Thursday, July 16, 2009

Owen mampu kembali menyinar



OWEN (kanan) mula menjalani latihan bersama United di Carrington, Manchester sejak awal minggu ini.


LONDON - Perpindahan Michael Owen ke Manchester United dianggap mampu meningkatkan semula kariernya bersama skuad kebangsaan England.

Legenda United, Bryan Robson berkata, Owen mampu menyinar kembali selepas dia hanya beraksi dalam 65 perlawanan sepanjang empat musim bersama Newcastle United ekoran kecederaan.

"Dia (Owen) akan sentiasa berada di dalam atau sekitar kotak penalti lawan dan saya yakin dia akan menjaringkan banyak gol.

"Saya juga melihat dia akan kembali disenaraikan dalam skuad kebangsaan England.

"Kemasukannya ke United sesuatu yang berbaloi kerana kami mendapat pemain bagus seperti Owen ini secara percuma saja.

"Dia seorang pemain yang hebat, dia baru berusia 29 tahun dan bagi saya dia sedang berada di kemuncak kariernya," kata Robson.

Robson turut yakin bekas penyerang Liverpool dan Real Madrid itu tidak perlu risau dengan masalah kecederaan yang sering menimpanya.

"Dia akan diberi penjagaan rapi serta kaedah pencegahan kecederaan bertaraf tinggi yang terdapat di kelab tersebut.

"Barisan jurulatih kecergasan United akan menyediakan satu kumpulan khas untuk menjaga Owen.

"Pengurus United (Alex Ferguson) juga seorang yang bijak dalam menentukan siapa pemain yang perlu direhatkan atau dimainkan. Ia bakal membantu Owen," jelasnya.

Robson menambah, penyerag sensasi United, Wayne Rooney kini semakin matang apabila berada di atas padang.

"Rooney memiliki sikap panas baran tetapi dia mampu menangani sikap agresif itu dengan baik sepanjang dua musim kebelakangan ini.

"Dia kini adalah pemain utama United dan sangat penting dalam pasukan," kata Robson.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails