Friday, July 17, 2009

United hangatkan Kuala Lumpur


KELIBAT barisan pemain United bakal memukau perhatian peminat tempatan apabila tiba di Kuala Lumpur hari ini.


LUPAKAN seketika acara lain dan tumpu kepada Manchester United.

Kelab bola sepak paling popular di dunia itu secara rasminya akan tiba di Malaysia hari ini, iaitu kunjungan keempat United sejak tahun 1981.

Buat kali kedua, skuad bergelar The Red Devils itu menjejak kaki ke tanah air pada 1995, tahun yang menyaksikan mereka menentang skuad Pilihan Selangor.

Pada 2001, United tiba untuk kunjungan ketiga, namun kali ini mereka menentang skuad Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pada perlawanan yang disaksikan hampir 70,000 penonton itu, skuad Pilihan Malaysia tewas 0-6.

Namun, bermula hari ini, episod baru dalam kalendar bola sepak Malaysia sekali lagi bakal berlaku.

Ia bermula dari Lapangan Terbang Antara- bangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi ini, iaitu lokasi yang menjadi pintu masuk pemain bertaraf bintang United seperti Wayne Rooney, Rio Ferdinand, Edwin van Der Sar dan Ryan Giggs ke Malaysia.

Selepas itu, pengurus United, Alex Ferguson dan anak-anak buahnya bakal dibawa ke hotel rasmi bagi Siri Jelajah United ke Asia iaitu di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.

Namun, detik awal kepada keterujaan peminat fanatik United di Malaysia pastinya pada petang ini apabila mereka berpeluang menyaksikan anak buah Ferguson menjalani latihan.

Sesuatu yang luar biasa, sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang ini bakal disaksikan hampir 50,000 peminat fanatik.

"Kami berharap agar peminat United ter- utama di Malaysia dapat menggunakan peluang ini untuk menyaksikan sendiri pemain United menjalani latihan," jelas Pengarah Urusan ProEvents International Sdn. Bhd., San Boon Wah.

Bagi rakyat Malaysia sendiri, kemuncak kepada kehadiran juara Liga Perdana England itu adalah pada petang esok apabila 11 pemain pilihan Ferguson turun menentang 11 pemain terbaik pilihan K. Rajagobal di Stadium Nasional.

Malah, ProEvents mengakui kunjungan United tahun ini bakal mencipta sejarah.

"Memang mengejutkan apabila tiket-tiket bernilai tinggi habis dijual dalam tempoh singkat," kata Boon Wah.

ProEvents merupakan penganjur eksklusif bagi Siri Jelajah United ke Asia tahun ini.

United akan beraksi menentang Indonesia Ahad ini diikuti dua lagi perlawanan di Seoul, Korea (24 Julai) dan Hangzhou, China (26 Julai)

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails