Monday, October 26, 2009

Manchester United Jadi Mangsa Kebangkitan Liverpool.



 Fernando Torres meraikan jaringannya di Anfield semalam.

Fernando Torres membuka laluan buat Liverpool dengan jaringan menakjubkan sebelum penyerang gantian, David Ngog menjaringkan gol pemusnah enam minit pada masa kecederaan untuk membolehkan Liverpool menang 2-0 ke atas Manchester United dalam saingan EPL di Anfield malam tadi.
Kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan yang penuh dramatik itu dengan sepuluh pemain selepas Nemanja Vidic dan Javier Mascherano diarahkan keluar padang pada penghujung babak kedua.

Perlawanan itu menampakkan kesungguhan pasukan tuan rumah untuk kembali mencatat kemenangan selepas beberapa siri kekalahan dalam saingan liga dan Liga Juara Eropah kebelakangan ini.

Babak pertama menyaksikan penguasaan ‘The Reds’ dengan beberapa gerakan dan percubaan berbahaya menerusi Dirk Kuyt, Youssi Benayoun dan Torres.

United pada awalnya dijangka menurunkan Michael Owen dalam kesebelasan utamanya tetapi akhirnya Sir Alex Ferguson memilih untuk menurunkan gandingan Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov di jentera serangan, namun tindakan itu tidak memberikan sebarang impak besar kepada benteng pertahanan tuan rumah.

Torres yang pergerakannya dikawal ketat oleh Vidic, akhirnya berjaya melepaskan diri dengan menyudahkan hantaran cantik Benayoun pada minit ke-65.

Pada ketika United sibuk melancarkan serangan ke kubu lawan pada penghujung perlawanan, nasib malang menimpanya apabila Vidic dilayangkan kad kuning kedua selepas menjatuhkan Kuyt.

Tidak semena-mena, Mascherano juga menerima nasib yang sama apabila menghalang pergerakan Edwin van der Sar beberapa minit kemudian.

Ngog yang dibawa masuk untuk menggantikan Torres, membalas kepercayaan Rafael Benitez dengan menolak masuk gol kedua melepasi Van der Sar menerusi serangan balas pada masa kecederaan.


Pemain-pemain Manchester United kelihatan hampa selepas kekalahan ke atas Liverpool.

Michael Owen telah dijatuhkan oleh Jamie Carragher.

Banyak bola yang dibaling oleh penonton terdapat di atas padang.

Andre Marriner melayangkan kad kuning kepada Jamie Carragher selepas dia menjatuhkan Owen.

KEPUTUSAN PERLAWANAN LAIN:

West Ham United 2-2 Arsenal

Bolton 3-2 Everton

Manchester City 2-2 Fulham

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails