Wednesday, September 23, 2009

United pertaruh tenaga muda


OWEN bakal mengetuai jentera serangan United pada pertemuan Piala Liga menentang Wolves awal pagi esok.







Juara bertahan, Manchester United memulakan kempen Piala Liga 2009/10 dengan menentang Wolves pada pusingan ketiga awal pagi esok. Secara tradisinya, pengurus United, Alex Ferguson akan memberi peluang kepada pemain-pemain mudanya beraksi pada kempen tersebut.
Ferguson dijangka bakal meletakkan Darron Gibson dan Michael Carrick yang jarang diturunkan dalam kesebelasan musim ini mengetuai jentera tengah.
Gary Neville yang baru pulih daripada kecederaan pangkal paha pula bakal membentuk benteng pertahanan bersama Richie De Laet, Jonny Evans dan Fabio.
Bagi jentera serangan, Michael Owen yang menjaringkan gol kemenangan United ketika menewaskan Manchester City 4-3 Ahad lalu bakal digandingkan sama ada dengan Danny Welbeck atau Federico Macheda.
Seorang lagi pemain muda United, Zoran Tosic juga bakal diberi peluang menunjukkan kemampuannya.
Ferguson berkata, prestasi menggalakkan di kalangan pemain-pemain mudanya ketika ini menyebabkan dia tidak perlu membeli ramai pemain baru pada musim perpindahan kali ini.
"Kami memiliki barisan yang telah menang Piala Liga musim lalu dan saya yakin mereka mampu beraksi lebih baik dan bertambah matang.
"Pemain-pemain muda seperti Nani, Anderson, Fabio dan Rafael da Silva serta Jonny Evans telah menunjukkan peningkatan.
"Saya berpuas hati dengan skuad yang saya ada ini dan dengan dua pemain baru saja dibawa masuk, tiada alasan untuk saya ubah sesuatu. Apa yang diperlukan hanyalah prestasi konsisten," kata Ferguson.

Sila klik di sini untuk melayari laman web Piala Carling/Liga

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails