Wednesday, September 23, 2009

City kemuka aduan


 Hughes semasa di Manchester United

Manchester City akan mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak (FA) England berhubung tingkah laku pengadil keempat, Alan Wiley sewaktu pertemuan menentang Manchester United di Old Trafford Ahad lalu.
City berang dengan tindakan Wiley yang menghalau pengurus Mark Hughes ketika mempersoalkan tambahan masa yang diberikan oleh pengadil perlawanan, Martin Atkinson.
"Papan masa diangkat untuk tambahan masa empat minit dan pada masa yang sama, (penyerang City) Craig Bellamy menjaringkan gol untuk mengikat kedudukan 3-3.
"Selepas tambahan masa empat minit itu, perlawanan masih diteruskan dan ia membuatkan saya tidak berasa selesa.
"Saya mahukan penjelasan dan pengadil keempat (Wiley) mengatakan bahawa ia ditambah kerana kami meraikan jaringan ketiga itu tetapi ia hanya berlaku selama 45 saat," kata Hughes.
Kemarahan Hughes memuncak apabila Wiley dilihat bermesra bersama pengurus United, Alex Ferguson selepas Michael Owen menjaringkan gol keempat United pada masa kecederaan (minit ke-96).
Dalam pada itu, Hughes mungkin lupa bahawa dia merupakan sebahagian daripada pemain skuad United yang menjuarai liga selepas dua jaringan lewat Steve Bruce membolehkan United menewaskan Sheffield Wednesday 2-1 di Old Trafford pada April 1993.
Jaringan kemenangan Bruce itu turut dilakukan ketika tambahan masa selama tujuh minit diberikan pengadil.
Sheffield terlebih dahulu di hadapan menerusi sepakan penalti John Sheridan tetapi dua jaringan Bruce membolehkan United muncul juara liga selepas 26 tahun.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails