Monday, September 14, 2009

Eto’o Mula Tunjuk Belang

Samuel Eto’o menjaringkan gol yang mengkagumkan untuk membantu kemenangan 2-0 Inter Milan ke atas Parma dalam perlawanan yang berlangsung di Giuseppe Meazza semalam.
Eto’o meleraikan kedegilan pertahanan Parma apabila dia melencongkan bola dengan rembatan kaki kanan pada minit ke-71 sebelum Diego Milito mengesahkan kemenangan Inter dengan gol kedua pada minit akhir perlawanan untuk memberikan juara Itali itu tujuh mata dari tiga perlawanan yang telah dilaluinya.
Inter Milan berada dua mata di hadapan Sampdoria, yang mengekalkan permulaan musim yang baik dengan kemenangan 1-0 ke atas Atalanta di sebalik kehilangan seorang pemain, Fernando Tissone yang dilayangkan kad merah dan Juventus, yang menang 2-0 ke atas Lazio pada hari Sabtu lalu.
AS Roma pula terpaksa bangkit dari ketinggalan satu gol sebelum memahat kemenangan 2-1 ke atas Siena, yang merupakan kemenangan pertama Roma di bawah bimbingan Claudio Ranieri.
Sepakan percuma John Arne Riise pada minit ke-89 memberikan Roma mata pertama mereka musim ini selepas pemain pertahanan, Philippe Mexes memadam kelebihan awal milik Siena hasil jaringan Massimo Maccarone pada babak pertama.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails