Thursday, September 17, 2009

Jentera F1 1Malaysia diuji Januari


PEMINAT F1 bakal menyaksikan deruman jentera F1 buatan Malaysia hasil teknologi dan kepakaran anak-anak tempatan bermula Januari depan.

Pasukan Formula Satu negara, F1 1Malaysia dijangka bakal memulakan sesi ujian latihan jentera baru Januari tahun depan. Menurut sumber terdekat pasukan, ujian tersebut akan dijalankan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Katanya, jentera buatan Malaysia itu pasti akan berada di grid perlumbaan sebaik kalendar Formula Satu (F1) bermula di Australia, Mac tahun depan.
"Jentera F1 1Malaysia akan berada di Malaysia terlebih dahulu untuk diuji, sebelum kereta tersebut menyertai Grand Prix Australia.
"Namun begitu, saya masih tidak tahu bilakah tarikh sebenar. Apa pun, sebelum menjalani latihan di negara ini, jentera itu akan turut diuji di Norfolk, United Kingdom," katanya di sini, semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Pasukan F1 1Malaysia yang merupakan usaha sama kerajaan dan swasta negara ini bagi menyertai perlumbaan F1 mulai tahun depan.
Pasukan F1 1Malaysia itu juga bakal memiliki ibu pejabat sendiri yang terletak di Litar Antarabangsa Sepang di mana pembinaannya bakal bermula pertengahan tahun depan.
Menariknya, ibu pejabat pasukan F1 1Malaysia akan turut mempunyai terowong anginnya sendiri, satu-satunya yang ada di luar Eropah setakat ini.
Pasukan tersebut merupakan hasil usaha sama antara sektor awam dan swasta di mana ia menggabungkan kepakaran Proton dan Lotus yang beribu pejabat di Norfolk.
Selain itu, ia juga mendapat sokongan daripada SIC, Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Kumpulan Naza serta AirAsia Bhd.
Pasukan tersebut akan berwajah Malaysia kerana kereta yang bakal digunakan akan direka, dibuat dan diuji di SIC.
Pengarah Teknikal Pasukan, Mike Gascoyne yang dipetik daripada laman web autosport.com berkata: "Ia merupakan cabaran paling besar untuk menempatkan jentera di grid tapi saya percaya pada pertengahan musim, kami bakal menjadi antara pasukan baru terbaik dan penghujung musim pula akan menyaksikan kita akan menempatkan diri pada saingan 10 pasukan terbaik."
"Dengan pasukan yang diwujudkan oleh (Datuk Seri) Tony Fernandes termasuk sokongan daripada kerajaan Malaysia, saya lihat kami mempunyai peluang yang amat cerah.
"Dalam tempoh yang panjang, saya yakin kami mampu meningkatkan prestasi pasukan di tahap tertinggi," katanya lagi.
Katanya lagi, sebagai memenuhi permohonan untuk bersaing tahun depan, F1 1Malaysia telah bersetuju untuk menggunakan enjin yang dibekalkan oleh Cosworth.
Kelmarin, Najib berkata, dua pemandu pasukan F1 1Malaysia bakal diumumkan 31 Oktober ini.
"Setakat ini, enam pelumba tempatan dan antarabangsa telah disenarai pendek," kata beliau lagi.
Pasukan asal Lotus telah memenangi tujuh kejuaraan kategori pengeluar F1 dan enam kejuaraan kategori pelumba antara tahun 1963 dan 1978 di bawah pimpinan mendiang Colin Chapman, salah seorang jurutera paling inovatif sukan berkenaan.
Chapman meninggal dunia disebabkan sakit jantung pada tahun 1982 dan pasukan itu hanya melakukan tugas pengurusan pada tahun 1994 selepas memberi kejuaraan kepada pemandu Brazil, mendiang Ayrton Senna pada tahun 1985 untuk pasukan itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails