Wednesday, September 9, 2009

Skuad bola sepak harus berani letak sasaran


Jangan takut untuk meletakkan sebarang sasaran, pesanan itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada skuad bola sepak bawah 23 tahun yang bakal beraksi di Sukan SEA Laos Disember depan.

Menurut Ahmad Shabery, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus berani untuk meletakkan sasaran dan realistik dalam kejohanan tersebut.

"Bagaimanapun mereka masih mempunyai masa untuk melakukan demikian dan semuanya berdasarkan persiapan yang dilakukan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) untuk Sukan Para ASEAN 2009 di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Jelasnya, bola sepak ialah sukan yang popular di dalam negara ini dan rakyat amat menanti-nantikan sebarang perkembangan mengenai sukan ini.

"Rakyat tidak boleh menerima jika pasukan bola sepak negara tidak mampu beraksi dengan baik sedangkan kita mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa berbanding negara kecil yang lain di rantau ini.

"Jika tidak mampu meletakkan sasaran sebenar dalam Sukan SEA bayangan sasaran juga sudah memadai buat pasukan bola sepak negara," katanya.

Sebelum ini Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad mengumumkan bahawa tidak ada sebarang sasaran buat skuad kebangsaan yang beraksi di Sukan SEA Laos kerana tidak mahu anak buah K. Rajagobal berada dalam keadaan tertekan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails