Thursday, October 22, 2009

AC Milan Ketepikan Saingan Bintang Real Madrid.



Alexandre Pato menutup kesilapan rakan senegaranya, Dida dengan bergaya apabila membantu AC Milan menundukkan Real Madrid 3-2 di Bernabeu untuk membolehkan mereka kembali ke landasan kemenangan.

Buat seketika, kesilapan Dida pada minit ke-19 kelihatan akan menjadi faktor kekalahan, dengan Raul memanipulasi kesilapan itu untuk meletakkan Real di depan.

Bagaimanapun, Pato mencuri perhatian apabila meledakkan gol kemenangan pada minit ke-88 untuk membantu Milan bangkit kembali dari kekalahan kepada FC Zurich dalam perlawanan Kumpulan C sebelumnya.

Itu adalah gol kedua peribadi Pato dalam perlawanan itu, kerana sebelum itu dia terlebih dahulu memberikan Milan gol pendahuluan pada minit ke-66. Empat minit sebelum itu, Andrea Pirlo menyamakan kedudukan buat Milan bagi menyeimbangkan semula kedudukan.

Royston Drenthe turut mencatat nama sebagai penjaring, menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-76 tetapi jaringan itu belum cukup untuk menyelamatkan Madrid dari ditimpa kekalahan dalam pertembungan antara dua kelab yang paling berjaya dalam sejarah bola sepak kelab Eropah.

Keputusan itu bermakna, Milan yang memenangi tujuh kali gelaran juara Eropah menyertai Madrid, yang sembilan kali muncul sebagai juara Eropah memungut enam mata dalam saingan Kumpulan C.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails