Saturday, July 4, 2009

Owen bakal sarung jersi Man United




OWEN (kiri) akan sah ke Old Trafford seandainya dia lulus pemeriksaan perubatan.

Michael Owen di ambang perpindahan menakjubkan ke Manchester United untuk membekalkan sebahagian daripada jentera penggempur yang tumpul disebabkan pemergian Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez dari Old Trafford.

Owen, baru-baru ini dikaitkan dengan Stoke City dan Hull City dan sudah dianggap melepasi zaman terbaiknya, mengadakan perbincangan dengan juara Liga Perdana Inggeris itu dan akan melengkapkan salah satu perpindahan di luar jangkaan musim ini, seandainya dia lulus pemeriksaan perubatan yang ketat.

Jika semuanya berlangsung mengikut perancangan, United berharap untuk mengumumkan mereka bersedia mengambil penyerang itu yang tampak berada pada kejatuhan kariernya.


Owen kini ejen bebas selepas berakhir kontraknya di Newcastle United dan sahamnya merudum begitu banyak berdasarkan persembahan buruk musim lalu, malah dia kini dikaitkan dengan kelab di bahagian bawah Liga Perdana.


Owen turut berdepan saat memalukan minggu ini apabila pengurus Blackburn Rovers, Sam Allardyce, berkata dia tidak akan cuba menandatangani pemain itu kerana bekas penyerang Liverpool dan Real Madrid itu tidak boleh dijamin bermain 30 perlawanan semusim.

Sir Alex Ferguson, bagaimanapun, tidak terganggu oleh pelbagai masalah kecederaan penyerang itu dan mahu menemukan semula pemain itu dengan Wayne Rooney, bekas gandingan penyerangnya dalam skuad kebangsaan England sehinggalah Fabio Capello memutuskan Owen tidak lagi bernilai dalam skuadnya.

Perpindahan itu pastinya membangkitkan reaksi pelbagai di kalangan penyokong United memandangkan hubungan lampau Owen bersama Liverpool, atau lebih tepat lagi hakikat bahawa dia kini dianggap sebagai pemain yang melalui zaman kemerosotan.

Owen menjaringkan 30 kali dalam 65 permulaan untuk Newcastle, tetapi dia bernilai 41 juta pound (RM237.8 juta) kepada kelab itu dengan mengambil kira gaji dan yuran perpindahannya, dan digugurkan oleh pengurus sementara kelab itu, Alan Shearer, ketika mereka diambang keciciran.

Dia gagal menjaringkan gol sejak Januari lalu dan ketika reputasinya merudum, wakilnya tampak mempunyai sedikit keyakinan dalam mencari kelab besar yang bersedia menandatangani pemain hinggakan mereka menerbitkan brosur 32 muka surat bagi meyakinkan pembeli bahawa pemain itu masih bernilai.

Ferguson tidak memerlukan semua itu untuk mengetahui mengenai keupayaan Owen, selepas mengikuti rapat kariernya sejak di peringkat sekolah lagi.

Liverpool berjaya memintas United selepas Ferguson gagal mencapai persetujuan dengan bapa pemain itu, Terry, dan sumber rapat dengan pengurus Old Trafford itu membayangkan bahawa dia sentiasa menganggap Owen, sebagai satu-satunya pemain yang terlepas daripada genggamannya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails