Thursday, July 2, 2009

Kaka serasi dengan Ronaldo



Bintang Brazil, Kaka berdiri di atas pentas menghadap puluhan ribu peminat Real Madrid yang membanjiri Stadium Santiago Bernabeu sebaik diperkenalkan oleh kelab itu, kelmarin

Kaka kelmarin diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Real Madrid dalam satu majlis khas ala Hollywood di hadapan 50,000 peminat Galactico di Stadium Santiago Bernabeu.

Pengarah urusan kelab tersebut, Jorge Valdano menjanjikan musim kedua Florentino Perez sebagai presiden kelab itu tidak akan mengecewakan dengan kehadiran pemain pertama yang dibeli musim ini.

''Ia hari yang sangat istimewa bagi saya. Saya harap saya dapat mencatat nama saya dalam sejarah kelab ini dengan kejuaraan,'' kata Kaka berucap di atas pentas khas di tengah padang.

Pintu masuk ke stadium dibuka kepada peminat yang memenuhi pentas yang dihias dengan warna juara Eropah sembilan kali itu.

Perez mula-mula menaiki pentas dan berterima kasih kepada Kaka kerana memilih Real Madrid.

Pemain Brazil itu diberikan jersi No. 8 malah sepanjang acara dia terpaksa dilindungi pengawal ketika berjalan menuju ke arah peminat.

Sesetengah peminat cuba bersalaman dengan bekas pemain AC Milan yang menyebabkan Real terpaksa berbelanja 67 juta euro (RM331 juta).

Pemain sayap Portugal, Cristiano Ronaldo yang mencatat rekod perpindahan termahal di dunia dengan bayaran 80 juta pound (RM460 juta), akan diperkenalkan kepada peminat Isnin ini dalam satu acara lain yang akan disiarkan secara langsung di televisyen dan internet seluruh dunia.

Dalam pada itu, Kaka tidak bimbang dengan satu lagi nama besar yang mungkin akan mewujudkan ketegangan dalam skuad Real.

''Satu keistimewaan kerana dapat beraksi bersamanya. Tiada permusuhan dengan Cristiano. Kami serasi di dalam dan luar padang. Kami pemain berpengalaman dan tiada ruang untuk rasa cemburu,'' kata Kaka.

Dia turut mengulas mengenai era Galactico kedua di Real Madrid

''Berdasarkan pengalaman saya, bakat sahaja tidak memadai. Banyak pemain berbakat yang tidak memenangi apa-apa dan pemain lain yang kurang keupayaan sebaliknya lebih berjaya.

''Memang bagus mempunyai pemain berbakat namun mereka perlu berkorban demi pasukan,'' kata Kaka.

Pertahanan Sepanyol, Raul Albiol, yang menyertai Real dengan bayaran 15 juta euro (RM71 juta) dari Valencia, dijangka akan diperkenalkan kepada peminat minggu ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails