Sunday, September 20, 2009

United tidak sekuat mana


Memang mereka nampak hebat ketika menentang Tottenham tetapi hakikatnya United jauh daripada tahap terbaik MARK HUGHES, Pengurus Manchester City

Pengurus Manchester City, Mark Hughes (gambar) menyifatkan jirannya yang akan ditentang hari ini, Manchester United tidaklah sehebat musim lalu. Katanya, ketiadaan pengganti Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez membuatkan pasukan bimbingan Alex Ferguson itu tampak goyah dan berada di bawah tahap sebenar musim ini.
"Anda tidak boleh kehilangan pemain berkualiti seperti itu apatah lagi tidak pula mencari pengganti mereka.
"Selepas menyaksikan beberapa perlawanan United, saya merasakan mereka tidak bermain sebaik seperti musim lalu.
"Memang mereka nampak hebat ketika menentang Tottenham tetapi hakikatnya United jauh daripada tahap terbaik," katanya sebagai membalas kenyataan Ferguson, kelmarin.
Perang dingin antara kedua-dua pengurus makin hebat menjelang perlawanan United-City di Old Trafford hari ini.
Ditambah pula kemungkinan besar Tevez diturunkan sekali gus menghangatkan lagi suasana berikutan hubungan dingin dengan Ferguson.
Malah, bagi menyemarakkan lagi api kemarahan penyokong United kepada Tevez, Ferguson memberi amaran bahawa pemain dari Argentina itu bakal berdepan situasi sukar jika diturunkan.
"Dia (Tevez) langsung tidak menyebabkan saya rasa tertekan kerana Emmanuel (Adebayor) sebenarnya yang lebih saya bimbangkan.
"Tapi saya ingatkan dia, emosi penyokong kami sudah berbeza sekarang. Dia pasti akan terkejut dengan sambutan yang bakal diterimanya nanti," tegas Ferguson.
United dijangka turun tanpa kelibat tonggak pertahanan, Rio Ferdinand yang cedera manakala City tanpa Adebayor yang digantung tiga perlawanan oleh FA England kerana berkelakuan melampau ketika menentang Arsenal Sabtu lalu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails