Friday, July 3, 2009

Pestabola batal, skuad B-23 jadi mangsa


RUANG persiapan skuad bawah 23 tahun kebangsaan untuk menghadapi temasya Sukan Sea di Laos, Disember ini, makin mengecil selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini mahu membatalkan penganjuran Pestabola Merdeka, bulan depan.

Alasan pembatalan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga demi menangani kebimbangan mengenai penularan wabak Influenza A.

Ia sekali gus bermakna Pestabola Merdeka adalah kejohanan kedua dibatalkan badan induk berkenaan selepas FAM sebelumnya turut tidak meneruskan perancangan buat mengendalikan Kejohanan Piala Antara Benua, awal bulan lalu.


"Semua persiapan awal untuk penganjuran kejohanan itu sebelumnya sudahpun dilakukan, termasuk mendapatkan pengesahan daripada pasukan yang bertanding.


"Namun mengambil kira perkembangan terkini mengenai wabak berkenaan, semua negara bertanding sudah dimaklumkan mengenai kemungkinan pembatalan itu. FAM kini hanya menunggu surat daripada Kementerian Kesihatan sebelum memaklumkannya secara rasmi," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin, kelmarin.

Antara pasukan yang sudahpun lebih awal mengesahkan penyertaan dalam kejohanan itu ialah Indonesia dan Singapura.

Diajukan situasi itu, ketua jurulatih negara, K Rajagopal, mengakui ia tambah menghimpit persiapan pemain-pemainnya, tetapi tetap akan berusaha mencari alternatif untuk menanganinya.

"Jika pembatalan itu sudah sah, saya perlu cari alternatif untuk pemain-pemain. Tempoh ketika ini hingga menjelang Sukan Sea amat penting untuk persiapan pasukan.

"Tanpa Pestabola Merdeka, kami sebaliknya akan merancang untuk mendapatkan beberapa perlawanan persahabatan berkualiti bagi menguji kemampuan pemain dan memantapkan cabaran berpasukan.

"Ia sama juga seperti ketika pembatalan Kejohanan Piala Antara Benua lalu apabila kita mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan menentang Singapura dan Indonesia," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails