Sunday, November 22, 2009

Keinginan Ireland berkubur


Wartawan Ireland yang bertugas di akhbar Sunday world irish, geraldine comiskey menunjukkan poster bintang perancis, thierry henry yang meminta maaf kepada rakyat ireland di barcelona, kelmarin.

Harapan Ireland untuk perlawanan semula kelayakan Piala Dunia menentang Perancis berakhir apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) menolak permintaan untuk dilangsungkan semula. Menurut FIFA, rayuan Persatuan Bola Ireland (FAI) yang ditolak, juga tekanan daripada penggubal undang-undang dan tokoh bola sepak di kedua-dua negara tidak akan mengubah keputusan pengadil yang menegaskan jaringan tersebut adalah muktamad, walaupun bola terlebih dahulu terkena tangan ketua pasukan Perancis, Thierry Henry.
"Keputusan perlawanan tidak boleh diubah dan perlawanan semula tidak boleh dilangsungkan.
"Seperti mana yang jelas disebut dalam peraturan permainan, ketika perlawanan, keputusan dibuat oleh pengadil dan keputusan adalah muktamad,'' kata FIFA.
FAI di Dublin membalas petisyen kepada rakan sejawat di Perancis dengan meminta FIFA mengubah fikiran tetapi kelmarin FFF berkata, keputusan badan bola sepak dunia itu adalah muktamad.
"Keputusan perlawanan tidak boleh diubah dan tiada perlawanan semula. Kami memahami kekecewaan dan kepedihan pemain Ireland, pemimpin bola sepak dan penyokong mereka,'' kata FFF.
Kenyataan FIFA itu dilihat sebagai kata-kata terakhir terhadap perdebatan yang mencengkam dunia boleh sepak sejak dua hari lalu, selepas peminat dan pemimpin politik di kedua-dua negara meminta perlawanan semula diadakan.
Keputusan Ireland untuk merayu secara terus kepada FFF dibuat selepas Henry sendiri berkata, perlawanan semula mungkin merupakan keputusan paling adil.
Henry menggunakan tangan kiri untuk menahan bola daripada melepasinya sebelum menolaknya kepada William Gallas yang menanduk untuk jaringan penyamaan perlawanan.
Ketika bola terkena tangan Henry, kesalahan itu tidak dihukum oleh pengadil dari Sweden Martin Hansson yang kemudiannya dibantah oleh pemain Ireland ketika berbaki 17 minit menuju ke penentuan penalti.
Seri 1-1 di Stade de France membawa Perancis layak ke Piala Dunia tahun depan dengan agregat 2-1.
Henry meraikan jaringan gol tersebut tetapi sugul selepas perlawanan apabila mengaku memegang bola.
Ketua pasukan Perancis itu berkata, pengadil bertindak salah kerana tidak menghentikan perlawanan kerana kesalahan yang dilakukannya, namun dia menunggu sehingga arahan FIFA untuk kemungkinan perlawanan semula.
"Sudah tentu keputusan paling adil mungkin perlawanan semula tetapi ia bukan di bawah kawalan saya. Saya rasa malu kerana menang dengan cara sedemikian dan rasa simpati dengan rakyat Ireland, yang mungkin berhak ke Afrika Selatan.
"Hanya sedikit sahaja yang dapat saya lakukan selain daripada mengakui bahawa bola terkena tangan saya sehingga membawa kepada gol penyamaan dan saya simpati dengan Ireland,'' kata Henry dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media Britain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails