Thursday, September 3, 2009

Maradona berhempas pulas cari tonik kemenangan

Jurulatih Argentina, Diego Maradona mungkin akan memberi segalanya bagi membolehkan pasukan bimbingannya itu beraksi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Brazil, Sabtu ini, katanya kelmarin.

Pasukan kebangsaan Argentina mula dilanda dengan isu kebimbangan kecederaan sebelum perlawanan kelayakan tersebut berlangsung di Rosario.

Kebimbangan isu kecederaan tersebut telah menyebabkan Maradona membawa masuk beberapa muka baru ke dalam skuad bimbingannya.

Dia telah memilih pemain tengah berusia 30 tahun, Rodrigo Brana serta dua pemain lain iaitu penyerang 35 tahun, Martin Palermo dan pemain pertahanan berusia 36 tahun, Rolando Schiavi.

Schiavi dan Brana masing-masing adalah pemain yang tidak pernah mewakili negara, manakala Palermo pula sudah tidak dipanggil untuk memperkukuhkan skuad kebangsaan hampir sembilan tahun.

"Semalam (kelmarin) ketika saya bertemu dengan para pemain, saya berkata bahawa saya akan memberi segalanya untuk membuatkan mereka lebih muda 20 tahun dan saya juga berupaya untuk beraksi.

"Namun begitu, selepas semua masalah ini dapat diselesaikan, kami harus bergerak ke hadapan. Sesiapa yang tidak dapat beraksi harus menanti perlawanan seterusnya dan kepada pemain yang cergas, mereka harus tegas berada di atas padang.

"Kebenarannya ialah ia sesuatu yang sangat dahsyat. Setiap kali panggilan telefon berbunyi daripada doktor pasukan, Donato Villani, saya akan berdoa.

"Perkara seumpama itu adalah sesuatu yang menyakitkan apabila mengetahui seorang pemain itu tercedera dan seorang lagi pula mengalami kekejangan otot," kata Maradona Radio Del Plata.

Menjelang pertemuan menentang Brazil Sabtu ini di Rosario, beberapa pemain harapan Maradona dikhuatiri mengalami kecederaan.

Pemain tersebut ialah penyerang Diego Milito dan Lisandro Lopez, Nicolas Burdisso (pertahanan) serta tiga orang pemain tengah, Juan Veron, Jonas Gutierrez dan Sebastian Battaglia.

Kecederaan yang dialami oleh Gutierrez telah merencatkan perancangan Maradona untuk menghalang kemaraan pemain pertahanan kanan Brazil, Maicon yang dilihat bertenaga melancarkan serangan balas.

"Kami telah kehilangan pemain harapan terbaik yang dimiliki untuk menghalang kemaraan Maicon. Dia ialah Jonas (Gutierrez).

"Selain dapat memberi halangan dengan baik, dia juga boleh melakukan serangan dari belakang dan kehilangan khidmatnya satu yang membimbangkan.

"Kami masih tidak tahu apakah alternatif yang akan dilakukan pada pertemuan nanti," kata Maradona.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails