Thursday, July 2, 2009

Jangan samakan kita dengan MU


''Jangan terlalu mengharap. Kita perlu sedar di mana tahap kita berbanding Manchester United.''

Itu permintaan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal kepada peminat yang meletakan harapan tinggi terhadap skuad kebangsaan yang akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Manchester United 18 Julai ini.

Bukan menyerah kalah sebelum perjuang, cuma permintaan Rajagobal itu berdasarkan tahap bola sepak kita dan United, gergasi bola sepak Eropah dan dunia.

''Saya rasa semua peminat kita sudah matang, mereka arif mengenai perkembangan bola sepak dalam dan antarabangsa.

''Ini bermakna mereka tahu di tahap mana bola sepak kita, sejauh mana kemampuan pemain-pemain kita jika hendak dibandingkan dengan United.

''Jadi usah meletakkan harapan terlalu tinggi pada perlawanan itu nanti.

''Cuma apa yang dapat saya katakan, saya dan pemain akan cuba memberikan yang terbaik apabila berdepan bintang handalan United nanti,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Rajagobal yang menggantikan B. Sathianathan menambah, setiap individu dalam pasukan kebangsaan termasuk beliau sendiri akan melaksanakan tanggungjawab memberikan yang terbaik pada perlawanan 18 Julai ini.

''Apabila beraksi nanti, pemain perlu sedar dengan siapa mereka beraksi, jadi berikan aksi seperti mana yang dimahukan.

''Setiap orang ada tanggungjawab, saya sebagai jurulatih bertanggungjawab merangka strategi permainan, pemain pula bertanggungjawab melaksanakannya dengan baik.

''Kepada pemain yang akan dipanggil kelak, berusaha memberikan yang terbaik, sama ada sewaktu latihan atau apatah lagi ketika perlawanan.

''Bagi saya perlawanan dengan United satu peluang baik untuk pemain belajar mengenai bola sepak,'' katanya.

Dalam pada itu, mengenai latihan singkat hanya 10 hari skuad kebangsaan mulai Rabu depan, Rajagobal berkata, dia tidak mempunyai pilihan.

''Cukup atau tidak tempoh latihan 10 hari ini, itulah tempoh yang saya ada. Apa yang boleh saya buat?

''Saya tidak dapat mengumpul pemain kerana saingan liga masih berjalan.

''Kita tiada pilihan. Dalam tempoh singkat itulah kita terpaksa merancang segala-galanya.

''Dalam hal ini pemain yang akan dipanggil kelak perlukan bersikap profesional sepenuhnya.

''Sikap sedemikian akan membantu pembentukan skuad yang mantap,'' katanya.

Dalam pada itu, Rajagobal masih berteka teki mengenai senarai pemain yang akan dipanggil untuk latihan pusat menjelang perlawanan persahabatan dengan United.

''Mengenai siapa yang akan saya panggil kelak, itu tak dapat saya maklumkan.

''Semuanya bergantung pada penilaian saya selepas perlawanan liga Sabtu ini,'' katanya.

Sementara itu, pemerhati bola sepak tempat berpendapat Rajagobal bakal membentuk skuad adunan pemain muda dan senior dengan pemain Bawah 23 dijangka menjadi teras pasukan kebangsaan.

Rajagobal mungkin membariskan sebahagian besar skuad Bawah 23 yang mengalahkan skuad Bawah 23 Indonesia pada perlawanan persahabatan baru-baru ini seperti Mohd. Bunyamin Umar, S. Kunalan, Mohd. Khyril Muhymeen dan penyerang Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak serta pertahanan kental Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak, Mohd. Asraruddin Putra Omar dan Ahmad Shakir Ali.

Jika pemilihan pemain berdasarkan prestasi semasa, ini membuka peluang kepada penjaring terbanyak Liga Super ketika ini Nizaruddin Yusof dipanggil lagi ke skuad kebangsaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails