Friday, July 17, 2009

Ada kejutan buat penyokong



Apa yang boleh saya katakan di sini siapa yang bakal diturunkan nanti adalah pemain yang bebas dari kecederaan dan mampu untuk mengikut segala arahan yang diberikan K. RAJAGOBALJurulatih skuad bola sepak kebangsaan

Tidak semestinya pemain kesebelasan utama yang diturunkan menentang Zimbabwe Ahad dan Selasa lalu akan diturunkan terlebih dahulu dalam perlawanan dengan pasukan Liga Perdana England, Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, itulah yang dikatakan oleh jurulatih K. Rajagobal (gambar).

Enggan mengumumkan siapa yang akan beraksi terlebih dahulu dan siapa yang tidak akan diturunkan, bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu menjanjikan ada kejutan dengan pemain yang akan disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Menurutnya, dia masih menilai dalam latihan semalam dan hari ini pemain mana yang lebih sesuai diturunkan dalam kesebelasan utama dan siapa yang akan dimasukkan kemudiannya untuk mengekang serta memberi tentangan hebat kepada skuad bimbingan Alex Ferguson itu.

"Apa yang boleh saya katakan di sini siapa yang bakal diturunkan nanti adalah pemain yang bebas dari kecederaan dan mampu untuk mengikut segala arahan yang diberikan," katanya selepas sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Jelasnya, walau siapa pun yang akan diturunkannya dia tetap mahu pemain berfikiran positif dan menikmati perlawanan tersebut sebaiknya, tambahan lagi pemain yang bakal ditentang mereka bukan calang-calang.

"Saya tetap realistik menjelang perlawanan Sabtu ini (esok) dan berharap pemain dapat menunjukkan prestasi yang mantap.

"Sekarang ini semua pemain bebas dari kecederaan kecuali pemain pertahanan kanan, V. Thirumurugan yang mengalami kecederaan buku lali selepas pertemuan dengan Zimbabwe Selasa lalu," katanya.

Bagaimanapun, Rajagobal tidak bimbang kerana dia masih mempunyai pemain yang mantap untuk mengisi kekosongan posisi tersebut, antaranya ialah Mohd Sabre Mat Abu (Kedah) dan Mazlizam Mohamad (Perlis).

"Saya tidak terlalu risau jika ada pemain yang cedera dan kurang cergas kerana kami mempunyai satu pasukan yang mantap terdiri dari pemain yang berkualiti dan bersedia untuk diturunkan bila-bila masa," katanya.

Dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Zimbabwe sebelum ini, Rajagobal menurunkan penjaga gol utama Perlis, Farizal Marlias dalam kesebelasan utama, manakala di bahagian pertahanan pula dia lebih senang menggandingkan Norhafiz Zamani Misbah (ketua pasukan) dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (Negeri Sembilan) di bahagian pertahanan tengah.

Sementara bagi posisi pertahanan kanan, dia menurunkan Mazlizam dalam perlawanan pertama dan Thirumurugan pada perlawanan kedua, sementara di bahagian kiri pula hampir pasti menjadi milik Asraruddin Putra Omar (Selangor) yang beraksi awal dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

Amar Rohidan (Perlis) dan Safiq Rahim (KL Plus) pula beraksi di bahagian tengah pada kedua-dua perlawanan tersebut sebelum ditukarkan pada separuh masa kedua manakala di bahagian sayap kiri, Indra Putra Mahayuddin (Kelantan) menjadi pilihan Rajagobal, manakala S.Kunalan (Negeri Sembilan) beraksi pada perlawanan pertama dan Khyril Muhymeen Zambri (Kedah) pada perlawanan pertama.

Bagi posisi penyerang Rajagobal menggandingkan Amri Yahyah (Selangor) dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (Negeri Sembilan) pada perlawanan pertama, sebelum mencuba Amri dan Norshahrul Idlan Talaha (UPB-MyTeam) pada perlawanan kedua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails