Monday, September 14, 2009

Real terus tekan Barca


KAKA sudah mengembalikan sentuhannya pada aksi menentang Espanyol kelmarin.

Real Madrid terus memberi saingan kepada pencabar utamanya, Barcelona dalam saingan Liga Sepanyol. Kelmarin, mereka mencatat kemenangan 3-0 ke atas Espanyol dan bintang Brazil, Kaka mula mempamerkan taringnya untuk membantu kemenangan bergaya kelab The Galacticos itu.
Kaka masih belum menyumbang gol buat Real sejak perpindahannya dari AC milan, namun tetap mempamerkan kelas tersendiri apabila mencipta dua peluang yang disempurnakan Esteban Granero dan Guti.
Pemain gantian, Cristiano Ronaldo yang juga pemain termahal dunia, menambah gol ketiga Real pada minit kecederaan.
"Saya tidak fikir dia (Ronaldo) akan merasai lagi bebanan di bahunya (rekod perpindahan termahal)," kata jurulatih Real, Manuel Pellegrini.
"Dia menjaringkan gol ketika menentang Depotivo (La Coruna) dan melakukannya sekali lagi hari ini (kelmarin)
"Dia sedang cuba menyesuaikan diri dalam saingan liga yang baru dan kadang kala peminat terlalu meletakkan harapan yang tinggi terhadapnya."
Kejayaan itu menyaksikan Real dan Barcelona muncul pendahulu bersama selepas kelab Catalan itu turut mengutip tiga mata hasil kejayaan 2-0 ke atas Getafe, namun memiliki kelebihan menerusi perbezaan jaringan.
Pemain termahal Barca, Zlatan Ibrahimovic meledakkan gol keduanya dalam dua penampilan buat Barcelona apabila membuka jaringan pada minit ke-65 sebelum pemain gantian, Lionel Messi menambah gol kedua.
"Tidak dinafikan lagi bahawa Andres Iniesta dan Lionel Messi adalah dua pemain yang hebat," kata jurulatih Barca, Pep Guardiola.
"Mereka berkerja keras untuk mengucar kacirkan pasukan lawan dan juga bijak mencipta peluang."

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails