Sunday, November 15, 2009

Skuad negara gagal benam Uzbekistan


ZAQUAN meledak gol tunggal Malaysia ketika menentang Uzbekistan di Tashkent malam tadi. Malaysia tewas 1-3.


SKUAD bola sepak negara gagal membuat kejutan apabila tewas 1-3 kepada Uzbekistan pada aksi kelayakan Piala Asia 2011 di Stadium JAR, Tashkent, Uzbekistan malam tadi.
Biarpun berjaya mengikat tuan rumah tanpa jaringan pada separuh masa pertama, skuad kendalian K. Rajagobal itu dibolosi tiga gol dalam tempoh 20 minit pertama sebaik babak kedua bermula.
Djeparov Server meledak gol pertama Uzbekistan pada minit ke-46 sebelum pemain gantian, Geynrikh Alexander menambah dua lagi gol pada minit ke-57 dan 65.
Ketinggalan 0-3, skuad negara tidak mudah berputus asa dan berjaya juga memperoleh gol pertama menerusi Zaquan Adha Radzak pada minit ke-68.
Namun, usaha anak-anak buah Rajagobal untuk menambah jaringan tidak berhasil, malah tugas itu semakin rumit setelah pemain pertahanan, Nasriq Baharom dibuang padang pada minit ke-85 selepas menerima kad kuning kedua.
Pada perlawanan malam tadi, Rajagobal mempertaruhkan Farizal Marlias, Nasriq, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Sabre Mat Abu, Ahmad Fakri Saarani, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Baddrol Bakhtiar, Amri Yahyah dan Zaquan dalam kesebelasan utama.
Tiga pertukaran dilakukan Rajagobal dengan memasukkan Norshahrul Idlan Talaha, S. Kunanlan dan Syed Adney Syed Hussein bagi menggantikan Amar pada minit ke-60, Fakri (73) dan Farizal (80).
Setelah tewas dua perlawanan, skuad negara bakal meneruskan baki perlawanan Kumpulan C menentang Uzbekistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu ini (5.30 petang) dan menentang UAE di Dubai pada 6 Januari depan.
Kumpulan C kini didahului Uzbekistan dengan enam mata diikuti UAE (3) dan Malaysia (0) selepas masing-masing beraksi dua perlawanan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails