Wednesday, July 29, 2009

Kontrak lima tahun Ibrahimovic di Barca



Zlatan Ibrahimovic

Zlatan Ibrahimovic menandatangani kontrak lima tahun dengan Barcelona selepas lulus ujian kesihatan kelmarin.

Penyerang Sweden itu melengkapkan perpindahan termahal 46 juta euro (RM230.6 juta) dari Inter Milan.

Dia diperkenalkan kepada lebih 40,000 peminat di Stadium Camp Nou dengan jersi No. 6 Barcelona.

Kontrak Ibrahimovic, 27, di Barcelona sehingga 2014. Dia mempunyai klausa pembelian bernilai 250 juta euro (RM1.25 bilion).

Penyerang Barcelona dari Cameroon, Samuel Eto'o akan menyertai Inter sebagai sebahagian daripada perjanjian manakala pemain tengah Belarus, Aleksandr Hleb akan dipinjamkan ke kelab Itali itu semusim.

''Saya tidak datang ke sini untuk menggantikan Eto'o kerana saya pemain yang berbeza. Saya akan berusaha sehingga maksimum untuk membuktikan anda tidak tersilap mendapatkan khidmat saya,'' kata Ibrahimovic.

Dalam pada itu, jurucakap Kelab Barcelona berkata, Ibrahimovic patah jari tangan kiri dan akan menjalani pembedahan.

Kecederaan itu dialami pada perlawanan persahabatan terakhir Inter menentang Chelsea di Los Angeles minggu lalu.

"Kecederaan ini memaksa pembedahan dijalankan, ia akan dilakukan tengah hari esok,'' kata setiausaha teknikal kelab, Txiki Beguiristain.

Ibrahimovic menjadi pemain baru ketiga Barcelona yang menyertai kelab itu pada musim panas ini sebagai sebahagian daripada usaha jurulatih Pep Guardiola untuk menguatkan pasukan itu yang memenangi kejuaraan treble iaitu liga Sepanyol, Liga Juara-Juara dan Copa del Rey musim lalu.

Dua lagi pemain baru skuad itu dari Brazil - Maxwell juga dari Inter manakala Keirrison dari Palmeiras.

Ibrahimovic berpindah dari Ajax ke Juventus pada 2004 sebelum tiga musim berikutnya di Inter sebagai penjaring terbanyak Serie A dengan 25 serta membantu Nerazzurri memenangi kejuaraan liga keempat berturut-turut musim lalu.

Ibrahimovic tidak pernah menyembunyi keinginan untuk meninggalkan bola sepak Itali.

"Bila saya mula terfikir untuk berhijrah? Pada Disember iaitu sebelum Krismas.

''Lebih kerap saya melihat permainan Barcelona, perasaan saya semakin kuat untuk meninggalkan kelab ini. Saya bosan terhadap bola sepak Itali, Milan, bola sepaknya, permainan yang teruk, di sini terlalu banyak tekanan,'' katanya.

Sementara itu, bekas pengarah Juventus, Luciano Moggi yang mendapatkan Ibrahimovic dari Ajax, berkata, Inter memiliki segala-galanya tetapi telah menyerahkan Scudetto kepada Juve.

"Inter seperti membunuh diri dengan menjual Ibrahimovic. Mereka menjual pemimpin mereka. Eto'o pemain yang hebat, namun dia hanya cemerlang apabila pasukan beraksi baik.

''Ibrahimovic mampu memberikan kelainan sekalipun pasukan beraksi teruk,'' katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails