Wednesday, July 1, 2009

Jerman juara Kejohanan Eropah bawah 21 tahun selepas belasah England

Pemain Jerman menjulang trofi Kejohanan Eropah bawah 21 tahun



pemain Jerman, Sandro Wagner (kiri) menggempur gawang England sambil dihalang penjaga gol lawan pada perlawanan akhir Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun di Malmo, kelmarin.

Dua jaringan Sandro Wagner melengkapkan kemenangan bergaya Jerman 4-0 ke atas England pada perlawanan akhir Kejohanan Eropah bawah 21 tahun, kelmarin.

Kejayaan itu merupakan yang pertama buat negara itu pada kejohanan tersebut.

Dua lagi gol Jerman disumbangkan oleh Gonzalo Castro dan Mesut Ozil yang mempamerkan persembahan sangat mengagumkan.

Kejayaan tersebut menambahkan lagi koleksi kejuaraan yang dicapai oleh bawah 17 dan bawah 19 tahun negara itu, baru-baru ini.

Pertemuan akhir tersebut juga merupakan penampilan pertama England di peringkat akhir sejak 1984.

Kekalahan itu juga menamatkan kejayaan cemerlang skuad England selepas tidak pernah mengalami kekalahan dalam 21 perlawanan.

Sebaliknya, kemenangan Jerman di kejohanan bawah 21 tahun itu membolehkan jurulatih skuad kebangsaannya, Horst Hrubesch menikmati kejayaan besar sama seperti dia memenangi perlawanan akhir di Kejohanan Eropah 1980 ketika bersama skuad senior Jerman Barat.

Sementara itu, jurulatih England, Stuart Pearce mendedahkan bahawa dia mahu terus menjawat tugasnya itu sehingga 2011.

Malah, dia turut menegaskan untuk berusaha dan memperbaiki persembahan skuad kebangsaan bimbingannya itu pada masa depan.

"Sebelum bermulanya perlawanan separuh akhir, saya telah menandatangani perjanjian kontrak selama dua tahun," kata Pearce.

Kekalahan pasukan bimbingannya itu menambahkan lagi peristiwa kekecewaan Pearce kepada Jerman.

Sebagai pemain, Pearce pernah mengalami kekalahan kepada Jerman di separuh akhir Piala Dunia 1990 apabila dia gagal menyempurnakan sepakan penalti pada penentuan perlawanan.

Dia kemudiannya sekali lagi mengalami kisah sedih apabila England kalah di separuh akhir Euro 1996.

"Saya seronok dengan kerja saya ketika ini. Malah, saya juga mempunyai hubungan baik dengan majikan dan pemain-pemain di bawah kendalian saya.

"Oleh demikian, kenapa perlu saya beredar daripada melakukan kerja ini," kata Pearce yang turut bekerja sama dengan jurulatih skuad senior England, Fabio Capello.

Bagaimanapun, Capello tidak hadir pada perlawanan akhir tersebut kerana berada Afrika Selatan menyaksikan Piala Konfederasi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails