Sunday, September 13, 2009

Adebayor Pastikan Arsenal Jadi Mangsa Manchester City.

Emmanuel Adebayor akhirnya tersenyum lebar apabila membantu Manchester City menewaskan bekas kelabnya, Arsenal 4-2 dalam perlawanan EPL yang berlangsung sengit di Stadium City of Manchester malam tadi.
Dua minggu selepas menguasai perlawanan di Old Trafford, kemudian menamatkan perlawanan di pihak yang kalah kepada Manchester United, pasukan bimbingan Arsene Wenger turun dengan harapan dapat muncul sebagai pemenang dalam perlawanan itu.
Adebayor kelihatan mempunyai agenda lain, mungkin pihak FA perlu melihat semula insiden yang melibatkan pertembungannya dengan Robbie van Persie yang menyebabkan penyerang Arsenal itu mengalami kecederaan di muka.
Mereka juga pasti akan menilai cara Adebayor meraikan gol jaringannya pada minit ke-80.
Apabila Shaun Wright-Phillips membuat hantaran ke depan pintu gol Arsenal, pemain bernilai 25 juta pound itu tanpa dikawal menanduk masuk gol ketiga City dan kemudian berlari ke arah penyokong lawan menyebabkan timbul sedikit ketegangan waktu itu.
Pertembungan antara dua kelab itu agak menarik kerana menemukan kelab terkaya EPL dengan kelab yang membekalkan sepasang pemain antarabangsa Togo, Kolo Toure dan Adebayor kepada lawannya itu sehingga menjana pendapatan 40 juta pound kepada Arsenal.
City memulakan permainan dengan baik apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-20 hasil gol sendiri Manuel Almunia. Bola tandukan Michah Richards pada awalnya mengenai tiang gol dan kemudian bergolek masuk ke gawang sendiri setelah lantunan bola itu terkena badan Almunia.
Van Persie menceriakan kem Arsenal dengan gol penyamaan yang cantik pada minit ke-62 namun City mengganas dengan menghasilkan tiga lagi jaringan menerusi Craig Bellamy (minit ke-74), Adebayor dan Wright-Phillips (minit ke-84).
Thomas Rosicky cuba menghidupkan peluang Arsenal dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-88 namun ianya sudah terlewat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails