Thursday, September 3, 2009

Ferguson minati khidmat Morimoto

Takayuki Morimoto

Penyerang remaja Jepun yang beraksi di Itali, Takayuki Morimoto menjadi buruan beberapa kelab besar Eropah dengan bos Manchester United, Sir Alex Ferguson antara yang mengagumi pemain itu, kata seorang pegawai kelab itu.

Morimoto, 21, yang beraksi untuk Catania dalam Serie A, baru-baru ini dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan Jepun buat pertama dan perubahan besar dijangka akan berlaku ke atas pemain itu.

"Kami akan memindahkan dia ke kelab besar selepas hujung musim ini. Kami hanya sebuah kelab kecil, tidak dapat berbuat lebih lagi terhadapnya.

"Kami telah menerima tawaran penting dari England dan Perancis.

Jurulatih Manchester United, Sir Alex Ferguson juga memandang tinggi kemampuan pemain ini,'' kata Pengarah Urusan Catania, Pietro Lo Monaco kepada akhbar Asahi Shimbun di Itali.

Morimoto, yang tiga musim dalam pasukan Liga-J, Tokyo Verdy sebelum menyertai Catania pada 2006, telah menjaringkan sembilan gol dalam 42 perlawanan Serie A, juga menjaringkan gol ketika perlawanan pembukaan kelabnya yang kalah 2-1 kepada Sampdoria.

Pada perlawanan Ahad lalu, Morimoto duduk di bangku simpanan akibat masalah paha ketika pasukannya kalah 2-1 kepada Parma.

"Perkara yang penting ialah kebijaksanaan dan semangat,'' kata Lo Monaco, yang pertama kali melihat aksi pemain itu pada kejohanan Piala Dunia Remaja 2005.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails