Saturday, September 26, 2009

Pulis risau kelibat Owen



Tony Pulis amat mengagumi Michael Owen, malah cuba mendapatkan khidmat bekas penyerang England itu ke Stoke City ketika musim liga berehat.
Bagaimanapun usaha pengurus Stoke itu gagal, sebaliknya Owen dipancing Manchester United, dan penyandang juara Liga Perdana England itu bakal berkunjung ke Stadium Britannia hari ini bersama pemain yang paling diingini dan digeruni oleh Pulis itu.
Owen menjaringkan gol kemenangan United minggu lalu dalam perlawanan dramatik dengan kelab tetangga, Manchester City, selain mempamer aksi meyakinkan ketika membantu United mengalahkan Wolves 1-0 dalam saingan Piala Liga, Rabu lalu.
Pengurus United, Sir Alex Ferguson pada mulanya bersedia untuk menurunkan gandingan Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov dalam kesebelasan utama menentang Stoke.
Begitupun prestasi memberangsangkan yang dipamer Owen dan peranan penting yang mampu dimainkan bekas bintang penyerang Liverpool itu membuatkan dia dalam keadaan serba salah.
"Saya harap jaringan terakhirnya itu bukanlah permulaan kepada pesta jaringan Owen. Kalau dia mula menjaringkan gol, maka dia pasti mendapat tempat dalam perancangan Fabio Capello (pengurus England).
"Saya tidak fikir Owen akan diturunkan dalam kesebelasan utama Manchester United, mungkin Ferguson memilih untuk menurunkan Rooney dan Berbatov, tetapi itu tidak bermakna ia perkara mudah,'' kata Pulis.
Owen, 30, masih perlu bekerja keras untuk meyakinkan Capello bagi mendapat tempat dalam skuad England ke Piala Dunia 2010 dan dia boleh berbuat demikian jika terus menunjukkan impak besar di Old Trafford.
Walaupun tidak menjaringkan gol dalam pertemuan menentang Wolves, namun bekas pemain Real Madrid itu melakukan gerakan cantik dan turut mencipta gerakan untuk gol tunggal yang disempurnakan Danny Welbeck.
"Pengalaman bermain di samping Michael Owen adalah sesuatu yang amat hebat kerana Michael Owen adalah Michael Owen.
"Anda boleh belajar daripada pergerakannya kerana dia memang sukar dipercayai. Ketika saya baru dapat tahu dia berada di sudut, dia sudah dapat mengagak ke mana saya akan pergi, jadi saya cuma perlu menyudahkan peluang dengan baik,'' ujar Welbeck.
Bagi Welbeck dan rakan-rakan seangkatan, biarpun mempamer aksi memberangsangkan mereka hanya boleh mengutip pengalaman dalam Piala Liga dan belum berpeluang beraksi dalam Liga Perdana.
Kekalahan kepada Burnley pada awal musim menyebabkan Ferguson kurang berminat untuk melakukan eksperimen, apatah lagi berkunjung ke Stoke.
Bagaimanapun posisi yang hampir pasti menyaksikan rombakan adalah penjaga gol, di mana Ben Foster, yang gugup ketika berdepan City, hujung minggu lalu mungkin diketepikan.
Pada ketika Edwin van der Sar mengalami kecederaan jangka panjang, posisi itu mungkin diberi kepada Tomasz Kuszczak, pemain Poland yang beraksi baik dalam saingan Piala Liga.
Bagi Stoke, persiapan mereka tidak berjalan lancar apabila dijangka hilang dua penyerang utama, James Beattie yang bergelut dengan kecederaan buku lali, manakala Ricardo Fuller cedera pangkal paha.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails