Saturday, September 5, 2009

Argentina jangka Messi mampu menyerlah


Lionel Messi

Lionel Messi boleh meninggalkan kesan yang besar dalam bola sepak antarabangsa apabila Argentina berdepan musuh tradisi, Brazil dalam kelayakan Piala Dunia hari ini, kata jurulatih, Diego Maradona.

“Sekarang adalah masanya untuk dia menjadi lelaki, dan bukan lagi anak muda yang berbakat besar, dia sudahpun membuktikannya.

“Dia sangat laju, licik, fokus dan amat komited, malah dia sedar apakah peluang yang dimilikinya.

“Kami bertanggungjawab ke atasnya.. sejak saya melatih Messi, sejak saya melihat dia (berlatih), saya percaya ini adalah minggu terbaiknya,’’ kata Maradona pada sidang akhbar menjelang pertemuan dengan Brazil di Rosario.

Messi belum menterjemahkan permainan bijaknya ketika beraksi buat kelab, Barcelona apabila bersama skuad Argentina, di mana jutaan peminat mahu melihat dia menjadi inspirasi untuk membawa negaranya meraih kemenangan.

Dia masih berusia belasan tahun ketika meninggalkan kampung halamannya, Rosario untuk menyertai Barcelona selepas tiada satu pun kelab di Argentina yang mampu memberi rawatan yang diperlukan untuk memenuhi impiannya yang besar.

Brazil tidak pernah tumpas kepada Argentina dalam empat perlawanan terakhir, dan kekalahan terakhir mereka hanya hadir pada 2005 ketika Juan Roman Riquelme menjadi inspirasi untuk membantu pasukan itu menang 3-1.

Argentina terperangkap dengan permainan serangan balas Brazil pada final Piala Konfederasi 2005, perlawanan persahabatan di London 2006 dan final Copa America di Venezuela pada 2007.

Dalam pertemuan terakhir tahun lalu, iaitu pada kelayakan Piala Dunia kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Belo Horizonte.

Piala Dunia tidak sama tanpa Messi, yang diakui antara pemain terbaik dunia ketika ini, malah peminat bola sepak sendiri sukar membayangkan kejohanan prestij itu berlangsung tanpa Argentina.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails