Monday, November 23, 2009

Spurs belasah Wigan 9-1


JERMAIN Defoe (tiga dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan ketika membantu Tottenham membelasah Wigan Athletic 9-1 di White Hart Lane, London semalam. Defoe menjaringkan lima gol dalam perlawanan itu.

Jermain Defoe meledakkan lima gol, termasuk hatrik dalam tempoh tujuh minit ketika membantu Tottenham membelasah Wigan 9-1 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana England semalam. Spurs hanya mendahului 1-0 pada babak pertama, namun gol pembukaan Peter Crouch pada minit kesembilan bagaikan membakar semangat Spurs di White Hart Lane.
Sejurus separuh masa kedua bermula, Defoe mengetuai amukan Spurs dengan menyumbat tiga gol dalam tempoh tujuh minit - pada minit ke-51, 54 dan 58, sebelum menambah dua lagi gol pada minit ke-69 dan 87.
Aaron Lennon turut memahat nama sebagai penjaring pada minit ke-64, manakala penjaga gol Wigan, Chris Kirkland yang tertekan menyumbat gol ke gawang sendiri pada minit ke-88. Niko Kranjcar melengkapkan kemenangan besar Spurs pada minit ke-90.
Kemenangan tersebut membolehkan Spurs menyamai rekod Manchester United yang turut menjaringkan sembilan gol dalam satu perlawanan ketika membelasah Ipswich 9-0 pada Mac, 1995.
Malah, jaringan besar Defoe turut membolehkan penyerang antarabangsa England itu menyamai rekod Alan Shearer dan Andy Cole yang menyumbat lima gol dalam satu perlawanan.
Shearer melakukannya ketika membantu Newcastle United menundukkan Sheffield Wednesday pada September, 1999, manakala Cole pula melakukannya pada pertemuan United menentang Ipswich.
Walaupun Paul Scharner berjaya menjaringkan gol sagu hati Wigan pada minit ke-57, namun ia tidak cukup untuk menghalang pasukan itu pulang bersama keaiban.
Kemenangan ini turut membolehkan Spurs melonjak ke tangga keempat liga di belakang Chelsea , Manchester United dan Arsenal menerusi 25 mata.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, Bolton mensia-siakan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila tumpas 0-2 kepada Blackburn.
David Dunn membuka jaringan pasukan pelawa pada minit ke-32, dan kesilapan tonggak pertahanan Bolton, Samuel Ricketts menghukum tuan rumah apabila dia menjaringkan gol sendiri pada minit ke-73.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails