Monday, September 7, 2009

Nantikan balasan kami di Emirates


FABREGAS (kiri) mahu
membalas dendam ke atas United ekoran kekalahan yang dialami pasukannya
di Old Trafford bulan lalu.

Pemain tengah Arsenal, Cesc Fabregas yakin pasukannya akan membalas dendam ke atas Manchester United ekoran kekalahan kontroversi 1-2 pada aksi Liga Perdana England dua minggu lalu.

Pada perlawanan itu, The Gunners mendakwa mereka kalah kerana ada beberapa keputusan pengadil yang dilihat merugikan pasukannya.

Salah satu daripadanya ialah keputusan pengadil perlawanan, Mike Dean yang menghalau Arsene Wenger daripada berada di tempat duduk pemain simpanan.

"Mike (Dean) telah mengakui kesalahannya tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana perkara itu sudah berlaku. Kami hanya mahu menanti perlawanan seterusnya," ujar Fabregas yang tidak beraksi pada perlawanan tersebut ekoran kecederaan.

"Memang menyakitkan apabila kalah dengan cara seperti itu, namun saya akui pasukan ini telah melepaskan banyak peluang.

"Begitupun, kami telah membuktikan bahawa kami bukanlah pasukan yang boleh diperbodohkan oleh sesiapapun. Saya yakin, apabila mereka (United) berkunjung ke sini, semuanya akan berubah."

Wenger sebelum ini membidas corak permainan keras yang dipraktikkan United sehinggakan ada pemain skuad The Red Devils itu yang sengaja ditugaskan untuk membentes pemain lawan.

"Memang banyak kelab yang mahu menghalang kami daripada mempamerkan permainan sebenar kelab ini tetapi kami tidak akan terpedaya dengan cara mereka," tambah Fabregas.

Untuk rekod, pertemuan kedua antara Arsenal dan United akan berlangsung di Stadium Emirates pada 30 Januari 2010.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails