Sunday, October 11, 2009

Bahana 'Syaitan Merah' dan 'Si Biru'






Pelbagai reaksi, pelbagai gelagat serta pelbagai kenangan yang ditinggalkan oleh Pemain-Pemain Manchester United setelah berangkat ke Korea bagi meneruskan siri perlawanan persahabatan jelajah Asia sebagai persediaan pra-musim yang bakal bermula dalam minggu ini. Banyak perubahan kita lihat. Daripada angka kekalahan yang berubah-ubah (bilangan golnya), gaya permainan dan sebagainya. Teringat pula saya ketika Malaysia tewas 4-2 kepada England, ketika itu, Matlan Marjan diangkat sebagai wira negara apabila menjaringkan kedua-dua gol untuk Malaysia. Ketika itu, pasukan Bolasepak Malaysia diberikan harapan bahawa berada di landasan terbaik untuk pergi jauh di dalam bolasepak. Namun, setelah beberapa tahun... harapan tetap tinggal harapan.





DRAMA KEKALAHAN BOLASEPAK NEGARA







Kita semua sedia maklum bahawa pasukan negara kita tetap kekal berhempas pulas berjuang meskipun dengan negara jiran yang dahulunya bukan tandingan kita. Thailand, Singapura, Vietnam bukan cabaran kita pun dahulu. Namun kini, mereka sudah mula mengorak langkah meninggalkan kita. Yang menyedihkan, dengan Myanmar dan Vietnam pun kita belum tentu dapat tumpaskan. Kisah kedukaan di sukan SEA sudah terlalu lama kita tanggung, malahan hampir tidak dipedulikan pun pencapaian bolasepak negara. Lebih baiklah ditumpu pada Badminton dan Squash. Hati pun tak sakit (kata mereka).





Nak kata negara kita kurang kemudahan, rasanya infrastruktur serta kemudahan sukan kita jauh lebih baik daripada Vietnam dan Myanmar. Maka apakah salah kita. Apakah kajian serta hasil kajian di atas kekalahan kita di pentas asia mahupun kelayakan piala Asia dan Dunia? Pastinya kajian masih lagi tidak dapat menjawab persoalan ini. Ada masanya kita sebagai manusia pun berasa malas jika asyik mendengar alasan terhadap ketidak mampuan pasukan Kebangsaan kita. Alasan demi alasan diberi, semakin hari semakin canggih alasannya. Namun, cukuplah kita menjawab dengan perkataan. Sudah tiba masanya, pencapaian kita mengambil peranan untuk ditonjolkan berbanding retorik permasalahan yang seringkali dijadikan alasan sehingga ke tahap yang memualkan.






Di mana silapnya? Mungkin pemain, pengurus, sistem, pengurusan FAM, pendedahan, Jurulatih atau apa sebenarnya? Tiada siapa berani tampil mengakui kesilapan sendiri. Pelbagai projek kecemerlangan telah pun dilaksanakan sejak sekian lama... tetapi... hasilnya?? Inilah yang menyebabkan masyarakat Malaysia penat malahan ada yang sudah tidak mahu ambil tahu tentang berjaya atau tidaknya Bolasepak Malaysia.






SIAPA PENYOKONG KITA?








Manchester United dan Chelsea. Dua kelab gergasi Eropah, yang seringkali mendominasi kejuaraan di dalam Dunia Bolasepak Eropah. Malahan juga tersenarai sebagai 'top four' pesaing di dalam Kejuaraan Liga Perdana Inggeris (selain daripada Liverpool danArsenal). Namun bukan itu maksud saya. Maksud saya, siapa mereka pada kita sebenarnya, sebenarnya kelab ini berasal daripada rumpun Inggeris yang pernah menjajah negara kita suatu ketika dulu. Janganlah kita lupa akan hal ini. Bukanlah maknanya saya tidak bersetuju dengan perlawanan persahabatan yang diatur, tetapi yang merisaukan adalah 'siapa penyokong kita'. Ya, sepatutnya rakyat kitalah yang menjadi penyokong.


Poster memaparkan gambar pemain Chelsea. Tiada satupun wajah pemain Malaysia



Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya dan sahabat saya, Nasir berkesempatan menyaksikan perlawanan persahabatan di antara Chelsea dan Malaysia pada 29 Julai 2008 yang lalu, bertempat di Stadium Shah Alam. Apa yang dapat diperhatikan, penyokong pasukan Chelsea (orang Malaysia tentunya) begitu fanatik terhadap pasukan Chelsea ini berbanding pasukan negaranya sendiri. Malahan, lebih menyedihkan, ramai penyokong yang mengherdik serta memaki hamun pemain Malaysia setiap kali timbul 'tackling' atau 'foul' terhadap pemain Chelsea. Apabila pemain Malaysia memegang bola, mereka di 'boo'. Bayangkanlah bagaimana mentalitu pemain kita agaknya ketika di dalam padang. Jika rakyat tempatan sendiri tidak memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukannya, maka apalah nilainya....

PERISTIWA BERULANG



Malaysia lawan Manchester United




Hampir sahaja peristiwa ini berulang. Tahun ini (2009) iaitu pada 18 Julai yang lalu, berlangsung pula perlawanan persahabatan di antara Syaitan Merah (Red Devils) menentang pasukan Malaysia. Di dalam akhbar sibuk menyiarkan wawancara serta pandangan peminat bolasepak. Rata-rata, tidak sabar melihat pemain luar dari dekatlah, dapat melihat pemain pujaanlah. Tetapi jauh sekali, memberikan dorongan kepada pemain Negara agar menumpaskan pasukan Manchester United. Tiada seorang pun.

Poster memaparkan gambar pemain Manchester United. Tiada satupun wajah pemain Malaysia



 Penyokong Manchester United di Old Trafford

Penyokong Manchester United di Stadium Bukit Jalil

Suasana di Stadium masih lagi sama, yang memakai baju Manchester United, membanjiri Stadium (macam di Old Trafford) rasanya. Kurang sekali yang memakai jersi Malaysia sebagai tanda menyokong pasukan Kebangsaan. Akhirnya Amri Yahyah membuat kejutan dengan jaringan-jaringan yang menyebabkan Manchester United tergamam malahan ribuan penyokong Manchester United yang berasal dari....... Malaysia. Hairan kan? Dan kemudiannya apabila Owen berjaya menyumbatkan gol kemenangan, kem penyokong Manchester bersorak keriangan semula, dan panyokong ini sekali lagi datangnya dari ......... Malaysia.


Kebanjiran penyokong Manchester United yang berasal dari 'Malaysia'

Akhirnya Malaysia tumpas 3-2, satu angka yang tidak pernah dijangkakan oleh sekelian rakyat Malaysia.

 Kerdilnya pemain Malaysia terhadap penyokong mereka sendiri....




Hanya segelintir ini yang menyokong Malaysia.



Tragedi JWW Marriott di Jakarta mengakibatkan pengurusan Manchester United mengadakan perlawanan ulangan. Saya menyangka dengan ini ramailah penyokong Malaysia yang akan menginsafi dan menyokong pasukan Malaysia, namun, ternyata sangkaan saya silap. Sekali lagi di akhbar-akhbar menyatakan sokongan rakyat Malaysia (yang diwawancara) terhadap pasukan pendatang asing ini. Malahan ada yang menyatakan bahawa "Saya yakin pasukan Manchester United akan beraksi lebih baik kali ini dan pastinya pasukan Malaysia tidak akan ada peluang lagi".
                                                                 
                                                     KONSEP 1 MALAYSIA



Tatkala negara heboh memperkatakan tentang Konsep SATU MALAYSIA yang berteraskan perpaduan nasional tanpa mengira bangsa dan keturunan. Maka perlunya semua rakyat faham akan aspirasi serta dasar negara. Apa-apa perjuangan membawa nama negara perlu kita sokong dengan sepenuh jiwa dan raga. Termasuk juga perjuangan di dalam bidang sukan.





Mengapa penyokong kita tidak seperti zaman Allahyarham Mokhtar Dahari? Mengapa sokongan rakyat kita sudah tidak sehebat sokongan terhadap pasukan Badminton Piala Thomas pada tahun 1992? Mengapa, sewajarnya konsep SATU MALAYSIA dihayati bukan hanya sekadar pada isu politik dan sosial semata, tetapi juga dari semua aspek termasuklah perjuangan di dalam bidang sukan.


Namun jikalau ini terus berlaku, saya bimbang kita hanya mampu menyanyikan lagu SATU MALAYSIA, tanpa kita memahami akan erti serta matlamatnya...


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails