Thursday, October 8, 2009

Misi kedua Harimau Muda



SEBAHAGIAN daripada pemain Harimau Muda yang membantu skuad negara muncul naib juara pada Kejohanan Pra-Sukan SEA di Laos kelmarin.



SELEPAS berjaya muncul naib juara Kejohanan Bola Sepak Pra-Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos yang berakhir kelmarin, skuad Harimau Muda kini mempunyai misi kedua.
Skuad Bawah 20 (B-20) negara itu kini berada di Ho Chi Minh, Vietnam pula untuk menyertai Kejohanan Jemputan B-21 Piala Newspaper 2009 yang akan membuka tirainya esok.
Tanpa berselidung, jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata, sasaran mereka kali ini ialah untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir selepas terlepas peluang menjuarai Pra-Sukan SEA.
"Pada kejohanan ini, kita berada satu kumpulan bersama skuad China B-21 dan Vietnam B-19 setelah Iran B-21 menarik diri.
"Satu lagi kumpulan melibatkan skuad Vietnam B-21, Thailand B-21 dan Singapura B-21. Hanya dua pasukan teratas kumpulan layak ke separuh akhir.
"Kita telah menewaskan Vietnam B-19 3-1 pada perlawanan kedua dalam Pra-Sukan SEA Ahad lalu. Saya harap pemain dapat meneruskan aksi konsisten mereka," katanya ketika dihubungi saya di Laos sejurus sebelum berlepas ke Vietnam tengah hari semalam.
Pada saingan peringkat kumpulan Piala Newspaper, Harimau Muda akan bertemu skuad China B-21 pada perlawanan pertama esok sebelum menentang skuad Vietnam B-19 Ahad ini.
Misi pertama Harimau Muda dalam Pra-Sukan SEA boleh dianggap berjaya apabila mereka berkongsi lima mata dengan juara, Laos.
Laos yang dibarisi skuad B-23 muncul juara hanya kerana mereka memiliki kelebihan satu gol berbanding skuad Harimau Muda.
Pada kejohanan undangan itu, skuad Harimau Muda mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Thailand B-19, menang 3-1 ke atas Vietnam B-19 dan seri 1-1 dengan Laos B-23 pada aksi terakhir malam kelmarin.
"Saya tetap berbangga dengan persembahan pemain-pemain ini. Mereka menunjukkan peningkatan selepas pulang dari latihan di Slovakia bulan lalu.
"Bukan mudah berhadapan dengan Laos di hadapan penyokong mereka, dibarisi pemain-pemain B-23 dan dibantu pengadil dari negara mereka sendiri. Jelas skuad kita serba kekurangan tetapi masih mampu mengikat mereka 1-1," jelas Kim Swee.
Jurulatih yang akan genap 39 tahun pada 11 Disember depan itu turut menganggap kedua-dua kejohanan undangan itu sebagai pendedahan terbaik buat pemain B-18 negara yang akan beraksi pada pusingan kelayakan Kejohanan B-19 AFC 2010 di China bermula 1 November depan.
"Saya menyenaraikan 10 pemain B-20 dan 10 pemain B-18 untuk kedua-dua kejohanan undangan ini. Harap ia memberi pengalaman berguna kepada para pemain kita," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails