Monday, September 21, 2009

Barca lanjut kontrak Messi


Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi kelmarin menandatangani perjanjian baru selama dua tahun dengan juara Liga Sepanyol yang juga penyandang trofi Liga Juara-Juara, Barcelona. Catalan dalam laman web rasminya berkata, persetujuan daripada perjanjian itu bakal menyaksikan pemain lincah Argentina itu akan terus bersama kelab tersebut sehingga 2016.
Klausa pembayaran daripada perjanjian untuk pemain berusia 22 tahun itu telah meningkat daripada 150 juta euro (RM768,209 juta) kepada satu jumlah yang mengejutkan iaitu sebanyak 250 juta euro (RM1.28 bilion).
"Saya suka untuk menamatkan kerjaya bola sepak di sini iaitu di Barcelona. Saya rasa seolah-olah bermain dengan sebuah skuad yang menggerunkan, kuat dan bersatu," kata Messi dalam laman web rasmi kelab tersebut.
Meskipun kelab terkemuka Sepanyol itu tidak mahu mendedahkan secara terperinci gaji yang diperoleh Messi, namun akhbar tempatan melaporkan bintang Argentina itu pada masa ini menerima pembayaran antara tujuh atau lapan juta euro (RM35.85 atau RM40.97 juta) setahun.
Akhbar sukan, Marca baru-baru ini mendakwa bahawa pendapatan tahunan Messi melonjak sekitar 10 hingga 12.5 juta euro (RM51.21 hingga RM64.02 juta) setahun menerusi perjanjian baru tersebut.
Messi yang telah berada di Barcelona sejak berusia 13 tahun adalah salah seorang pemain yang menjadi buruan setiap kelab ternama.
Tahun lalu, dia berjaya membantu Barcelona memenangi tiga trofi dan mencita jaringan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara ketika menundukkan Manchester United.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails