Wednesday, September 16, 2009

1Malaysia F1 Team kebanggaan Malaysia

PEMINAT Formula Satu (F1) tempatan bakal menyaksikan penampilan pasukan dari Malaysia pada perlumbaan kereta paling berprestij di dunia itu tahun depan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang memaklumkan bahawa pasukan berkenaan diberi nama 1Malaysia F1 Team.
Najib berkata, projek itu melibatkan gabungan kepakaran Proton dan Lotus dengan disokong oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM), Naza Motor dan AirAsia.
Najib yang juga Menteri Kewangan 1 berkata, tokoh korporat terkemuka seperti Datuk Seri Tony Fernandes, Datuk Kamarudin Meranun dan S.M Nasarudin S.M Nasimuddin turut terlibat dalam inisiatif tersebut.
Mike Gascoyne yang pernah berkhidmat bersama pasukan Force India, Toyota, Renault dan Jordan pula akan bertanggungjawab selaku Pengarah Teknikal.
"Ini pasukan Malaysia. Kereta direka bentuk di SIC, dikeluarkan di SIC, diuji di SIC dan kereta buatan Malaysia. Kumpulan pit stop pun rakyat Malaysia," katanya di Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam.
Beliau berkata, 1Malaysia F1 Team akan mengenal pasti pemandu Malaysia yang sesuai untuk menggalas cabaran pada perlumbaan F1 nanti.
Tambahnya, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telah menerima permohonan Malaysia untuk menyertai perlumbaan F1 tahun depan.

NAJIB menerima replika kereta 1Malaysia F1 Team yang disampaikan oleh Pengerusi Proton, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh sambil diperhatikan Kamarudin (kanan) pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.


Ditanya berhubung jumlah bajet tersebut dan pelaburan kerajaan, Najib berkata: "Pelaburan kerajaan Malaysia adalah melalui Proton."
Beliau menyifatkan projek tersebut tidak membazir kerana ia akan memberi elemen pemasaran yang besar kepada negara apabila menyertai kejohanan F1 itu.
"Kalau kita nak eksport Proton, kita kena tentukan jenamanya mantap, ada elemen pemasaran yang mantap.
"Ia bukan kegiatan sukan semata- mata kerana ada unsur pemasaran untuk Proton dan Malaysia serta jenama AirAsia dan Naza juga dapat dipopularkan," katanya.
Pada masa ini, enam pemandu tempatan dan antarabangsa telah disenaraikan untuk dinilai dan pasu- kan itu dijangka mengumumkan dua pemandunya penghujung bulan depan.
1Malaysia F1 Team mendapat namanya daripada konsep 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan yang diilhamkan oleh Najib pada Jun tahun ini.
Untuk rekod, Malaysia telah menyertai F1 sejak 1999 dan akan menjadi hos GP Malaysia ke-11 tahun depan.
Petronas, pengeluar minyak terbesar juga telah banyak mencatat kejayaan dalam arena ini melalui penajaan pasukan BMW Sauber sejak empat tahun kebelakangan ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails