Tuesday, September 1, 2009

Owen tercicir lagi

Michael Owen

Wes Brown dan Ben Foster dari Manchester United dan pasangan Tottenham Hotspur, Peter Crouch serta Aaron Lennon dipanggil menyertai skuad England, semalam untuk menentang Slovenia dan Croatia dalam perlawanan antarabangsa, bulan ini.

Jurulatih Fabio Capello turut memanggil balik Brown dan rakan sepasukan United, Rio Ferdinand yang cedera di pertahanan manakala Foster yang pulih daripada kecederaan, menggantikan pemain Birmingham City, Joe Hart selepas terlepas perlawanan persahabatan menentang Belanda pada 12 Ogos lalu.

Namun, Capello sekali lagi terlepas pandang penyerang baru United, Michael Owen.

Owen, 29, berada dalam skuad awal Capello tetapi sekali lagi gagal memasuki senarai 24 pemain terakhir biarpun menjaringkan gol pertama buat United, minggu lalu.

Hanya David Beckham kekal menjadi sebahagian pelan Capello.

Pemain tengah Los Angeles Galaxy berusia 34 tahun itu mampu melebarkan rekod penampilan pemain England kepada 115 dengan muncul dalam kedua-dua perlawanan itu yang bakal menjadikannya kurang 10 daripada menyamai rekod penjaga gol bersara, Peter Shilton dengan 125 cap.

Sementara Crouch dan Lennon yang kedua-duanya menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Birmingham, Sabtu lalu, kembali ke pasukan selepas persembahan memikat awal musim buat Tottenham yang bersama mendahului liga selepas memenangi empat perlawanan pembukaan mereka.

Theo Walcott dari Arsenal diketepikan ketika sedang pulih daripada satu kecederaan belakang yang mengetepikannya setakat ini dalam musim ini.

Pasukan 24 pemain itu akan berhimpun minggu depan sebelum persahabatan menentang Slovenia pada 5 September ini dan saingan Kumpulan Enam kelayakan Piala Dunia menentang Croatia di Wembley pada 9 September.

England telah memenangi ketujuh-tujuh perlawanan kelayakan Piala Dunia mereka setakat ini dan akan memastikan tempat mereka pada pusingan akhir di Afrika Selatan, tahun depan jika mereka mengalahkan Croatia.

Pelawat akan turun tanpa perancang permainan utama Luka Modric selepas dia patah sebatang tulang fibula ketika mewakili Spurs menentang Birmingham, Sabtu lalu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails