Tuesday, September 22, 2009

'Jangan hanya kritik'


RAJAGOBAL (kanan) giat memperkemas skuadnya bagi menghadapi Sukan SEA di Laos, hujung tahun ini.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta pengkritik sukan dalam negara agar memberikan ruang dan semangat kepada jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menjelang Sukan SEA di Laos hujung tahun ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ia adalah perlu walaupun pengkritik-pengkritik mempunyai hak dan pandangan tersendiri mengenai kedudukan bola sepak kebangsaan di peringkat antarabangsa.
"Sekali-sekala pujian juga perlu diberikan kepada skuad kebangsaan kerana Rajagobal baru mengambil alih tugas selaku jurulatih kebangsaan pada April lepas manakala pemain-pemain pula terdiri daripada mereka yang muda," katanya baru-baru ini.
Azzuddin berkata, para pengkritik perlu melupakan prestasi masa lampau kerana kini sudah terdapat tanda-tanda kebangkitan yang dipamerkan oleh skuad bawah 23 tahun kebangsaan.
"Ada kritik yang mengatakan bahawa keputusan ketika pasukan negara menentang Kenya (0-0), China (0-0), Manchester United (kalah 2-3 dan 0-2), Arab Saudi (kalah 1-2) dan Jordan (0-0) adalah kerana lawan tidak menurunkan skuad utama.
"Namun pada pandangan saya, yang penting jurang perbezaan gol dalam setiap perlawanan semakin kecil, terutama jika dilihat pada kekalahan tipis kepada Arab Saudi yang menampilkan kesebelasan utama yang berada dalam persiapan terakhir bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2010," katanya.
Bagaimanapun, Azzuddin berkata, beliau tidak boleh memberikan jaminan bahawa skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu akan pulang dengan pingat emas dari Laos, namun jika gagal, percubaan akan terus diusahakan dengan gigihnya pada edisi seterusnya.
"Jika gagal, kena tengok kembali apa yang tidak kena, namun FAM berharap skuad yang ada kini berada di landasan yang betul pada kali ini," katanya.
Walaupun ramai pihak meletakkan harapan tinggi untuk skuad bawah 23 tahun kebangsaan ini untuk memenangi pingat emas, FAM sebaliknya tidak tergesa-gesa meletakkan sebarang sasaran pingat.
Malah timbalan presidennya, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad dilaporkan berkata, sasaran hanya akan diletakkan setelah undian untuk menentukan kumpulan dilakukan pada November ini.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan SEA adalah 20 tahun lepas iaitu bagi edisi 1989 ketika temasya itu berlangsung di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails