Tuesday, June 30, 2009

Brazil juara Piala Konfederasi



PEMAIN-PEMAIN Brazil meraikan kejayaan menjuarai Piala Konfederasi selepas menewaskan Amerika Syarikat 3-2 pada perlawanan akhir di Ellis Park, Johannesburg, semalam. -


JOHANNESBURG - Juara bertahan, Brazil bangkit daripada ketinggalan 0-2 dengan menjaringkan tiga gol pada babak kedua untuk menewaskan Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan akhir semalam, sekali gus menjuarai Piala Konfederasi sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, AS yang mengejutkan Sepanyol pada separuh akhir, hampir melakukan kejutan selepas jaringan Clint Dempsey dan ketua pasukan, Landon Donovon meletakkan mereka mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Penjaga gol AS, Tim Howard menyelamatkan turut cemerlang apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya sebelum penyerang, Luis Fabiano menambah jaringan kelimanya dalam kejohanan apabila memecah kebuntuan sebaik sahaja perlawanan separuh masa kedua bermula dan menanduk masuk gol penyamaan minit ke-74.

Ketua pasukan Brazil, Lucio melengkapkan kebangkitan hebat pasukan Brazil apabila dia melompat tinggi untuk menanduk masuk sepakan sudut Elano enam minit sebelum perlawanan tamat.

Perlawanan tersebut adalah kemuncak kepada kejohanan yang penuh kejutan, aksi terbaik dan keghairahan penonton, sekali gus meramalkan kejohanan Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan akan berlangsung dengan lancar.

Jurulatih Brazil, Dunga pada sidang akhbar memberitahu, dia sangat gembira dengan persembahan pasukannya.

"Walaupun ketinggalan 2-0 pasukannya masih lagi terus berjuang. Kami memberitahu mereka pada masa rehat untuk bermain menggunakan serangan di bahagian sayap dan sentiasa sabar.

"Kami melakukannya, kami sudah berada bersama sejak 29 hari dan kami telah meletakkan sasaran untuk muncul juara.

"Ia memang sukar untuk bangkit dari ketinggalan 2-0, ia bukan mudah tetapi jika anda mempunyai pemain yang komited yang tidak pernah menyerah kalah anda akan mempunyai peluang dan kami berjaya melakukannya pada separuh masa kedua. Kami menunjukkan tahap tertinggi profesionalisma," katanya.

Brazil menang ke atas AS 3-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan tetapi berdepan dengan saingan sukar dalam perlawanan akhir.

"Perasaan bercampur-baur dengan kekecewaan dan kebanggaan. Tidak ada apa yang bermain difikiran ia adalah kekalahan yang sukar dihadapi selepas mendahului 2-0. Saat yang paling dirasai ialah melepaskan gol terlalu awal pada separuh masa kedua seterusnya membangkit semangat pasukan Brazil," kata jurulatih AS, Bob Bradley

AS mengejutkan Brazil dengan mendahului melalui jaringan yang tidak dijangka oleh Dempsey hasil hantaran lintang Jonathan Spector dan bola sepakannya gagal diselamatkan Julio Cesar.

Lebih menghairankan AS berjaya menggandakan jaringan selepas 27 minit.

Donovan berjaya membawa bola keluar dari kawasannya sebelum membuat hantaran kepada Ricardo Clark, yang membawa bola di sebelah kiri dan menghantar semula kepada Donovan.

Sentuhan pertamanya mengelirukan Ramires, memberi penyerang itu ruang untuk merembat menggunakan kaki kiri dan melepasi Julio Cesar bagi jaringan antarabangsa ke-40 dalam 114 perlawanan.

Brazil pernah mengalahkan AS 14 kali dalam 15 pertemuan tetapi penjaga gol, Howard tenang membantu pasukannya dengan menyelamatkan beberapa percubaan.

Brazil ternyata menguasai perlawanan tetapi hanya memberi ancaman selepas seminit memulakan saingan pada separuh masa kedua apabila Luis Fabiano memusingkan badan dan merembat masuk melalui celah kaki pertahanan AS dengan hanya satu gerakan.

Brazil hampir menyamakan kedudukan, bagaimanapun Howard merebahkan badan menyelamatkan tandukan Lucio dan agak bernasib baik apabila tandukan Kaka yang sudah melepasi garisan berjaya dikeluarkan penjaga gol tersebut.

Kaka meluru melepasi Spector di sebelah kiri sebelum membuat hantaran kepada Robinho. Bagaimanapun percubaannya terkena palang sebelum bola lantunan tersebut disudahkan melalui tandukan Fabiano.

Kaka Pemain Terbaik Piala Konfederasi


terbaik... Pemain Brazil, Luis Fabiano (kiri) menjulang trofi 'Kasut Emas' sebagai penjaring terbanyak manakala Kaka menerima anugerah Pemain Terbaik selepas perlawanan akhir Piala Konfederasi di Stadium Ellis Park, Johannesburg, semalam. - AP


Warga baru Real Madrid, Kaka dianugerahkan Bola Emas selepas terpilih sebagai Pemain Terbaik Piala Konfederasi.

Rakan sepasukan Kaka, Luis Fabiano yang menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir menentang Amerika Syarikat (AS), semalam di tempat kedua dan pertahanan AS, Clint Dempsey tempat ketiga.

Fabiano juga terpilih menerima Kasut Emas selepas muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan jumlah lima gol manakala penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard sebagai penerima anugerah Sarung Tangan Emas atas persembahannya sepanjang kejohanan itu.

Pada majlis itu, Kaka juga memberikan penghormatan kepada rakan sepasukan kerana membawa Brazil untuk merangkul gelaran Piala Konfederasi dan membantunya memenangi Pemain Terbaik dalam kejohanan itu.

"Saya sungguh gembira dapat bermain dalam peringkat akhir.

"Paling penting, seperti mana yang telah saya bagi tahu sebelum ini, saya hanya bermain untuk Brazil kerana mereka adalah juara dan tanpa mereka, saya mungkin tidak mendapat anugerah ini. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan.

"Dengan rasa hormat kepada kehidupan baru saya di Madrid, saya akan bercakap tentang perkara ini esok (hari ini) apabila saya secara rasmi menjadi pemain Real Madrid.

"Saya berjaya mendapatkan piala pertama dan berharap kemenangan ini akan berterusan pada masa akan datang untuk fasa hidup saya yang baru," kata Kaka mengenai pengalamannya di Real Madrid.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails