Friday, July 3, 2009

Man. City 'lelong' bintang lama



ROQUE Santa Cruz antara pemain baru yang dibeli Manchester City untuk mengharungi musim baru Liga Perdana England.

Bekas tonggak Piala Dunia Jerman, Dietmar Hamann serta bekas dua bekas pemain antarabangsa England, Darius Vassell dan Danny Mills antara empat pemain utama yang dilepaskan oleh Manchester City untuk memberi laluan buat kelab Liga Perdana England itu berbelanja besar membawa lebih ramai bintang baru, musim depan.

Trio tersebut menyertai bekas tonggak pertahanan Rangers dan Everton, Michael Ball yang terlebih awal menjadi mangsa pengurus kelab, Mark Hughes, mengecilkan pasukannya bagi membawa masuk nama besar seperti Roque Santa Cruz dan Gareth Barry.

Hamann, yang merupakan anggota skuad Jerman ketika pasukannya tewas kepada Brazil pada final Piala Dunia 2002 dan beraksi untuk Liverpool ketika muncul juara Eropah 2005 terlepas hampir sebahagian besar musim lalu kerana kecederaan ibu jari kaki.

Vassell dan Mills, yang turut beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia 2002 menghadapi kesukaran untuk mendapat tempat dalam kesebelasan City.

Vassell, 29, yang hanya menjaringkan enam gol musim lalu bakal menyertai kelab Turki, Ankaragucu.

Mills, 32 yang memiliki 19 cap, dibeli daripada Leeds United pada 2004, namun seperti Vassell, dia juga sukar mendapat tempat dan dipinjamkan kepada Hull City, Charlton dan Derby sepanjang tiga musim di City.

Ketika beraksi bersama Derby, dia mengalami kecederaan teruk di lutut pada Januari 2008 dan tidak dapat diturunkan sejak itu.

Ball yang memulakan karier bersama Everton sebelum berpindah ke Rangers dan kemudian PSV Eindhoven, yang mana dia muncul juara Liga Belanda di bawah bimbingan Guus Hiddink pernah beraksi sekali untuk England.

Bagaimanapun, dia gagal mendapat perhatian bekas jurulatih City ketika itu, Stuart Pearce yang kemudian digantikan oleh Hughes.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails