FERGUSON
Setiap kali ditanya, Sir Alex Ferguson tidak mahu langsung memperkatakan kelebihan yang dimiliki Chelsea ketika ini sebaliknya lebih senang menegaskan bahawa pasukannya cukup wibawa untuk mengejar.
Manchester United kini ketinggalan lima mata berbanding Chelsea selepas tumpas 0-1 kepada skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu dua minggu lalu.
Jaringan tunggal John Terry pada perlawanan di Stamford Bridge menghadiahkan kekalahan ketiga sekali gus menyingkirkan United ke tangga ketiga liga di belakang Chelsea dan Arsenal.
Namun rehat lebih seminggu kerana aksi kelayakan Piala Dunia dan perlawanan persahabatan antarabangsa membolehkan Ferguson punya banyak masa mempersiapkan pasukannya untuk bangkit daripada kekecewaan itu.
Menentang Everton di Old Trafford awal pagi esok merupakan peluang terbaik Ferguson memulakan usaha kembali memburu kejuaraan liga.
"Perbezaan mata tidak perlu diperbesarkan. Perjalanan Liga Perdana ini masih panjang. Jadi sesiapa sahaja boleh mengejar dari belakang, berada di depan atau alami kekalahan juga.
"Ia satu cabaran tetapi saya fikir jika kami melangkah ke tahun baru dengan ketinggalan satu mata, kami punya peluang berdasarkan pengalaman yang ada," tegasnya.
Tempoh rehat lebih seminggu bagaimanapun tidak cukup untuk memulihkan kecederaan yang dialami John O'Shea dan Jonny Evans yang dijangka tidak diturunkan menentang Everton.
Namun Park Ji-Sung dan Nemanja Vidic kembali berada dalam kesebelasan utama Ferguson manakala Rio Ferdinand, Fabio dan Gary Neville belum dapat diturunkan.
No comments:
Post a Comment