sepanjang kerjayanya - tetapi yang pertama tahun ini.

“Dia bermain dengan baik - tetapi dengan suasana secara keseluruhan, dengan apa yang berlaku kali terakhir kami bertemu, saya membawanya ke gelanggang dan ia membantu saya fokus,” kata Nicol, merujuk kepada kekalahan kepada pemain Amerika Syarikat itu dalam final Terbuka KL pada Mac, yang menamatkan rentetan 56 perlawanan tanpa kalahnya sepanjang 17 bulan.

“Mengetahui apa yang berlaku sebelum ini, anda mendapat idea apa yang perlu dilakukan, supaya ia tidak berlaku lagi. Dia bermain dengan baik sebelum ini tetapi saya betul-betul mahu bermain dengan baik hari ini (kelmarin).

“Kejohanan ini begitu hebat, dari segi pemandangan, kelab dan suasana. Dan (Kneipp, penganjur) sudah melakukan tugas baik - saya tidak sabar untuk pulang!”

Dengan empat gelaran jelajah miliknya, tahun ini, Natalie juga berada pada rentetan 19 perlawanan tanpa kalah menjelang final acara AS$37,500 (RM137,625) di Kelab Skuasy South Sound di Grand Cayman, Kepulauan Cayman.

“Saya membuat permulaan baik, tetapi gagal menguasai perlawanan. Saya agak tertekan apabila gagal menyempurnakan pukulan saya. Saya tidak mendapat jarak dalam pukulan saya.

“Tetapi dalam keadaan begini, Nicol sentiasa sukar untuk ditewaskan. Anda perlu berada pada puncak permainan. Saya hanya kecewa dengan kekalahan 3-0 itu.” katanya.

Ferguson tidak mahu bincang kontrak Tevez


TEVEZ (kiri) merembat bola masuk ke gawang City dalam saingan EPL di Stadium Old Trafford, kelmarin. United menang 2-0.




Pengurus United tegaskan tiada masalah dengannya

Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson enggan membincangkan mengenai masa depan Carlos Tevez selepas penyerang Argentina itu menjaringkan gol untuk meninggalkan kelabnya di ambang merangkul mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tevez kelihatan semakin kecewa selepas gagal mendapatkan tempat tetap dalam perancangan Ferguson dan memberikan petunjuk bakal meninggalkan Old Trafford apabila perjanjian pinjamannya tamat pada musim panas.

Warga Amerika Selatan itu meraikan jaringannya ketika membantu The Red Devils merakamkan kemenangan 2-0 ke atas pasukan tetangga, Manchester City di Old Trafford, kelmarin dengan berlari ke tempat penyokong utama, berdekatan dengan tempat duduk Ferguson.

Dia kemudian mendekatkan telinga ke arahnya dengan tangan ketika penyokong melaungkan kata-kata “Fergie, Fergie sign him up” yang bermaksud mendesak pengurus itu mengekalkannya di United buat semusim lagi.

Namun, pengurus United itu enggan memberi butiran lanjut mengenai pemain itu, yang sudah menjaringkan 14 kali musim ini.


Dia menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan gaya sorakan Tevez tetapi ketika ditanya sama ada terdapat penjelasan mengenai masa depan Tevez, Ferguson bingkas marah: “Saya tidak mahu memasuki babak perbualan itu.”

Kemudian dia menambah: “Tiada apa yang berubah. Dia adalah pemain Manchester United. Peminat menyukainya kerana dia berusaha bersungguh-sungguh. Asalkan dia terus menjaringkan gol, saya tidak mempunyai masalah dengan itu.”

Cristiano Ronaldo meletakkan United pada landasan kemenangan liga keenam berturut-turut dengan membuka jaringan dengan sepakan percuma menakjubkan sebelum percubaan Tevez pada detik rehat.

Namun, Ronaldo kelihatan tidak percaya apabila dia digantikan pada separuh masa pertama, pemain sayap Portugal itu menggelengkan kepalanya lama selepas meninggalkan padang.

Ferguson enggan mengkritik pemain tersebut atas sikap biadap yang ditunjukkannya secara terang-terangan itu.

Gerrard masih mengharap MU tercicir

Kapten Liverpool, Steven Gerrard masih mahu berpaut kepada kemungkinan Manchester United tercicir mata ketika menentang Wigan dan Arsenal untuk mengekalkan pasukannya dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas kemenangan 2-0 United ke atas Manchester City, kelmarin, juara bertahan itu hanya perlu empat mata daripada dua perlawanan pada esok dan Sabtu ini untuk menyamai rekod pencapaian 18 gelaran liga milik Liverpool.

Barisan diketuai Gerrard, yang ketinggalan tiga mata selepas beraksi lebih satu perlawanan, tidak akan beraksi sehingga Ahad ini apabila berkunjung ke West Bromwich Albion.

“Memang sukar untuk melihat United, terutama ketika mereka beraksi baik dan memenangi perlawanan. Saya akan lihat bagaimana keadaannya, Rabu ini (esok). Kami mahu memenangi liga.

“United kini dalam keadaan lebih baik, mereka adalah pilihan. Tetapi segalanya masih berkemungkinan. Selagi ada kemungkinan, saya akan terus berharap betapa United akan keciciran mata.”

Kemampuan mengekalkan tekanan terhadap United dan kemampuan Liverpool mendominasi persada liga untuk tempoh panjang sebelumnya turut memberikan keyakinan kepadanya bahawa kemarau sekian lama, kini sudah selama 19 tahun, akan berakhir tidak lama lagi.

Cuma, akan ada penyokong yang tidak mampu menyingkir persoalan ‘apa yang sebenarnya boleh berlaku’ bermula dengan jika perbincangan kontrak Rafa Benitez selesai segera tanpa pertikaian secara terbuka.

Ataupun jika pasukan tidak diikat seri 11 kali? ataupun jika Gerrard dan Fernando Torres tidak terlalu kerap tercedera, untuk hanya 12 kali bergandingan musim ini.

Monday, May 11, 2009

KENYATAAN AKHBAR - Inter Continental Cup Bwh 23 2009 (TERBARU) Date: 11/05/2009



KENYATAAN RASMI MENGENAI

KEJOHANAN BOLASEPAK BAWAH 23 TAHUN

INTER CONTINENTAL 2009

KELANA JAYA, 11 Mei 2009: Persatuan Bolasepak Malaysia FAM ingin memaklumkan bahawa kejohanan bolasepak Bawah 23 tahun – Inter Continental 2009 yang dijadualkan diadakan bermula pada 1 Jun hingga 14 Jun 2009 di Kuala Lumpur yang akan disertai oleh pasukan-pasukan dari negara seperti Brazil, Mexico, Turki dan Korea Selatan adalah secara rasminya dibatalkan.

Pembatalan kejohanan Intercontinental ini adalah disebabkan oleh ancaman penyakit Virus A(H1N1) yang sedang melanda beberapa buah negera diseluruh dunia sekarang. Pihak Persatuan Bolasepak Malaysia telah merujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai perkara ini dan setelah mengkaji dengan serius dan mendalam beberapa faktor dan setelah berbincang dengan beberapa pihak yang terlibat secara langsung dengan penganjuran kejohanan ini dan setelah menerima nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan, maka pihak Persatuan Bolasepak Malaysia telah mengambil keputusan membatalkan kejohanan Intercontinental 2009 pada tahun ini.

FAM memandang serius mengenai penularan Virus A(H1N1) ini, dimana pihak kami sentiasa mengutamakan aspek kesihatan yang tinggi dan peka dengan nasihat dan pandangan daripada pihak yang memantau perkembangan Virus A(H1N1) ini iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia.

Oleh yang demikian, FAM telah membuat keputusan membatalkan kejohanan Intercontinental ini dimana FAM berharap semua pihak yang terlibat akan dapat memberikan kerjasama yang diharapkan.

Gambar-gambar semasa perlawanan diantara Arsenal v Chelsea








KEPUTUSAN

ARSENAL 1-4 CHELSEA
Related Posts with Thumbnails